Friday, April 16, 2004



Sukan Asia 2010

Keputusan kabinet untuk tidak menyokong penawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia pada tahun 2010 telah disambut dengan reaksi yang pelbagai. Malaysia melalui Majlis Olimpik Malayia(MOM) setelah membuat bidaan untuk memperoleh hak menjadi tuan rumah hanya memerlukan surat persetujuan dari kerajaan Malaysia bagi membolehkan ia bertanding satu lawan satu dengan Guangzhou.

Ramai yang mengatakan peluang Malaysia untuk terpilih menjadi tuan rumah kali ini kelihatan lebih cerah berbanding pada penawaran terdahulu di mana kita telah kalah kepada Doha. Secara peribadi, saya amat mengharapkan agar kabinet seperti biasa akan meluluskan penawaran MOM ini. Ini disebabkan temasya sukan terbesar yang akan diadakan di negara ini dalam tempoh yang terdekat adalah pada Sukan Sea 2019, iaitu 15 tahun dari sekarang.

Keputusan kabinet kali ini agak mengejutkan kerana kabinet sebelum ini sentiasa menyokong penawaran-penawaran seperti ini terutamanya yang berskala besar. Jarang persoalan tentang kos yang agak tinggi diberikan sebagai alasan untuk menolak. Lihat sahaja Sukan Komanwel 1998, Formula 1, Moto GP dan sebagainya.

Saya masih teringat detik-detik waktu saya berjalan di ibu negara di dalam satu program yang dipanggil 'Berjalan Untuk Negara' yang mana ia diadakan bagi menunjukkan sokongan padu rakyat terhadap tawaran Malaysia untuk menjadi hos pada 2006. Acara ini juga menjadi titik sejarah di dalam hidup saya kerana ia adalah salah satu daripada hanya beberapa program yang dianjurkan kerajaan Malaysia di bawah BN yang saya sukarela menyertainya.

Malangnya kita telah tewas pada kali itu dan saya yakin bahawa kerajaan masih berminat dan akan menyokong penawaran seterusnya dan sekarang keyakinan saya itu jelas tidak tepat. Walaubagaimanapun, saya juga agak bersetuju dengan langkah kabinet ini kerana ia merupakan satu titik perubahan terhadap gejala dan fenomena 'Malaysia Boleh' yang dianjurkan oleh bekas PM kita, Tun Dr. Mahathir.

Saya ingin memetik kata-kata Dr. S. Shamala, Setiausaha Persekutuan Hoki Wanita Malaysia, "I think the Government plan to make the world-class facilities we have at our disposal accessible to the man on the street first before thinking of staging events of such magnitude. It is a global approach, so to speak.

I reckon once a sporting culture among us is in place and the facilities are fully utilised, the Government will only be too happy to bid for the Games in future."
. Saya sangat bersetuju dengan pandangan beliau.

Rakyat di negara ini masih belum mempunyai budaya sukan yang unggul seperti mana yang terdapat di negara-negara barat. Sering kelihatan kemudahan-kemudahan sukan yang dibina jarang digunakan sebaiknya sama ada disebabkan oleh kadar sewa yang mahal atau sikap rakyat yang tidak ambil peduli tentang sukan.

Apabila tiada budaya sukan, maka kita akan sering dapat melihat acara-acara sukan yang dianjurkan di negara ini jarang diketahui dan dihadiri rakyat tempatan. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh hendak menonton pertandingan hoki Piala Dunia 2002 yang diadakan di Bukit Jalil? dan berapa ramai yang bersungguh-sungguh untuk melihat jaguh lumba motorsikal tempatan kita, Shahrul Yuzy beraksi di Sepang satu ketika dahulu?

Pada akhirnya, di kala saya agak terkilan dengan keputusan kabinet ini yang mana kesannya terhadap saya adalah kehilangan peluang untuk menatap jaguh-jaguh dunia dari negara China, Korea Selatan, Jepun dan mungkin juga Malaysia beraksi di depan mata seperti mana bertuahnya saya dapat menatap Ato Boldon memenangi gelaran ratu pecut Komanwel di Bukit Jalil satu masa dahulu. Saya gembira dengan langkah ini kerana ia menunjukkan kepada kita bahawa kabinet baru di bawah Pak Lah ini agak berbeza dengan yang sebelumnya walaupun saya masih tetap bersikap skeptikal. Cuma yang perlunya jika ianya baik dan berfaedah, kita perlu bersetuju dan menyokongnya.

Doa dan harapan saya kali ini adalah agar skuad Piala Thomas negara yang akan beraksi di Jakarta bulan hadapan dapat membawa kembali piala keagungan badminton tersebut ke tanah air tercinta ini. Saya berharap untuk mendengar suara Hasbullah Awang dengan semangatnya berkata, "Adakah mata yang ditunggu-tunggu selama 12 tahun akan akan muncul....dan itu dia, Malaysiaaaaa berjayaaa menjadi juara Piala Thomas setelah menunggu sekian lamanya...".

Di ketika itu, saya amat pasti air mata akan bergelinangan kegembiraan dan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, PAS, UMNO, Keadilan, DAP akan bersatu hati bergembira bersama. Harus dingat, sukan adalah salah satu elemen penyatuan yang amat berkesan. Malaysia boleh!

No comments: