Thursday, November 06, 2003

Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar

Kongkongan gagalkan k-ekonomi

"Masterpieces are not single and solitary births; they are the outcome of many years of thinking in common, of thinking by the body of the people, so that the experience of the mass is behind the single voice." – Virginia Woolf dalam A Room of One’s Own.

Jika tenaga kreatif itu seorang gadis manis, manakala kongkongan politik pula seorang pemuda kacak, mereka tidak mungkin ke jinjang pelamin. Tetapi Dr Mahathir Mohamad tidak pernah mahu mengerti.

"Kahwin paksa" ini, jika mungkin, hanya pertemuan dua jasad di meja makan malam dan ranjang. Tetapi tenaga kreatif dan produktif tidak dapat dijanakan. Kita tidak sedar kesan tidak nampak dan tidak langsung, atau social cost, yang ditanggung akibat kongkongan ini, baik di kampus, bilik media, dunia politik dan pentas seni budaya.

Kita tidak membina – atau lebih tepat, salah tafsir "modal masyarakat" yang bebas dan demokratik – walau kita ghairah bercakap soal "modal manusia" yang kreatif dan berpengetahuan.

Bagi Dr Mahathir, keupayaan minda hanya untuk mengurus mesin dan daya kreatif pula harus diurus seperti mesin. Sebab itu, pendidikan tinggi harus berorientasikan vokasional-teknikal yang terlalu khusus, tanpa kebulatan minda manusia.

Falsafah utilitarianisme ini sebenarnya sudah berkembang sejak sekolah menengah bawah apabila pengkhususan disiplin ilmu perlahan-lahan terbentuk. Dengan bahasa mudah, pendidikan kita melahirkan tenaga kerja semata-mata (robot atau tukang), bukan "manusia", apatah lagi anasir berfikir yang kreatif dan imaginatif.

Bukan sahaja bekas perdana menteri ini tidak percaya bahawa kongkongan politiknya telah melumpuhkan imaginasi dan kekreatifan, tetapi ramai sekali di kalangan golongan terpelajar yang turut mempercayainya.

Pasaran antarabangsa

Golongan terpelajar ini turut berbangga dengan projek nasional seperti terjun di Kutub Utara, mendaki Himalaya, belayar merentasi lautan atau berenang di Selat Inggeris. Dr Mahathir menyebut dengan megah "kejayaan-kejayaan" ini di Dewan Rakyat minggu lepas, ketika membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-8.

Tetapi pernahkah pemikir seperti beliau sedar bagaimana produk idea dan produk budaya kita tidak pernah berjaya diangkat di luar sempadan negara? Apakah karya-karya besar Sasterawan-sasterawan Negara atau Seniman Negara kita berjaya di pasaran antarabangsa? Pernahkah lagu dan filem kita dibanggakan oleh peminat luar negara?

Siapa sasterawan muda yang boleh dibanggakan cerpen dan puisinya di pentas dunia? Sarjana, cendekiawan atau ahli akademik – di mana buku atau idea mereka yang dibahas serta dirujuk di dunia luar? Atau perisian komputer, animasi, multimedia, atau kartun (cetak) Bumiputera yang boleh diangkat di dunia luar?

Malah, produk kewartawanan dan wartawan kita tidak dikenali di luar batasan negara. Sebaliknya dalam bidang penyiaran, hiburan pop atau rekaletak penerbitan, kita tidak maju-maju lagi, tentunya sukar bersaing di dunia sejagat. Kenapa soal-soal ini tidak dianggap cabang kegiatan "k-ekonomi" yang Dr Mahathir hingar-bingarkan itu?

Kita dikenali sebagai pengeksport minyak sawit dan kondom sahaja, Dr Mahathir!

Saya sabitkan kegagalan ini dengan era kongkongan yang digunakan untuk memacukan ekonomi berasaskan mentaliti kilang pemasangan, pelaburan langsung luar negara (FDI) dan minda "tanah". Kestabilan ekonomi dan politik dicapi walau bagaimana dampaknya demi memancing pelaburan asing.

Makan gaji

Minda "tanah" maksudnya Gelombang Pertama yang disebut Alvin Toffler, apabila kita suka sekali memperuntukkan tanah, dengan segala insentif mewah, untuk membangunkan IT (Koridor Raya Multimedia), hiburan pop (E-Village) dan kini bioteknologi (Bio-Village).

