Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar
DKL ‘mangsa’ kebebasan akhbar?
‘We can never be sure that the opinion we are endeavouring to stifle is a false opinion; and if we were sure, stifling it would be an evil still’ – John Stuart Mill dalam On Liberty (1859).
Lima tahun lalu, sebelum Anwar Ibrahim dipecat, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) di New York menamakan dua editor kanan media Malaysia sebagai mangsa pencabulan hak kebebasan akhbar.
Johan Jaaffar sebagai ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu, dan Ahmad Nazri Abdullah (ketua pengarang Berita Harian) dianggap menerima tekanan politik Dr Mahathir Mohamad sebagai langkah mempersiapkan aksi politik ke atas timbalannya pada 2 September 1998. Yunus Said (TV3) juga terbabit. Waktu itu perdana menteri mendakwa tindakan demikian "bukan kerana politik".
Abdullah Ahmad, juga suka dikenali Dollah Kok Lanas (DKL), terpaksa melalui penghujung jalan seperti tiga tokoh media berpengaruh itu. Jalan yang sama pernah ditempuhi A Kadir Jasin, Munir Majid (kumpulan New Straits Times) dan Zainuddin Maidin (kumpulan Utusan Melayu), tokoh-tokoh berpengalaman dalam dunia media tempatan.
Menyedari peranan licik tokoh seumpama mereka, dan hubungan erat media dengan tuan-tuan politik, apakah wajar dan boleh kita menganggap DKL sebagai seorang ‘mangsa’ kebebasan akhbar di negara ini?
Atau, oleh kerana dia sendiri tidak pernah peduli kebebasan akhbar seperti yang kita fahami, DKL tidak layak diangkat sebagai seorang ‘mangsa’?
Anugerah
Pertengahan tahun ini, di majlis konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abdullah dianugerah doktor kehormat dalam bidang kewartawanan. Dalam ucapan penganugerahan tersebut, dan beberapa tempat lain, DKL beria-ia meyakinkan kita bahawa memang sudah wujud kebebasan akhbar di negara ini.
Sehingga ‘kebebasan akhbar’ itu menyebabkan kita sukar membaca ulasan menarik atau analisa mendalam (kecuali tulisan Johan sendiri ketika perletakan jawatannya) tentang siri-siri pemecatan mendadak tokoh-tokoh besar media ini sepanjang 10 tahun lalu, termasuk kes mutakhir DKL.
Semua kejadian sepenting ini menjadi misteri atau dianggap tidak mempunyai nilai berita! Tetapi desas-desus lisan akan kedengaran kemudiannya, seperti khabar-khabar angin lain, dari kalangan wartawan media arus perdana sendiri.
Mungkin hari ini, setelah dipecat daripada jawatan ketua pengarang kumpulan (walau masih ahli lembaga pengarah syarikat), DKL masih percaya bahawa dia hanyalah "menunaikan syarat-syarat perlantikannya" pada Mei 2000.
Beginilah alasan rasmi perdana menteri dua hari lalu: "Saya difahamkan, penamatan khidmat (DKL) itu dibuat mengikut terma lantikan yang ditandatangani antara Abdullah (Ahmad) dengan majikannya."
Nasihat Umno
Abdullah Ahmad Badawi malah berhujah pengguguran serta-merta itu, selepas beberapa jam terdahulu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan Umno, "tiada kaitan politik dalam negara atau masalah peribadi dengan pemimpin (parti itu)."
Perdana menteri menambah, kerajaan menerima nota bantahan daripada Arab Saudi ekoran tulisan DKL, Freeing the Prophet’s Land dalam akhbar berbahasa Inggeris itu seminggu sebelumnya.
Kes DKL lebih jelas daripada pengguguran Zainuddin (Zam). Sekurang-kurangnya Abdullah menulis sendiri artikel yang mengkritik dasar kongkongan kerajaan Arab itu walau dia berdiam diri terhadap kongkongan di sini.
Pemecatan Zam diselubungi misteri dan dia sendiri ‘bingung’ memikirkan bagaimana laporan sidang akhbar Dr Mahathir di Jakarta diproses di Kuala Lumpur sedangkan dia sendiri berada di luar negara.
Kenapa dia harus bertanggungjawab...begitu seolah-olah rungut Zam. Senator (sekarang timbalan menteri) ini dibekukan seketika di UPD, syarikat penerbitan buku dalam Kumpulan Utusan, selepas penggugurannya.
Alasan pemecatan
Jika itulah alasan pemecatan DKL, selepas pengurusan NSTP ‘dinasihati’ Umno, tindakan penggugurannya jelas sekali satu sekatan terhadap kebebasan akhbar. Dari segi prinsip, tindakan politik itu wajar dibantah.
Isu sama ada wajar atau tidak seseorang wartawan menggesa sesebuah kerajaan autokrasi ditumbangkan tidak pernah berbangkit. Semua pengamal media bebas menyeru hal yang sama.
Kerana mempertahankan atau mempromosi kebebasan dianggap tanggungjawab moral atau ikatan etika yang paling wajib ada pada seseorang wartawan dan medianya.
Oleh itu, kes DKL dengan artikelnya itu atau ulasannya tentang Umno vis-à-vis Najib Razak, masih dalam lingkungan pencabulan hak kebebasan akhbar.
Namun, tidak semua media mempunyai keberanian moral atau kesedaran etika yang sama dengan tuntutan persekitaran operasinya. Media arus perdana negara ini terperangkap dalam permainan ini – ketakutan untuk berbeza pandangan dengan pihak berkuasa sehingga rela mengongkong diri sendiri sejak bertanya soalan di sidang akhbar lagi!
Pencabulan media
NST memang sering pula dituduh memadamkan atau meremehkan liputan berita-berita penting yang lain. Tindakan seumpama ini juga boleh dianggap sejenis pengurusan tidak profesional dan langkah menghalang kebebasan akhbar.
Tetapi samalah reaksi kita terhadap beberapa penjuru pandangan John Stuart Mill dalam bukunya itu On Liberty, atau karya-karyanya yang lain, Utilitarianism (1863) dan Considerations on Representative Government (1861).
Penolakan kita terhadap beberapa penjuru pandangan Mill tidak pula menafikan banyak lagi olahannya yang bernas lagi meyakinkan.
Cuma adakalanya kita tertanya-tanya, apa perlu membahaskan hal-hal teori seumpama ini – soal DKL jadi ‘mangsa’ – memandangkan betapa seriusnya pencabulan oleh media arus perdana sendiri demi mengukuhkan kuasa politik?
Jawaban jujur terhadap persoalan ini boleh mengukur sejauh mana kita beriltizam, bukan kepada batin sendiri, tetapi kepada kebenaran dan kebebasan yang kita laung-laungkan.
--------------------------------------------------------------------------------
Rujukan: IPI World Press Review (Malaysia)
Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (1 Disember 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com
No comments:
Post a Comment