Silap mata dan pilihanraya umum kesebelas - Hishamuddin Rais
Ketika kanak-kanak dahulu, di Kampung Batu Serambai Jelebu, jiran saya ialah seorang pemain/pengamal silap mata - Raja Husin The Magician gelarannya. Dia penghibur/pelawak untuk anak-anak sekolah.
Selalunya diminggu-minggu akhir persekolahan atau di hari-hari perayaan, Raja Husin akan diundang untuk membuat pertunjukkan menghibur anak-anak murid dengan permainan silap matanya. Dia bukan hanya terkenal di Jelebu malah saya difahamkan dia juga sering mengadakan pertunjukkan di pelbagai tempat di Negeri Sembilan.
Sebagai anak kecil saya bagitu tertarik dan takjub dengan silap mata Raja Husin ini. Bola di tangan boleh hilang. Bola boleh muncul dari telinga. Itek keluar dari topi. Dari tongkat keluar bunga. Air hilang dalam kertas. Kertas muncul dari tangan kosong. Kotak hitam yang kosong tiba-tiba dipenuhi kertas dan kemudian kertas ini hilang entah ke mana dan seribu satu permainan yang menakjubkan anak-anak.
Dua orang anak The Magician ini - Raja Ayin dan Raja Musa - menjadi kawan sepermainan saya. Dari mereka berdua, saya mendengar surah bagaimana ayahanda mereka memiliki ilmu halus/ilmu sihir, bagaimana ayahanda mereka memberi 'orang halus' ini makan telur setiap malam Jumaat. Bagaimana di rumah mereka ada sebuah bilik rahsia dimana tidak dibenarkan sesiapa pun memasukinya kecuali The Magician.
Dari Raja Husinlah pertamakalinya saya mendengar bunyi 'Sin Salabin', mantra seruan sihir sebelum pertunjukan dimulakan. Semua ini, ditambah pula dengan cerita dan surah yang saya dengar dari anak si tukan silap mata, menambahkan lagi ketaksubaan saya terhadap Raja Husin. Saya dipagari oleh imaginasi yang melaut. Saya juga menyimpan hati untuk menjadi tukang silap mata yang memiliki ilmu sihir agar dapat merentas dunia ini tanpa halangan.
Sayang sekali, ketaksubaan dan ketakjubaan zaman kanak-kanak saya ini pecah berderai-derai apabila saya sampai ke kota London. Tidak jauh dari sekolah, saya ada sebuah kedai - The Trick Shop - yang menjual seribu satu macam jenis permainan silap mata. Di kedai ini saya temui tongkat Raja Husin, topi Raja Husin, kertas Raja Husin, gelang Raja Husin, malah kitab amalan/teknik untuk membuat silap mata pun ada terjual sama.
Persetujuan rakyat
Ha ha ha ha…. Rupa-rupanya Raja Husin The Magician tidak memiliki ilmu sihir. Tidak ada orang halus yang makan telur. Sin Salabin itu bukan mantra sihir tetapi teknik suara untuk mengkagumkan anak-anak sekolah. Raja Ayin dan Raja Musa kawan sepermainan saya, hanyalah penjaja mitos - menjual cerita kehebataan sihir ayahanda mereka.
Oh la laa…pilihanraya 2004 dua minggu lalu ini mengingatkan saya kembali kepada arwah Raja Husin. Bagi saya, pilihanraya umum ke-11 ini hanyalah satu pertunjukan silap mata. Haha haha…satu silap mata untuk mengolah persetujuan rakyat agar Barisan Nasional terus memerintah.
Tapi si Tukang Silap Mata Pilihanraya 2004 ini tidak secerdik Raja Husin The Magician dari kampung saya. Tidak ramai rakyat yang terhibur. Malah semakin ramai yang menjerit... tipu! Tipu! Saya kasihan melihat Suruhanjaya Pilihanraya ( SPR). Mereka seharusnya berperanan sebagai Raja Ayin dan Raja Musa, menjual mitos tentang kehebatan, ketelusan dan kejujuran pilihanraya.