Kita bukan membina tenaga kerja kita sendiri yang kreatif tetapi membuka tanah untuk didatangi pemodal dan teknologi asing, manakala lulusan kampus kita akan "makan gaji" di tempat itu. Tidakkah ini sama orientasinya dengan pembukaan kilang pada 1970-an dan 1980-an dulu? Cuma, dulu buruhnya tidak berpelajaran tinggi tetapi model sekarang tenaga kerjanya lulusan universiti.

Kononnya kita bertujuan membangunkan ekonomi berasaskan kreativiti dan pengetahuan – dan bagi perdana menteri sekarang, "revolusi mental" – tetapi di sekeliling kita usaha kongkongan semakin menjadi-jadi. Terbaru, lihat bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membentuk jawatankuasa untuk menapis skrip teater!

Garis panduan itu terlalu umum dan merangkumi semua perkara, tidak ubah peruntukan yang diwarisi daripada penjajah Inggeris dalam Akta Hasutan. Kata profesor Ruth Walden, "sumbangan besar penjajahan kepada seluruh dunia"! Sepatutnya kita benarkan teater terus berkembang pesat sehingga layak dipentaskan di bandar-bandar besar di serata dunia maju.

Bekas perdana menteri minggu lepas juga merungut tentang keupayaan dayacipta yang rendah di negara kita. Begitu juga inovasi dan teknologi – masih rendah. Malah beberapa kajian asas dalam bidang pertanian gagal diperdagangkan.

Maka, dalam kajian separuh penggal itu, Dr Mahathir ada menyebut 10 tumpuan dasar, antara lain, memacu peralihan daripada ekonomi yang berteknologi rendah dan bermodalkan buruh kepada ekonomi berteknologi tinggi dan bermodalkan pengetahuan.

Buta seni

Pernahkah kita (maksudnya, ahli politik, cendekiawan, seniman dan ahli perniagaan) secara jujur akur bahawa keaslian buah fikir tidak lahir di bawah kongkongan, ia lahir di dalam ruang kebebasan, hak asasi dan demokrasi?

Kata Dr Jay A Seitz, "kreativiti adalah proses menjana idea-idea tidak popular – sama ada tampak, politik, ekonomi, sastera dan lain-lain – dan kemudian meyakinkan orang lain tentang nilai idea itu. Yakni, kreativiti hanya berfungsi dalam satu matriks sosial yang beranggapan idea sebagai komoditi dan wujud nilainya di pasaran intelek tetapi boleh dirangsang atau ditindas oleh organisasi atau institusi masyarakat yang lebih luas."

Pegawai kerajaan atau pemimpin Umno memang suka mengangguk dan mengulang-ulang semula istilah indah ‘k-ekonomi’ seperti diunjurkan oleh kerajaan. Tetapi tokoh berfikir, dan banyak membaca serta arif sepak terajang dunia pentadbiran golongan atasan, seperti Johan Jaaffar, tentu mempunyai kewarasan yang lain.

"Kita menganggap proses pembinaan manusia (selama beberapa dekad) untuk menjadi profesional ialah pembelajaran ilmu sains dan teknologi. Banyak graduan kita, juga teknokrat dan birokrat kita, selain pimpinan politik kita yang sebenarnya buta seni," kata bekas wartawan kanan ini dalam kolumnya ‘Di Luar Lingkaran’. (Berita Minggu, 26 Oktober)

"Ini krisis yang sama besarnya dengan kegagalan kita menjadi lebih baik dan lebih maju dalam sektor urusniaga dan industri. Kita sedang menuju pada krisis kebebalan seni di kalangan rakyat"

Dengan nada yang sedikit berang itu, Johan membuat kesimpulan yang sangat tajam (walau bagi segelintir orang, mungkin "simplistik"), " … mereka sebenarnya tidak mempunyai dasar minda yang betul untuk menghayati apa pun."

Mereka yang dimaksudkan oleh Johan, "ahli perniagaan, kumpulan profesional, birokrat dan ahli politik yang tidak faham makna sejarah, tidak mengerti seni sastera, tidak menghargai kebudayaan bangsa dan menganggap sastera dan budaya itu untuk orang lalai, keliru dan patah hati."

