Saturday, December 13, 2003

Media sempitkan wawasan seni- Fathi Aris Omar

Media massa kita harus menyebarkan wacana rancak dalam semua bidang, mengangkat seniman dan produk seni – tanpa diskriminasi – yang bermutu serta berdaya saing untuk membolehkan kita ke pentas antarabangsa.

Setakat ini, media hanya memberi promosi atau menyebar gosip – itu pun di kalangan pelakon dan penyanyi – tetapi tidak menyuburkan debat sihat dan pendidikan seni secara menyeluruh.

Jarang kita temui penulisan, baik tentang seni atau kritik seni di akhbar atau televisyen, apatah lagi majalah hiburan. Bidang ini seolah-olah tidak diterokai oleh seniman, wartawan dan sarjana.

Akibatnya pembaca dan orang ramai diajak berhibur semata-mata tetapi tidak mendidik mereka selok-belok seni, produk seni dan idea. Inilah juga puncanya kedudukan seni dan peranannya dalam masyarakat masih kabur. Seni dikaitkan dengan hiburan pop semata-mata.

Media massa sebagai agen utama perkongsian maklumat telah gagal dalam hal ini. Editor dan wartawan kanan seolah-olah tidak nampak kegagalan mereka itu melemahkan kesedaran seni di negara kita, bukan sahaja di kalangan masyarakat umum tetapi juga di kalangan ahli politik, golongan profesional dan cerdik pandai yang membentuk elit dan kelas menengah di Malaysia.

Media arus perdana juga segan untuk merancak debat sihat dalam banyak isu lain kerana dikawal oleh pihak-pihak tertentu. Akibatnya, pemikiran pembaca menjadi sehala atau tertutup; tidak timbul kepelbagaian atau pertandingan idea yang sihat. Kongkongan melampau ke atas media menyebabkan banyak isu, termasuk isu seni dan seniman, terabai.

Jika hubungan seni dengan masyarakat hendak dipertingkatkan, media arus perdana harus membuka ruang kepada pelbagai idea dan harus meraikan wacana rancak daripada berbagai-bagai kumpulan seniman dan genre seni.

Kelemahan wawasan

Sastera, teater dan seni halus (fine art) misalnya terpaksa berkongsi ruang di dada akhbar dan tidak pernah ada slot seumpamanya di televisyen (kecuali ‘Anjung Budi’ di RTM). Seni gunaan (applied art) pula tidak mempunyai ruang langsung!

Sedangkan ruang atau slot untuk hiburan pop (penyanyi dan pelakon) mendapat ruang yang sangat besar. Begitu juga penyanyi, kaset, pelakon dan filem antarabangsa diberikan ruang promosi tetapi tema-tema lain pelbagai bidang seni dari luar negara tidak pula dilaporkan. Bagaimana media kita sebegini mundur berbanding kerancakan ekonomi dan pembangunan negara?

Apa yang dipaparkan oleh media arus perdana kita jelas membayangkan kelemahan wawasan seni negara ini. Seni tidak pernah diberikan kedudukannya yang wajar dan peranannya dalam masyarakat diperkecil-kecilkan.

Tidak hairanlah orang kaya, golongan kelas menengah dan korporat negara ini tidak berasa perlu membeli produk-produk seni – misalnya lukisan, mengunjung teater atau membiayai kegiatan sastera-seni.

Kelemahan ini boleh diatasi jika media memainkan peranan serius untuk menyedarkan semua pihak. Ia juga boleh diatasi jika kumpulan seniman bersungguh-sungguh membentuk wawasan seni yang jelas dan mengkomunikasikan idea mereka ini kepada media massa atau birokrat seni.

Tetapi seniman masih lagi kabur wawasan, kedudukan serta peranan seni dan peranan mereka sendiri! Kekaburan ini dapat diukur daripada ketiadaan kelompok seni yang berwibawa, berpengaruh luas dan meraikan kepelbagaian.

Kelompok yang dapat memayungi kegiatan seni dan membela kebajikan seniman sehingga dipandang tinggi oleh masyarakat. Kelompok berwibawa yang berupaya pula membina rangkaian kerja dengan negara-negara luar untuk tujuan komersial atau keilmuan.

Isu sensitif

Akibatnya, seperti banyak isu lain, debat tentang isu-isu kontroversi sekitar "lesen kreatif" dan impaknya ke atas masyarakat sering tertangguh. Isu penapisan filem atau lagu dan gam artis menjadi begitu kabur dan boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Isu-isu tentang seksualiti, ketuhanan dan politik – sekadar contoh isu-isu yang dianggap "sensitif" – dalam ekspresi seni tidak pernah berlangsung secara terbuka.

Debatnya tidak pernah menimbulkan kesedaran rasional, sebaliknya sering dibayangi kekuatan birokrasi atau konservatisme tradisi-agama. Ada waktu-waktunya ia menimbulkan rasa "kaget akhlak" yang sasau di kalangan masyarakat, atau begitulah ia digambarkan. Belum sempat isu-isu ini dibahaskan semasak-masaknya, debat tentangnya terus dipadamkan dan birokrasi segera menjalankan tugasnya.

Sementara seniman pula enggan menguji batasan kongkongan sosial dan birokrasi (termasuk perundangan, peraturan atau amalan tidak bertulis yang bersifat diskriminasif) yang dikenakan secara kabur dan adakalanya tidak rasional.

Belum ada kajian atau memorandum ditujukan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tentang hal ini. Kebebasan ekspresi seni tidak pernah dilihat sebagai cabang hak asasi, nampaknya!

Apakah ini membayangkan seniman tidak mempunyai sebarang hak atau seniman enggan mempertahan serta menuntut hak? Dalam hal ini, seniman tidak boleh berharap pihak lain – misalnya badan bukan kerajaan (NGO) atau parti pembangkang – untuk membawa isu ini ke depan. Seniman sendiri yang harus membawanya.

Sejumlah halangan ini datang daripada konservatisme sama ada yang disebut "tradisi", "agama" atau "nilai Timur". Ada waktunya, ia hanyalah hujah cetek, kebimbangan melulu, propaganda selapis dan alasan longgar. Tetapi hakikatnya, seni dan tradisi tidak dapat lari daripada lingkungan ini.

Tradisi atau agama menjadi ekologi seni yang dekat dengan psyche sesuatu masyarakat. Kesannya ke atas produk seni dan seniman sangat kuat. Sesuatu inovasi, idea baru atau luahan kreatif tetapi bukan berasal dari lingkungan tradisi atau agama, segera dicurigai dan diburukkan. Sering, seni dan seniman terperangkap dalam prasangka tradisi atau agama walau mereka diminati ramai.

Tekanan politik

Tradisi atau agama juga membawa seni dan senimannya sendiri. Seperti politik, tradisi atau agama mempunyai pengawal-pengawalnya. Banyak waktunya, tradisi atau agama bergabung tenaga dengan kuasa politik untuk mengawal seni dan seniman, khususnya jika seni atau seniman itu dilihat cuba lari daripada atau mencabar kewajaran-kewarasan mempertahankan tradisi atau agama.

Apatah lagi, jika seni dan seniman itu dilihat cuba mencabar secara terang-terangan agama, tradisi atau kuasa politik. Penapisan filem, lagu atau bentuk lain eskpresi seni – lukisan, teater, puisi atau ukiran – datang daripada satu atau lebih unsur ini. Selalunya "tradisi", "agama" atau "nilai Timur" dijadikan alat untuk menghalalkan tindakan, walau sebenarnya tersirat kepentingan kuasa, kumpulan ekonomi atau akibat tekanan politik dari luar pemerintah.

Kita perlu memandang serius hubungan seni dengan masyarakat. Selain soal hak asasi seniman dan kebebasan ekspresi seni, isu kelonggaran atau ketiadaan wawasan seni yang jelas cukup memprihatinkan. Begitu juga kongkongan akibat apa yang disebut-sebut "tradisi" atau "agama".

Tetapi lebih besar daripada ini semua, ketiadaan minat untuk bertukar-tukar pandangan secara terbuka, berdasarkan fakta atau falsafah keilmuan, dan berbahas dengan rasional. Saya percaya, isu-isu seumpama ini – hubungan seni dengan masyarakat – harus didemokrasikan, tidak wajar dikawal oleh sesuatu pihak sahaja.

Jika tiada wacana demokratik, seniman dan masyarakat tidak berlaku adil antara satu sama lain. Keadaan ini tentunya boleh menggugat wawasan seni, melemahkan seniman dan juga mencacatkan pembangunan bangsa.
--------------------------------------------------------------------------------
Dipetik daripada kertas diskusi ‘Seniman dalam Ekologi Seni’ (enam daripada lapan isu besar) yang disediakan oleh penulis ini kepada aktivis-aktivis Komunite Seni Jalan Telawi (KSJT), penganjur ‘Acara Baca Puisi Keliling’ sejak Januari lalu.

Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (8 Disember 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com

No comments: