Tuesday, April 20, 2004



Hentikan Program Khidmat Negara!

Kerajaan didesak hentikan segara Program Khidmat Negara - Malaysiakini

1:40pm Mon Apr 19th, 2004

Parti pembangkang - PAS dan DAP - hari ini mendesak kerajaan supaya menggantung serta-merta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berikutan berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini dan yang terbaru ialah kes seorang pelatih wanita dirogol oleh jurulatih PLKN.

Ketika melahirkan rasa terkejutnya dengan kejadian tersebut, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar juga mendesak kerajaan supaya turut memberhentikan pengambilan kumpulan baru PLKN.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen PAS Tumpat, meminta kerajaan supaya membentang satu Kertas Putih mengenai pelaksanaan PLKN dalam persidangan Dewan Rakyat mulai 17 Mei depan.

"Saya mendesak kerajaan supaya mendedahkan kesemua masalah yang dihadapi sepanjang pelaksanaan PLKN untuk dibahaskan sepenuhnya di Parlimen," katanya kepada malaysiakini.

Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang turut mendesak supaya PLKN digantung sehingga siasatan bebas dijalankan untuk mengetahui mengapa program tersebut tidak selamat bagi peserta dan menghadapi banyak masalah.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengarahkan pihak polis mempercepatkan siatan terhadap dakwaan kes peserta berusia 17 tahun yang mendakwa dirogol oleh jurulatihnya di Kem Merang di Setiu, Terengganu paga 28 Februari lalu.

Keselamatan

Di samping itu, kata Lim, mereka yang mewujudkan program tersebut perlu dipertanggungjawabkan terhadap kejadian tersebut kerana gagal untuk memastikan keselamatan para pelatih, terutama anak gadis yang berusia dalam lingkungan 18 tahun.

Beliau turut membidas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Datuk Najib Razak dan Majlis PLKN kerana sebelum ini menyatakan bahawa keselamatan semua pelatih adalah terjamin sepanjang menjalani program tersebut.

Berikutan kejadian tersebut, kata Lim, apakah ibubapa masih boleh terus meletakkan kepercayaan mereka di bahu Najib dan ahli-ahli majlis PLKN tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera mengkaji keseluruhan pelaksanaan PLKN dan mengantungnya serta-merta sehingga keyakinan rakyat terhadap program itu dapat dipulih semula.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) kejadian seumpama itu berlaku kerana kelemahan dasar PLKN yang tidak begitu mengambil berat soal pembinaan kerohanian peserta, tetapi lebih cenderung menjadikannya pusat indoktrinasi politik Barisan Nasional (BN).

"Ini bukan pertama kali kes-kes jenayah dilaporkan berlaku dalam PLKN walaupun program ini hanya baru bermula tidak sampai dua bulan," kata ketua DPP, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan hari ini.

Keruntuhan akhlak

Selain kejadian pergaduhan di beberapa kem di Terengganu, Kelantan dan Perak, beliau berkata, DPP turut menerima aduan tentang kes-kes yang melibatkan gejala seksual di PLKN seperti tayangan video lucah di kem Perlis, tangkapan khalwat di kem Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan terbaru kes rogol di Kem Merang.

"Insiden-insiden ini jelas memberikan gambaran betapa buruknya keadaan di kem-kem PLKN.

DPP telah berkali-kali mengingatkan kerajaan supaya memastikan PLKN tidak menjadi pusat kegiatan maksiat seperti percampuran bebas lelaki perempuan, penyebaran budaya hedonisme dan budaya artis, kerana perkara boleh menjadi anasir kepada keruntuhan akhlak remaja.

"Tetapi Kerajaan BN tidak mahu mengambil iktibar daripada kegagalan program Rakan Muda. Akibatnya gejala-gejala yang sangat memalukan ini telah berkembang dalam satu program yang kononnya bertujuan untuk membina syakhsiyah dan patriotisme remaja," tambahnya.

Katanya, kejadian rogol yang terbaru ini sudah cukup untuk PLKN menyedari kelemahan ketara yang sedang berlaku dalam kurikulum PLKN dan ia perlu digubal semula.

"Oleh itu, DPP Pusat mendesak supaya PLKN dibubarkan sementara waktu bagi membolehkan satu siasatan menyeluruh dibuat dan satu penstrukturan semula dilakukan dari semua aspek," katanya.

Letak jawatan

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Ezam Mohd Nor pula berkata, dakwaan kejadian rogol itu memberi hak kepada ibubapa untuk menarik penyertaan anak mereka..

"Ancaman tindakan undang-undang dan tuduhan-tuduhan liar ‘tidak patriotik’ seharusnya tidak digunakan terhadap mereka kerana keselamatan anak-anak seharusnya menjadi keutamaan," kata Ezam dalam satu kenyataan.

Ezam juga berkata Najib, sebagai pengerusi jawatankuasa kabinet untuk program ini, harus meletakkan jawatan dan memberi laluan untuk penubuhan satu jawatankuasa bebas untuk membuat satu kajian menyeluruh.

"Perhatian serius juga perlu diberikan kepada latihan untuk jurulatih..perlaksaan program sebesar ini dengan persedian yang kurang mantap tidak akan mampu membina belia yang lebih berketrampilan mulia."


Inilah nasibnya jika sesuatu program dibuat secara ad-hoc, namun apa nak buat, kalau ideanya datang dari Tun Dr. Mahathir...semuanya betul belaka

1 comment:

Anonymous said...

plkn nie menyusah kan org..mse dk dh jd penangguh xnk lak dorg panggil..ble ak dh msok bljar..mse 2 ar panggil..bodoh btol..buang mse je..
berbazir buang duit kerajaan je dkat bdak2 plkn..dorg kuar pon bkan jdi org berguna gak..sme je prangai macam hantu..
HENTIKAN AR PLKN..ak xnk bazir mse ak duk dlam plkn..klo kuar trus jd askar xpe gak..nie jdi penangguh lgi..