Tuesday, April 20, 2004

Rasuah, Sombong, Tidak mendengar keluhan rakyat= UMNO

Sila klik di sini untuk membaca temuramah yang sangat menarik bersama tokoh pemikir Islam, Prof. Datuk Dr. Syed Hussein Alatas yang disiarkan di Mingguan Malaysia 18 April 2004. Saya tidak dapat menahan diri daripada untuk bersetuju dengan kebanyakan pandangan beliau. Isi kandungan temuramah ini harus dibaca dan dibincangkan secara mendalam oleh semua rakyat Malaysia terutamanya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Di bawah ini adalah beberapa petikan yang menarik untuk didebatkan oleh kita semua;

Propaganda bagaimana yang ditolak itu?

SYED HUSSEIN: Rakyat menolak Pas bukan kerana ia mengemukakan dasar Islam sebagai perjuangannya; bukan itu yang menyebabkan ia tidak berkesan. Ia tidak berkesan kerana sifat pimpinan Pas itu. Parti itu dipimpin bukan oleh mereka yang ahli dalam masalah politik zaman sekarang.

Dalam gerakan Islam yang sangat berkesan di mana-mana pun di dunia ini, pimpinannya bukan daripada golongan yang tidak ada latar belakang pendidikan zaman sekarang.

Ambil kelahiran negara Pakistan sebagai contoh. Kita boleh melihat bagaimana rakyatnya termasuk para pemimpin madrasah dan lebai-lebai yang menyokong kelahiran Pakistan itu mengangkat Muhammad Ali Jinnah sebagai pemimpin. Ketika itu ada banyak pemimpin yang berpengaruh di Pakistan tetapi mereka mengangkat Jinnah


[...]

Sekiranya protes itu turun ke tahap yang lebih rendah apakah Pas akan berkubur?

SYED HUSSEIN: Sampai ke tahap terkubur itu tidak mungkin tetapi ia tidak akan mempunyai pengaruh yang besar. Lagi pula ada baiknya kalau ada pembangkang kepada UMNO.

Sebelum 1987, Pas tidak ada pengaruh. Ia menang di Kelantan kerana adanya krisis dalam UMNO, adanya Semangat 46. Itu juga yang berlaku pada 1999 kerana adanya Keadilan. Bagaimanakah keadaan sekarang ini ketika Keadilan sendiri semakin lemah?

SYED HUSSEIN: Pas bermula sendiri, telah bergerak sendiri sejak lama dulu sehingga menjadi besar kerana ada pengikutnya yang setia.

Saya lihat Pas akan mengubah gaya kepimpinannya pada masa depan. Golongan yang bukan ulama akan memimpin Pas, bukan sekarang tetapi mungkin dalam jangka waktu yang dekat, kalau ada pemimpinnya yang muncul.

Apakah sudah ada pemimpinnya?

SYED HUSSEIN: Bakat-bakatnya ada tetapi sejauh mana mereka itu boleh berhasil kita tidak tahu.

Tetapi golongan ulama itu dilihat akan terus cuba bertahan.

SYED HUSSEIN: Memang betul tetapi kalau masa perubahan itu sudah datang, ia dengan sendirinya akan terjadi


[...]

Dalam konteks parti-parti Islam di dunia, di manakah kedudukan Pas?

SYED HUSSEIN: Pas sangat-sangat terkebelakang dalam pemikiran mengenai dasar dan ideologinya. Pemimpin parti-parti Islam di negara lain lebih matang dan tahu berfikir. Berbanding dengan Indonesia misalnya, parti Islam di sana jauh lebih tinggi, mendalam dan maju dalam pemikiran serta perjuangan Islam. Itu sebabnya Pas tidak boleh berkembang


[...]

Apakah ahli-ahli UMNO tidak sedar bahawa kelemahannya menjadi sumber kekuatan Pas?

SYED HUSSEIN: Masalah ini berlaku kerana pimpinan semua peringkat dalam UMNO membiarkannya. Politik wang sudah meresap dalam darah daging UMNO sehingga terpaksa ditegur beberapa kali. Politik projek juga menular. Malah politik parti juga ditentukan oleh unsur-unsur begini. Bagaimanakah parti seperti itu boleh menarik orang?


[...]

Apakah yang tidak diharapkan berlaku di kalangan pimpinan UMNO menjelang pemilihan UMNO tidak lama lagi?

SYED HUSSEIN: Saya sebenarnya setiap hari sejak bertahun-tahun sudah mengharap bukan hanya sekarang ini saja, supaya ahli-ahli UMNO jangan berpolitik macam budak-budak.

Budak-budak kalau bermain selalu bergaduh, hendak berebut ini dan itu, ada yang jadi samseng dan kalau kalah merajuk. Budak-budak tidak duduk merancang secara mendalam seperti orang dewasa.

Harapan saya jangan berpolitik seperti budak-budak. Mereka mesti menunjukkan satu watak politik yang matang dan tidak dipengaruhi oleh emosi.

Misalnya tentang pertandingan. Kenapa mesti takut bertanding seolah-olah ia satu dosa? Itu kepada saya sikap budak-budak. Orang dewasa kalau hendak bertanding, bertandinglah, tidak akan ada apa-apa.

Dasar kita demokrasi. Bagaimana dalam demokrasi tidak ada pertandingan? Kalau tidak mahu tidak mengapa tetapi kenapa kita mesti mengambil keputusan jangan ditandingi jawatan itu dan ini. Kalau parti itu mahir dan tidak dipengaruhi oleh emosi, selepas pertandingan menang atau kalah tidak akan menjadi masalah.

Ini maksud saya dengan politik budak-budak. Kalau kita hendak bahaskan kenapa watak politik yang matang perlu dibentuk, kita boleh bercakap mengenainya selama berjam-jam. Biasanya kanak-kanak tidak memikirkan hal-hal yang penting, untuk negeri dan bangsa. Mereka hanya memikirkan masalah permainan - siapa hendak main apa?

UMNO mesti menunjukkan daya fikirnya dalam masalah-masalah yang besar. Wakil rakyatnya mesti dididik mampu membahaskan masalah masyarakat secara mendalam. Para pemimpinnya mesti menunjukkan kekuatan berfikir dalam pelbagai masalah. Orang Melayu berdepan dengan beratus masalah. Tumpuan mereka mesti ke situ, bukannya tentang jawatan dan pertandingan.

Saya hairan kenapa setiap kali pemilihan parti perkara yang dibahaskan ialah siapa naik, siapa jatuh


[...]

Dari awal Prof. memberi gambaran bahawa Pas dan UMNO perlu berubah. Sekiranya kedua-dua parti sedia melakukan perubahan seperti yang Prof. sebutkan, bagaimanakah bentuk politik yang akan kita lihat nanti?

SYED HUSSEIN: Kalau kedua-duanya berubah, bentuk politik yang akan kita lihat nanti lebih sihat dan lebih memanfaatkan masyarakat. Kalau ada dua parti Melayu yang bersaing atas dasar pemikiran dan jujur, bukannya kerana kepentingan peribadi atau politik projek, kita akan dapat menilai dasar parti mana yang lebih baik.

Kalau UMNO menganggap dirinya parti yang boleh memberi manfaat kepada Melayu, itu bagus. Tetapi ia mesti berfikir lebih mendalam berbanding parti lain.

Jika pemikirannya cetek dan parti lain lebih mendalam, rakyat akan menyokong parti tersebut. Ini biasa berlaku di Eropah apabila rakyatnya menyokong sesebuah parti kerana dasar-dasarnya.

Kalau kita mahir berpolitik dan parti-parti bertanding atas dasar perancangan dan pemikiran tentang dasar-dasar tertentu, itu satu keuntungan bagi rakyat


[...]

Adilkah kita membandingkan diri dengan Eropah yang mana masyarakatnya lebih matang dan terbuka?

SYED HUSSEIN: Betul. Tetapi ke manakah arah tujuan kita? Contohnya, mereka dapat mengawal rasuah sehingga tidak merosakkan negara. Adakah kita tidak mahu menuju ke arah itu? Takkan kita hendak berpaling kepada negara yang rosak kerana rasuah? Dalam Islam juga tujuan kita mestilah mencari yang terbaik.

Apakah lagi pesanan Prof. kepada UMNO atau BN?

SYED HUSSEIN: Mereka harus membina satu hubungan yang baik dengan pembangkang. Berikan kesempatan kepada pembangkang menyuarakan pendapat dan berunding dengan BN. Anggaplah mereka sebagai rakan kongsi dalam memajukan negara. Ia tidak akan merugikan UMNO malah akan menguntungkan parti.

Kalau kita mengatakan pembangkang mestilah mengkritik secara membina, pemerintah juga mesti begitu. Kalau kerajaan hendak mengkritik pembangkang mestilah juga dengan membina.

No comments: