Shibboleth Melayu- Nik Nazmi Nik Ahmad
“…Melayu kan gagah di nusantara!”
Minda saya mengembara kembali kepada nostalgia lama di mana saya sebahagian daripada sekumpulan remaja baru mumayyiz menyanyikan lagu Warisan di kamar sempit sebuah institusi yang mendakwa mengumpulkan crème de la crème (barangkali istilah Perancis paling awal yang kami kenali) pelajar lelaki Melayu, iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar, atau MCKK.
Lagu nasionalistik tersebut bukanlah eksklusif kepada MCKK sahaja. Sesiapa sahaja yang pernah menyertai kem-kem BTN, sekolah-sekolah asrama atau jabatan kerajaan, berkemungkinan besar mengetahui lagu tersebut, kiranya ada program yang melibatkan Bumiputera sahaja.
Lagu Warisan menjadi sebahagian daripada shibboleth Melayu, yang berakar umbi di dalam dasar pecah dan perintah penjajah yang diteruskan oleh pemerintah kita hingga ke hari ini. Shibboleth bermaksud doktrin yang sekian lama diperjuangkan oleh golongan tertentu, maka sudah semestinya shibboleth Melayu ialah dasar yang menjadi asas perjuangan UMNO.
Rakyat Malaysia amnya, dan bangsa Melayu amnya, selama-lamanya diajar tentang perit jerih bangsa Melayu di tanah peribumi mereka sendiri. Tidak siapa dapat nafikan hakikat tersebut, tetapi kesan rasa kekurangan ini, diciptakan rasa syak wasangka sembrono terhadap rakan-rakan rakyat Malaysia yang lain dan dicambahi pula pemikiran imperialis mengenai bagaimana bangsa Melayu ini secara semulajadinya lemah, pemalas, feudalistik dan gemar melagho. Inilah yang membolehkan bangsa lain mengeksploitasi bangsa Melayu sehabis-habisnya. Sedangkan bangsa lain mempunyai tanah air mereka untuk pulang, Tanah Melayulah tanah tumpah darah bangsa Melayu, dan kita tiada tempat lagi untuk tinggal kiranya meletus perang atau persengketaan etnik di Malaysia. Bumi Tanah Melayu dengan tanahnya yang subur, selamat dari bencana dan mewah dengan sumber menjadikan genetik yang diwariskan kepada bangsa Melayu hari ini lemah dan tidak dapat bersaing.
Shibboleth ini amat berguna bagi rejim pemerintah bagi meneruskan cengkaman mereka ke atas politik negara. Dengan didoktrinisasikan barah ‘kelemahan Melayu’ ini, maka bangsa Melayu memikirkan bahawa mereka perlu didodoikan dengan pelbagai kuota dan aksi afirmatif agar pepatah Hang Tuah – “Takkan Hilang Melayu Di Dunia” – akan terus terbukti benar.
Usah tersilap, saya bukannya cuba menyatakan bahawa persekitaran sosioekonomi kelas pekerja dan marhaen Melayu tidak memberi kesan negatif kepada prestasi mereka – tetapi saya menolak shibboleth perkauman yang mendakwa bahawa kelemahan ini adalah semulajadi kepada bangsa Melayu dan akan kekal sebahagian daripada bangsa Melayu selama-lamanya.
Faktor-faktor sosioekonomi yang umumnya tidak memberangsangkan memberi kesan negatif kepada kelas marhaen dan pekerja mana-mana bangsa. Sememangnya kelas marhaen dan pekerja di negara kita diisi sebahagian besarnya oleh bangsa Melayu, sedangkan bukan Melayu secara pecahannya agak dominan di kelas pertengahan dan atasan.
Saya menyokong aksi afirmatif, tetapi secara logiknya, aksi afirmatif sepatutnya tidak berdasarkan ras-ras perkauman, sebaliknya menumpukan untuk cuba meratakan padang persaingan antara semua rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik secara sosioekonomi dengan kelas menengah dan atasan. Apabila aksi afirmatif memecahkan kategori mereka kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera, seolah-olah mengandaikan dalam situasi sosioekonomi yang serupa, Bumiputera tidak dapat bersaing dengan bukan Bumiputera! Apa logiknya anak seorang OKB berbangsa Melayu diberi bantuan untuk memasuki universiti, sedangkan anak penoreh getah berbangsa India di ceruk sana diabaikan? Secara tidak langsung, kerana bangsa Melayulah yang paling ramai berada di kelas sosioekonomi yang daif, orang Melayu yang benar-benar perlukan bantuan akan mendapatnya, sedang orang-orang bukan Melayu yang daif tidak diabaikan. Pada masa yang sama, insentif bagi kebolehan, tanpa mengira latarbelakang sosioekonomi juga harus wujud agar kita tidak ketinggalan dalam persaingan sejagat.