Dua minggu sebelum pilihanraya berjalan, kepala-kepala di SPR ini berlagak dengan begitu sombong sekali. Menolak semua bentuk kritikan. Mengherdik sesiapa saja yang berani bersuara. Memperlekeh badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba meningkatkan darjat ketelusan pilihanraya di negara ini. SPR berlagak sebagai Mahafiraun - lebih Firaun lagi mem-Firaunkan.
Tetapi akhirnya sebagai budak suruhan, Mat SPR Kong Ka Likong ini terpaksa menelan, bukan saja ludah sendiri tetapi wajib dipaksa meminum air peluh dari ketiak Orang Kuat Malik Noor. Mengapa tidak ? Datuk SPR ini sendiri yang meminta air peluh ini '…saya minta maaf… dan merasa malu…' Ini kenyataan rasminya yang dilaporkan oleh semua media sehari selepas pembuangan undi.
Bukankah ini satu kenyataan yang bebal lagi membebalkan - minta maaf dan malu konon! Ini bukan cerita makan kenduri, boleh minta-minta maaf dan merasa malu. Kalau Datuk SPR ini membuat kenduri anaknya bersunat atau isterinya berlenggang perut dan nasinya mentah atau gulai kurmanya terlalu masin, maka bolehlah dia merasa malu dan minta maaf. Tetapi pilihanraya bukan kenduri bersunat. Piliharaya ialah proses demokrasi untuk mencari parti yang akan diberikan kuasa oleh rakya untuk mengendalikan negara!
Lampu padam
Apa yang kita baca di akhbar, apa yang kita lihat di kaca TV atau apa yang kita dengar di warong-warong hanyalah mantra-mantra ilmu sihir SPR yang tidak mengeras dan sedang terbengkalai. Contoh-contoh yang saya berikan ini cukup sedih sekali. Dalam kesedihan ini kita juga dapat tersenyum dan ketawa. Apa jenis senyum ini tidaklah dapat saya nukilkan. Maaf.
Kes yang pertama yang paling lawak ialah apabila api elektrik padam di tempat pengiraan undi di Gombak. Saya sendiri bertemu dengan seorang pemuda Keadilan yang berjaket/berlencana sebagai pegawai Keadilan di pejabat Azmin Ali. Dari saku jaketnya keluar lampu picit yang saya rasakan cukup baik untuk dibawa menyuluh kijang dan napoh di Ulu Jelebu. Tetapi lampu picit bukan untuk dibawa memburu tetapi digunakan untuk mencerahkan meja pengiraan undi di Gombak.
Haha haaa.. Cerita lampu padam ini telah menjadi mitos rakyat. Dahulu semasa Tengku Razaleigh bertanding untuk menjadi presiden Umno, lampu elektrik telah juga padam semasa kertas undi dikira. Hasilnya rakyat dizalimi sepuluh tahun lagi. Kerana teringatkan kes Tengku Razaleigh ini bila saya berhadapan dengan pemuda Keadilan ini, saya tersenyum dan ketawa.
Tersenyum kerana silap mata jenis ini masih ada lagi dan boleh dipakai. Dan saya ketawa kerana pemuda Keadilan ini, dalam kegigihan perjuangannya, telah gagal melihat 'api elektrik padam di Gombak ' ini sebagai permainan silap mata Barisan Nasional.
Kemudian saya terlihat gambar-gambar di akhbar Cina bagaimana peti-peti undi dan beberapa bungkus kertas undi telah ditemui terbuang. (Orang Melayu - kerana mereka bersunat - tidak dibenarkan melihat gambar-gambar ini - lalu tidak ada laporan dalam Utusan Malaysia ). Cerita bergambar ini ditambah pula dengan penemuan kertas-kertas undi pos di Sabak Bernam. Semua kisah-kisah ini akan menjadi cerita-cerita penglibur lara yang akan disurahkan dari datuk ke cucu dari cucu ke cicit tahun demi tahun.
