Pratonton: Projek Suitcase 2003
Bicara tentang pengalaman dan evolusi Melayu dalam ruang kemanusiaan yang bebas dari kekangan politik, sejarah dan masyarakat
by Nizam Zakaria
Saya merasa agak beruntung kerana telah dijemput untuk menyaksikan pratonton “Projek Suitcase”, anjuran Pustaka Cipta yang mempersembahkan sebuah pesta monolog oleh Teater Ekamatra. Pratonton penuh bertenaga dan yang telah menampilkan dua buah karya baru monolog dari Malaysia ini telah diadakan di Stor Teater DBP baru-baru ini (dua buah karya lagi dari Singapura tidak ditampilkan bersama).
Apabila ditanya mengapa persembahan ini dinamakan “Projek Suitcase” , Lorna Tee, Penerbit projek ini menjelaskan bahawa “suitcase” telah digunakan sebagai satu metafora kepada satu projek teater yang mengembara dan dipersembahkan dari satu tempat ke tempat yang lain. Segala props yang digunakan dalam persembahan teater ini juga dikatakan kesemuanya boleh dimasukkan ke dalam sebuah “suitcase”. Teater yang berkelana ini juga membawa satu landasan metafora yang lebih mendalam, iaitu faktor bahasa dan budaya itu sendiri, yang pantas berubah mengikut suasana geopolitik yang dinamik. Maka, tidak hairanlah jika Projek Suitcase 2003 ini disebutkan sebagai sebuah projek yang ‘meraikan dan menuntut semula kepelbagaian kemelayuan’.
Projek Suitcase ini akan dipersembahkan di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka. Inilah kali pertama Stor Teater (yang mengikut konsep teater “black box” digunakan untuk persembahan teater (sepatutnya Saksi di persembahkan di sini terlebih dahulu). Seperkara yang menarik tentang Stor Teater ini adalah ia terbuka kepada mana-mana aktivis teater yang berminat untuk mengadakan persembahan mereka di sini. Keutamaan akan diberikan kepada persembahan teater bahasa Melayu (terutamanya teater Melayu indie) yang sering kali berhadapan dengan masalah kekurangan ruang untuk mempersembahkan karya-karya mereka. Stor Teater ini, walau bagaimanapun, hanya dapat menampung sebuah persembahan skala sederhana, tetapi memadai untuk persembahan teater indie yang selalunya berbentuk eksperimental.
Projek Suitcase telah dimulakan sejak bulan Februari tahun ini. Penulis-penulis drama yang dianggap tersohor di kalangan generasi muda dari Malaysia dan Singapura seperti Faisal Tehrani, Nam Ron, Alfian Sa’at dan Aidin ‘Alin’ Mosbit telah dikomisi untuk menulis serta menerbitkan monolog oleh Teater Ekamatra dari Singapura (dengan kerjasama rapat Pustaka Cipta). Sebelum ini, Teater Ekamatra pernah mementaskan “double-bill” Bulan Madu (2001) dan Causeway (2002) di Kuala Lumpur. Kedua-dua pementasan mereka ini telah mendapat sambutan hebat dari penonton, begitu juga dari pengkritik seni tanah air.
Keempat-empat penulis yang telah dikomisi ini telah diberikan segala kebebasan untuk berkarya bagi “meneroka dan memberi suatu suara peribadi dan langsung kepada adegan dan kisah bahasa/loghat Melayu yang kian hilang/tersembunyi/tidak nyata.” Monolog dipersembahkan setiap satu panjangnya 30 sehingga 45 minit. Monolog-monolog ini diharapkan agar dapat “memberi suara kepada pengalaman semasa dan keadaan yang menyelubungi kehilangan bahasa-bahasa suku kaum Melayu”.
Monsopiad & Lain-lain Cerita merupakan satu pengalaman pratonton yang menarik bagi saya. Karya Faisal Tehrani ini diarahkan oleh Rosdeen Suboh dan dilakonkan oleh Mohd Kamaludin Mohd Daud. Apa yang menarik tentang monolog ini adalah ia dipersembahkan di dalam dialek Dusun Lotud dan Bajau. Saya cukup terpesona melihat lakonan Mohd Kamaludin yang cukup bertenaga di tambah lagi dengan gerak-gerak tari yang bersifat tarian “interpretive”. Mohd Kamaludin telah mencipta sendiri koreografi untuk persembahannya ini, yang menurutnya koreografi Monsopiad & Lain-lain Cerita “menggunakan pergerakan moden dan abstrak yang mengikut kehendak skrip.” Perhatikan bentuk tarian yang telah disusun Mohd Kamaludin dengan sebegitu rupa agar dia dapat bergerak serentak dengan monolognya (juga eksplorasi tiga cara duduk orang-orang Sabah yang digubahnya agar nampak seperti tarian moden). Beliau dan Faisal Tehrani telah pergi sendiri ke Sabah untuk melakukan segala kajian bagi merealisasikan monolog ini. Monsopiad & Lain-lain Cerita adalah sebuah cerita tentang Layun Dongongu, seorang pesakit di Hospital Sakit Jiwa Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Dalam perjalanan cerita, kita akan dapat melihat beliau berkongsi pelbagai cerita mengenai orang-orang Dusun dan Bajau kepada Doktor Sardar yang sedang mengubatinya.