Sistem yang mengutamakan Bumiputera secara kolektif dan mencicirkan bukan Bumiputera menimbulkan perasaan syak wasangka, dengki dan kemarahan. Orang Melayu dididik melihat orang Cina dan India sebagai bangsa yang tamak, licik dan akan menipu bangsa Melayu, sedangkan bukan Melayu melihat Melayu sebagai bangsa yang dimanjakan, dan mendapat biasiswa, kemasukan ke universiti, pekerjaan, kontrak dan tender bukan atas bakat, kebolehan atau usaha mereka, tetapi atas warna kulit kita! Seluruh dunia kini menuju persejagatan, tetapi kita masih mengamalkan sistem yang akan mengekalkan kita seolah-olah pada zaman penjajahan dahulu! Maka tidak hairanlah ramai rakyat Malaysia bukan Bumiputera, yang telah melalui sistem pendidikan negara dan terbukti berkemampuan tinggi, meninggalkan negara kita kerana negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia mengiktiraf kebolehan mereka dan membalasnya, sedangkan birokrasi kita meminggirkan mereka.
Ini turut membuktikan salah satu shibboleth tentang homeland bangsa tersilap. Bangsa bukan Melayu di negara kita, apabila mereka berhijrah, tidak memilih untuk pergi ke negara Cina atau India, kerana mereka mengiktiraf keadaan di negara kita lebih baik. Sebaliknya, mereka akan berhijrah ke negara-negara yang membuka peluang untuk bersaing secara adil dan mengiktiraf kebolehan mereka. Tindakan mereka meninggalkan Malaysia bukan dimotivasikan faktor perkauman.
Tambahan pula, sebahagian besar daripada bangsa Melayu hari ini berasal dari campuran antara penduduk Tanah Melayu dan penghijrah dari Nusantara. Malah, ‘Melayu’ itu sendiri nama tempat di Sumatera. Maka menggunakan pendapat bahawa jika ada huru-hara, bangsa bukan Melayu boleh pulang ke Cina dan India, kita ada Indonesia sebagai homeland kita. Tetapi persoalan homeland ini bukanlah realiti, dan jarang menjadi motivasi penghijrahan rakyat Malaysia.
Sesungguhnya, di dalam Quran termaktub, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri mengubahnya (Surah Ar-Rad: 11). Bangsa Melayu harus berani untuk beransur-ansur bersaing di atas padang sama rata dengan bangsa-bangsa lain tanpa mengharap layanan istimewa sesiapa sahaja! Pada masa yang sama, aksi afirmatif yang membantu setiap rakyat Malaysia atas dasar keadilan, berpandukan keadaan sosioekonomi wajar menggantikan aksi afirmatif perkauman yang wujud hari ini. Baru kita buktikan “Melayu kan gagah di nusantara!” kerana kita sama-sama gagah dengan bangsa lain, boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi; bukannya kegagahan masochistic bagi mendominasi bangsa lain dan mempersetankan pluralisme masyarakat Malaysia.
Tetapi sukar sekali untuk mengharapkan parti-parti rasis melaksanakannya! Selama ini, penguasaan mereka dibolehkan dengan melaga-lagakan antara kaum di negara kita, menyebarkan mitos-mitos mengenai ancaman sesama kaum di Malaysia agar pembangkang yang benar-benar bersatu padu tidak akan lahir. Aksi afirmatif mereka juga banyak tertumpu pada mencipta beberapa entiti korporat Bumiputera (yang kini lingkup satu semi satu) sedangkan nasib Melayu di kampung tidak terbela.
Kesan shibboleth Melayu ini, Bangsa Malaysia yang diimpikan kewujudannya oleh Dr. Mahathir di dalam Wawasan 2020 cuma satu igauan pada malam yang gelap-gelita dan tidak akan menjadi realiti sampailah kita berani berfikir di luar kerangka perkauman.
No comments:
Post a Comment