Freedom Film Fest dan Distortion 2003
Freedom Film Fest yang pertama di negara ini akan mulai berlangsung esok sehingga ke hari ahad di Institut HELP. Festival seumpama ini adalah julung kalinya dilangsungkan di sini.
Festival ini dianjurkan oleh Pusat Komunikasi Masyarakat atau KOMAS dan turut dibantu dan disokong oleh Institut Kajian Dasar. Sebanyak 17 filem daripada Kanada, Indonesia, Jepun, Iran, Bangladesh, Filipina, Myanmar, Kemboja, Amerika dan juga dari Malaysia akan ditayangkan secara percuma kepada audien.
Episod siri rancangan 3R yang dilarang untuk tayangan di TV3 juga akan turut disiarkan pada hari kedua di dalam slot gender dan seksualiti.
Suatu lagi acara menarik yang akan berlangsung dalam masa terdekat adalah Konsert Rock Distortion 2003. Konsert yang alan diadakan pada 6 Disember ini di Stadium Merdeka akan menampilkan band-band terkemuka seperti Pop Shuvit, Naked Breed, OAG, Flop Poppy, Koffin Kanser, Love Me Butch, Pretty Ugly, Gerhana Skacinta, Qings & Kueens dan Seven Collar T-shirt. Bayaran masuk adalah sebanyak RM35.
Tahun 2003 bolehlah dianggap tahun yang cemerlang untuk dunia seni dan hiburan tanahair(bukan arus perdana sahaja) di mana pelbagai acara dan peristiwa menarik berlaku. Kemunculan pengarah filem generasi baru yang semakin diterima dan dihargai adalah antara kejayaan yang bermakna. Kejayaan konsert Linkin Park yang berjaya menarik sejumlah 25,000 penonton menampakkan bahawa budaya berkonsert masih wujud di negara ini.
Konsert oleh band-band dari Indonesia seperti Dewa dan Gigi menambahkan lagi keceriaan walaupun jumalah audien yang hadir jauh daripada memuaskan. Sambutan yang hebat pada Acara Baca Puisi Keliling yang dianjurkan oleh kelompok anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Komunite Seni Jalan Telawi juga suatu perkembangan yang sihat.
Diharap tahun 2004 yang akan menjelma akan dapat memberi lebih sinar harapan kepada dunia seni tanahair dan diharap seni yang membodoh-bodohkan masyarakat di samping bersifat hiburan kosong semata akan berkurangan. Sebaliknya, seni yang membangunkan masyarakat untuk berfikir sambil berhibur amat diharap untuk terus berkembang.
No comments:
Post a Comment