Kisah pengundi hilang nama bukan lagi satu perkara yang memeranjatkan. Apa yang memeranjat dan menghairankan ialah apabila si pengundi dapat menemui nama mereka di dalam komputer dan tersenarai sebagai pengundi. Untuk saya inilah yang lebih menakjubkan. Rupa-rupanya ada juga nama pengundi yang tersenarai dan dibenarkan mengundi. Alhamdulliah.
Di Selangor pula, kerana terlalu terang Tukang Silap Mata membuat Kong Ka Likongnya, maka SPR terpaksa menambah dua jam lagi masa untuk mengundi. Ini sebenarnya satu lawak bodoh untuk menceriakan kemarahan rakyat yang gagal menemui nama mereka yang telah telah disunglap.
Kertas undi
Tambahan masa ini dilakukan dengan harapan rakyat akan terus percaya kepada pilihanraya. Fikirkan, kalau ditambah pun masa 20 jam atau 200 jam atau 2,000 jam, tidak ada apa yang akan berubah. Ini kerana nama mereka telah hilang, lesap dan kaput. Para pengundi bukan kesuntukan masa - mereka kehilangan nama. Nama mereka tidak disenaraikan sebagai pengundi.
Bagaimana pula dengan kes pengudian di P036 Kuala Terangganu di mana Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dari Pas bertanding. Ini betul-betul Sin Salabin. Ada 10,254 jumlah kertas undi yang tidak dikembalikan. Saya merasa lembaga SPR menganggap orang Terangganu ini agak 'bebal' kerana mereka tidak dapat minum minyak petrol.
Tetapi pada anggapan saya, orang Terangganu tidak mungkin sebebal ini, sehinggakan 10,254 kertas undi dibawa pulang ke rumah. Nak buat apa. Jika mereka pengundi Cina saya faham tujuannya, kertas ini boleh digunakan di tandas tetapi semua yang mengundi adalah orang Melayu yang 'mencebok' dengan air. Ini betul-betul silap mata.
Saya minta maaf kerana apa yang saya nyatakan ini bukan tohmah atau fitnah. Saya pungut dari laporan laman rasmi SPR sendiri. Bila cerita silap mata 'kertas undi tidak dipulangkan ' ini tersebar meluas, SPR telah melakukan satu lagi 'magic' - angka-angka ini telah diubahsuai. Sekarang ini banyak maklumat tentang pilihanraya 2004 tidak mungkin lagi dapat ditemui dari laman SPR. ( Saya kesian dengan projek MSC Mahathir - rakyat yang cinta IT telah dirabun siberkan oleh SPR )
Kemudian persoalan timbul tentang kubur-kubur (baca alamat ) pengundi hantu yang telah ditemui oleh badan NGO PiBebas (Malaysian For Free And Fair Election) dua minggu sebelum pilihanraya berlangsung. Hantu-hantu ini masih berkeliaran. Ada yang menyamar sebagai polis dan semakin banyak yang menyamar sebagai soldadu. Apakah polong dan pelesit-pelesit ini akhirnya dapat ditalkinkan atau mereka akan terus berkeliaran. Tanya. Tanya. Tanya.
Sebenarnya, saya tidak menggalakkan kita yang cintakan ketelusan pilihanraya, terus menghabiskan masa bergelumang seperigi dengan SPR ini. SPR seharusnya wajib kita mandi junubkan sebelum pilihanraya. Sesudah pilihanraya berjalan apa yang harus kita sedari dan fahami ialah bagaimana silap mata pilihanraya 2004 ini dijalankan. Jangan kita terperangkap dan mengarahkan kemarahan kita kepada SPR. Ini kerja yang sia-sia.
Pengiraan undi
Meminta si polan ini letak jawatan atau si polan itu berhenti kerja, bukan jalan penyelesaian untuk membuka ruang demokrasi di negara ini. Jika mereka meletakkan jawatan, ertinya kita telah menipu diri kita sendiri.
Jika ada sesiapa di SPR meletakkan jawatan, ertinya yang melakukan kesalahan pilihanraya 2004 ialah cara kerja dan kecuaian individu-individu ini. Ini tidak betul. Apa yang wajib dilihat ialah struktur, hukum hakam dan keseluruhan sistem pilihanraya di negara ini. Ini asas prinsip tuntutan. Bukan minta orang ini atau orang itu berhenti kerja.
Saya yakini bahawa operasi penipuan piliharaya tahun 2004 ini telah dijalankan secara licik, seperti gerak kerja ketenteraaan. Atau apakah mungkin kelicikan ini lahir kerana pengarah piliharaya untuk Barisan Nasional tahun 2004 ini ialah Mamat 241 aka Najib Razak (241 jumlah undi tahun 1999) yang juga Menteri Pertahanan.
Silap mata ini dari pengamatan saya, telah mengikut perancangan licin seperti serangan tentera. Justeru, bagi saya, Pilihanraya 2004 adalah satu penipuan struktural yang jelas dan kita tidak memerlukan lampu picit untuk menyuluh-nyuluhnya.
Lagi buktinya: lihat saja bagaimana radio dan TV telah menyiarkan tentang kekalahan Kelantan dan Terengganu. Kemudian diikuti oleh laporan Radio dan TV yang memberitakan kekalahan Nik Aziz Nik Mat dan Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tiba-tiba pengiraan undi ditamatkan dan akan disambung keesokan harinya. Sebenarnya ini bukan pengiraan undi. Ini adalah taktik 'membeli masa' agar perbincangan dapat dilakukan di antara 'operasi ketenteraan' dengan pengemudi politik.
Tukang main songlap silap mata tidak memahami kepentingan politik. Dalam wacana politik, rakyat wajib terus diyakinkan dengan silap mata 'pilihanraya'. Justeru, Kelantan wajib di kembalikan kepada PAS dan Nik Aziz yang telah tewas wajib dimenangkan kembali. Lihat sahaja bagaimana tidak masuk akal apabila Wan Azizah yang telah kalah dengan 47 undi, tetapi esok paginya, bila kiraan dibuat sekali lagi, beliau telah menang dengan kelebihan 500 undi. Ini silap mata namanya.
Putarbelit
Saya adalah individu yang paling gembira apabila melihat semua yang berlaku sewaktu pilihanraya tahun 2004 ini. Ini bukan kerana calon yang saya sokong menang atau musuh politik saya tewas. Tidak. Saya gembira kerana selama ini saya telah banyak menulis dan menerangkan bahawa struktur pilihanraya yang ada sekarang ini adalah satu struktur penipuan dalam usaha mengolah persetujuan rakyat.
Apa yang telah berlaku dalam pilihanraya dua minggu lalu, membuktikan kebenaran apa yang telah saya tulis. Saya juga gembira kerana silap mata ini semakin tidak menjadi. Magiknya tidak sekeras dulu lagi. Sihir dan serapahnya telah menjadi tawar. Orang ramai yang terpegun dengan pilihanraya yang lepas-lepas, kini semakin sedar tentang putarbelit peti undi.
Kalau semasa saya kanak-kanak dulu saya takjub melihat Raja Husin dapat mengeluarkan kertas demi kertas dari kotak hitamnya sehinggalah saya temui kotak ini rupa-rupa nya ada terjual The Trick Shop. Peti undi kita yang berwaran hitam dan tidak dapat dilihat apa di dalamnya berupaya mengeluarkan kertas demi kertas tanpa henti-henti. Tidak ada sihir dalam piliharaya ini, apa yang ada hanya perancangan dan penipuan.
Kalau Menteri Penerangan Iraq dianggap sebagai pelawak dan badut tersohor dengan kenyataan-kenyataan lawak beliau semasa Bush menyerang Baghdad, maka pilihanraya tahun 2004 ini Si Badut Nasional kita ialah Pengarah SPR sendiri.
Lawak beliau yang paling 'best' dan paling cun dari ialah '…. saya membenarkan pengiraan ini walau pun sampai seratus tahun! Hahaha… Datok Ooooi ….kalau seratus tahun kita mengira undi, lebih baik diulang buat sekali lagi pilihanraya yang tidak diyakini ini. Kan den dah kato, dio penipu !
No comments:
Post a Comment