Saya cukup terhibur tatkala menyaksikan pratonton matderihkolaperlih, sebuah karya yang telah ditulis, diarahkan dan dilakonkan sendiri oleh Nam Ron. Monolog ini menceritakan tentang Idris Bin Kassim dari Kuala Perlis yang menceritakan kembali tentang dirinya ketika di awal remaja dahulu yang pernah terjebak dalam dunia gengsterisme. Kemudian, beliau keluar dari lingkungan kejahatan ini lantas belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang ahli politik. Menurut Nam Ron, idea untuk monolog ini datangnya dari pengalaman peribadinya di Kuala Perlis serta pemerhatiannya kepada dunia gengster yang menular sehingga ke peringkat atasan di mana ahli politik sendiri terjebak. Monolog yang bersifat “multifaceted” ini bagi saya agak menarik, lebih-lebih lagi kerana Nam Ron menggunakan kaedah ‘Brechtian’, lantas beliau akan beberapa kali memecahkan realiti alam pentas dengan cuba berinteraksi dengan penonton dan berhenti beberapa ketika tatkala berlakon untuk memaparkan kata-kata bersifat propaganda dengan menggunakan alat projeksi.
Aidlin ‘Alin’ Mosbit, mempersembahkan La Libre Latifa. Sebuah karya yang mengimbau nostalgia – satu perkara yang begitu dekat dengan dirinya (karyanya yang bertajuk ...Dan Tiga Dara Terbang ke Bulan adalah sebuah naskhah berunsur realisme magis yang cukup berkesan dalam hal membentangkan pengalaman wanita-wanita Melayu di Singapura). Monolog Adlin kali ini pula menampilkan watak Latifah yang akan “membawa kita dalam sebuah perjalanan masa lampau romantik beliau, keadaan kacau beliau hari ini, dan masa depan yang samar untuk membebaskan pemikirannya”. La Libre Latifa akan diarahkan sendiri oleh Alin dan akan dilakonkan oleh Molizah Mohd Mohter.
Alfian Sa’at, bukan lagi satu nama baru dalam dunia teater tempatan dengan beberapa buah karyanya pernah dipentaskan di Kuala Lumpur (Anak Bulan di Kampung Wa’ Hassan adalah sebuah karya monolog Melayu yang paling saya minati). Untuk Projek Suicase 2003, Alfian Sa’at mempersembahkan Minah & Monyet. Dalam karya monolognya ini, kita akan dapat melihat bagaimana nama-nama penulis Inggeris yang pernah menulis tentang Malaya diungkap semula melalui “sebuah kajian terhadap penjajahan dunia Melayu di balik latar sebuah meja makan, seorang wanita Melayu dan patung-patung monyet”. Karya terbaru ini telah diarahnya bersama Farah Ong, yang juga akan bertindak sebagai pelakon.
Projek Suitcase 2003 merupakan dua buah persembahan “double-bill”. Minah & Monet dan Monsopiad & Lain-lain Cerita akan ditayangkan bersama, begitu juga matderihkolahpilah dan La Libre Latifah. Pastikan anda tonton keempat-empat monolog yang ada agar anda dapat melihat dengan lebih dekat lagi pendekatan yang telah digunakan oleh keempat-empat penulis yang telah dikomisi – melalui penyelidikan dan metodologi untuk meraikan dan menuntut kepelbagaian yang wujud dalam dunia Melayu.
Persembahan perdana Projek Suitcase 2003 akan diadakan di Singapura (sempena Pesta Raya Festival Seni Melayu di The Esplanade). Di Kuala Lumpur pula, pementasan Projek Suitcase 2003 akan bermula pada ,10 Disember sehinggalah pada 14 Disember. Semua persembahan akan disertakan dengan sari kata dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Artikel ini diterbitkan atas keizinan penulisnya, Nizam Zakaria. Artikel ini telah disiarkan di Kakiseni pada 27 November 2003.
No comments:
Post a Comment