Kongkongan politik

Kelompok strategik bangsa dan negara ini rupa-rupanya lompong seni, dan gagal merumus kedudukan seni (dan kreativiti) dalam ruang ekonomi dan industri. Mereka tidak nampak pemisahan sains dan seni (atau sastera) sudah tidak relevan untuk maju di abad ke-21.

Jika begini orientasi berfikir mereka, bagaimana negara ini boleh maju dalam cabaran k-ekonomi, globalisasi produk budaya dan kecairan idea dalam era teknologi maklumat? Seorang pensyarah undang-undang Universiti Malaya juga mengkritik gejala kongkongan politik dengan perancangan k-ekonomi.

"Kerajaan sekarang bercakap tentang k-ekonomi dan k-masyarakat, tetapi jelas sekali, kebebasan asas atau hak asasi di kalangan rakyat tidak dipertahankan dan rakyat pula tidak diizinkan mengamalkan kebebasan seperti yang rakyat inginkan," kata Zalina Abdul Halim dalam satu kertas kerjanya di Bangkok.

Pensyarah ini percaya kongkongan maklumat, dan tekanan terhadap kebebasan bersuara (termasuk media), bertentangan dengan cita-cita besar negara ini untuk menjadi pusat serantau komunikasi, pendidikan dan hiburan.

Sehari sebelum membentang laporan separuh penggal Rancangan Malaysia ke-8, bekas perdana menteri menyebut negara ini memerlukan "top-class human capital" atau sumber manusia (baca: pengetahuan, idea dan kekreatifan) bertaraf dunia, tetapi tingkat pembacaan, penghargaan pada idea baru, atau kerancakan wacana di kalangan pelajar universiti, profesional dan seniman kita, masih sangat rendah serta memalukan.

Malah, saya perhatikan, mereka tidak ada disiplin berhujah dan berfikir serta jarang sekali mengetahui dunia luas selain disiplin khusus yang mereka pelajari.

Daya kreatif

Dalam satu tinjauan di kalangan profesional, pendidik, ahli perniagaan dan kakitangan pejabat (Sunday Star, 26 Oktober), 70 peratus responden menjawab bahawa siswa kita mempunyai masalah berkomunikasi ketika sesi temubual kerja!

Tetapi Fu Ah Kiow berpandangan luas dan bijak. Kata timbalan menteri ini, "ibu bapa sering berfikir bahawa anak-anak yang belajar dalam aliran sastera (seni) akan berakhir dengan kerjaya yang tidak menjamin pendapat lumayan. Pandangan (ibu bapa) itu salah dan ia hanya benar pada masa dulu."

Fu menambah, dalam Sunday Star (26 Oktober), "kebanyakan ibu bapa tidak sedar bahawa mendedahkan kanak-kanak kepada kesenian boleh menjana daya kreatif dan inovatif (khususnya dalam k-ekonomi)."

Jika Abdullah Ahmad Badawi tidak memahaminya dan gagal bertindak segera membuang kesan-kesan kongkongan ini dan mengambil daya perundingan terbuka dengan sektor-sektor kreatif, saya tidak dapat bayangkan bagaimana Malaysia boleh lebih maju lagi.

Pada waktu itu, rakyat akan faham bahawa akhirnya Dr Mahathir hanya memberi kita ikan besar-besar tetapi tidak mengajar kita memancing.
--------------------------------------------------------------------------------
Rujukan:

Johan Jaaffar (2003), ‘Jangan sampai kesenian bangsa dihina’ dalam Berita Minggu, 26 Oktober

Seitz, Jay (t.t.) ‘Political Science and Creativity’

Sunday Star, ‘Grads holding jobs unrelated to speciality’, 26 Oktober 2003

Sunday Star, ‘Studying art offers much potential, parents told’, 26 Oktober 2003

The Sun, ‘We need top-class human capital: PM’, 29 Oktober 2003

Walden, Ruth (2002) ‘Insult laws’ dalam The Right to Tell: The role of mass media in economic development, Washington: The World Bank

Zalina Abdul Halim, Freedom of information in Malaysia: A long and arduous journey dalam Iyer, Vinkat (2001) Freedom of Information: An Asian Survey, Singapura: AMIC dan Nanyang Technological University

"Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (3 November 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com"

No comments: