Friday, April 30, 2004

Ulama bukan tongkat Musa- Fathi Aris Omar

Tiba-tiba hari ini Farish A Noor dan Astora Jabat senasib – kedua-duanya tidak disenangi oleh sejenis golongan ulama tertentu. Penulis kolum malaysiakini itu ditolak oleh PAS, sementara wartawan Utusan Malaysia itu dihalang ulama kerajaan dan Umno.

Walau pandangan Farish itu rasional dan berpada-pada menilai parti Islam tetapi kita hairan melihat ‘latah yang luar biasa’ (akibat kalah teruk?) daripada dua tokoh agamawan PAS, Dr Haron Din dan Abdul Ghani Samsuddin.

Dalam wawancara bertajuk ‘Farish Noor berprasangka buruk terhafap ulama’ (Harakah, 1-15 Mei), presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berkata: "Saya kesal kerana kebanyakan tulisan beliau yang saya ikuti didapati rujukannya ialah daripada bahan tulisan yang diilhamkan oleh golongan orientalis Barat."

Sementara Haron pula berhujah: "Mereka (pembaca Harakah) membantah, bukan penulisan (artikel Farish) tersebut tetapi penulisnya yang menunjukkan terang-terang sikapnya, permusuhannya yang tidak senang dengan pergerakan Islam. Lebih-lebih lagi karektornya sudah diketahui umum yang mana tidak senang dengan kebangkitan Islam.

"Secara lebih terang, penulis ini dalam tulisannya mengkritik PAS dengan cukup pedas dengan mengatakan PAS gagal memahami situasi dalam masyarakat."

Tidak cukup dengan wawancara ini, seorang lagi tokoh agama PAS dari Kedah menggesa semua wartawan yang terbabit meluluskan penerbitan artikel Farish ini "bertaubat" kerana "berdosa besar"!

Perang besar

Bekas imam besar kerajaan ini mengeluarkan ‘fatwa’ menarik tersebut dalam satu kuliah agama di pejabat Harakah kepada sekumpulan kakitangan akhbar itu. Dengan khabarnya, ada golongan Pemuda PAS yang meminta pengarang akhbar itu, Zulkifli Sulong, melepaskan jawatan!

Apa dosa Farish sehingga tiga agamawan ini seakan-akan berang? Tidak cukup dengan siaran Harakah, wawancara dengan Haron itu diterbitkan pula dalam edisi Harakahdaily.net. Nampaknya PAS telah mengisytiharkan ‘perang besar’ terhadap tulisan Farish itu. Layakkah tulisannya kali ini diberikan reaksi sebegitu rupa dan untuk apa?

Dalam rencana ‘Memikirkan semula pendekatan PAS’ (Harakah, 15-30 April) sebagai mengulas parti itu selepas ketewasannya dalam pilihan raya umum lalu, Farish menawarkan analisis yang menarik walau tidak secara terperinci tentang pilihan raya umum.

Tulisannya matang dan luwes, tidak jauh pandangannya tentang PAS dalam kolumnya di malaysiakini. Malah perspektif Farish begitu sederhana, seakan-akan terlalu sedar bahawa rencana itu disediakan untuk terbitan sebuah organ parti pembangkang. Sedikit-sebanyak, saya nampak, beliau telah cuba meraikan kesensitifan golongan konservatif agama dalam PAS.

Farish nampak PAS perlukan reformasi dalaman akibat kecacatan penghayatan asas ‘kepimpinan ulama’. Dia mengulas parti Islam ini dari perspektif nasional dan sejagat, bagaimana pentingnya ia membentuk pendekatan yang relevan dan juga mendalami keruwetan dunia moden, antaranya kesan globalisasi, kapitalisme sejagat, hegemoni budaya pop Barat dan kedudukan geo-politik ummah dalam konteks military-industrial complex Barat. Ungkapan-ungkapan ini sepatutnya menyejukkan PAS tetapi rupa-rupanya, tidak!

Penyelidik ‘Islam politik’ ini juga menawarkan beberapa kekakuan gaya fikir gerakan Islam yang tidak serasi untuk memecahkan kebuntuan dunia semasa yang kompleks. Apa yang disuarakan oleh Farish ini tidak asing di kalangan penulis, pengamat politik dan penyokong PAS sejak lama. Saya sendiri pernah menyuarakan hal-hal seumpama itu walau gaya analisa saya tidaklah secanggih Farish.

Membunuh watak

Tetapi keberangan aktivis-aktivis dan pemimpin-pemimpin PAS, seperti dijelaskan Haron (gambar) dan Abdul Ghani, bukan kerana tulisan itu. Keberangan mereka berpunca daripada tanggapan bahawa Farish itu seorang yang boleh dianggap ‘anti-Islam’, ‘anti-ulama’, ‘anti-gerakan Islam’ atau (mungkin) ‘murtad’. Oleh itu, walau apa jenis tulisannya, tidak layak diterbitkan oleh Harakah!

Dua agamawan PAS ini memulakan wawancara mereka tentang pandangan Farish terhadap Nabi – isu beberapa tahun lalu yang dikitar semula dan dijadikan perjuangan khusus PUM dan rakan-rakan kongsinya, misalnya Teras Pengupayaan Melayu (Teras). Siapa Farish, itulah yang cuba diberitahu oleh pemimpin-pemimpin PAS ini, sebelum kita boleh menerima hujahnya yang mengkritik PAS dan kepemimpinan ulama?

Kaedah berhujah seperti ini boleh sahaja dianggap satu usaha sistematik membunuh watak (character-assassination) atau menimbulkan keraguan orang ramai terhadap penulis.

Jika dipakai disiplin logika berhujah, pandangan dua tokoh PAS ini memalukan dan tidak berprinsip. Itu gaya totok orang politik terhadap musuhnya, bukan cara pemikir atau sarjana. Ajaibnya Haron dan Abdul Ghani pernah berlubuk di dunia akademia tempatan, bukan sebarangan ustaz. Tetapi politik sering meminggirkan akal waras dan disiplin akademik.

Dengan bahasa lain, oleh kerana peribadi dan batang tubuh Farish sedemikian rupa (seperti mereka gambarkan), pandangan kolumnis ini tentang apa-apa isu PAS atau agama tidak layak diberikan perhatian sama sekali, malah layak dihalang!

Masalah Farish sekarang bukan lagi tulisan-tulisannya tentang PAS atau agama, tetapi masalah dirinya sendiri – misalnya bagaimana kemaluan yang dikhatam itu boleh pula dijadikan alasan untuk membunuh Yahudi di Jerman dulu.

Gejala tidak sihat

Astora Jabat juga mengeluh gejala yang sama dalam tulisan-tulisannya terbaru (Al-Islam, Mei 2004). Dia berasa hairan siri ulasannya tentang Islam yang bertujuan mengkritik ulama PAS khususnya dalam Mingguan Malaysia akhirnya mengundang kemarahan ulama Umno!

Jika tidak parti itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula menyekat beliau bersandarkan hujah perundangan pula. Dua agensi kerajaan ini berhujah, pandangan-pandangan Astora bertentangan dengan fatwa-fatwa rasmi kerajaan.

Saya telah menyebut beberapa kali kemelut yang dialami oleh kolumnis ini, juga sebagai editor Al-Islam, dengan barisan mufti. Akibatnya, mulai bulan depan, beliau tidak lagi bersedia mengupas isu-isu agama di akhbar. Tetapi, katanya, dia akan meneruskan perjuangan di laman web pula. Dia juga berhasrat mengurangkan kegiatan ceramahnya yang aktif sejak beberapa tahun lalu.

Kes dua penulis ini menarik untuk dibahaskan walau bukan baru layanan seumpama ini diterima. PAS sendiri melayan dengan latah dan berang yang sama terhadap lidah pengarang Harakah seksyen bahasa Inggeris (awal 2002), dalam isu kritikan terhadap ulama.

Ulama sudah berasa diri mereka tidak layak disentuh, atau the untouchables, sama ada idea mereka separuh masak, analisa mereka tidak logik (misalnya hujah orang kuat Dewan Ulama PAS tentang ketewasan dalam pilihan raya umum) atau akhlak mereka yang tidak menarik.

Mengasosiasikan diri (atau gelar) ulama dengan kekudusan agama merupakan satu gejala yang tidak sihat. Manusia tidak pernah maksum kecuali Nabi. Pesan Hassan al-Banna, pandangan manusia boleh diterima atau ditolak. Kata-kata ulama tidak muktamad.

Apatah lagi jika ulama (sama ada PAS atau bukan) yang ada kini tidak menunjukkan kewibawaan untuk menyelami disiplin-disiplin ilmu lain atau membedah kompleksiti dunia semasa.

Gelar, prestij dan prestasi keulamaan seseorang tidak harus tinggal beku seolah-olah diwarisi dari celah peha orang tua masing-masing. Begitu juga penulis, aktivis, seniman, wartawan atau ahli politik – kita semua harus sentiasa mampu berdaya saing dengan tuntutan kontemporari.

Maknanya, pencapaian akal hari ini atau semalam harus sentiasa dipertahankan untuk terus kekal relevan. Ulama atau keulamaan bukan seperti tongkat nabi Musa!

Cabaran berwibawa

Gejala kongkongan ulama PAS dan Umno seperti kes-kes Farish dan Astora ini ada dampak yang sangat besar. Bahayanya merebak kerana masyarakat kita umumnya dipenuhi orang yang tidak mendalami agama, kurang berfikir dan berbahas. Mereka terbius dengan gejala taklidisme. Oleh itu, mereka tidak mempunyai keanjalan ilmu dan akal untuk meneroka sudut-sudut pandangan lain.

Mereka takut sekali berhujah untuk mempertikaikan pandangan ulama. Biar soal agama diserah bulat-bulat pada agamawan. Atau ada pula sebilangan golongan bukan ulama (dan juga bukan Islam) yang mempersoalkan agama tanpa sebarang disiplin berfikir; justeru mendorong perasaan gelisah kaum agamawan.

Selain kuasa penafsiran sepenuhnya terletak di tangan golongan agamawan tanpa cabaran berwibawa daripada kelompok-kelompok lain, ulama membina tembok pertahanan psikologi dan moral seperti keghairahan yang ditunjukkan oleh PUM, Haron atau Jakim.

Golongan agama pula, walau suka Islam dimajukan kepada orang ramai, tetapi sering menjadikan kelulusan (akademik) disiplin agama sebagai syarat ketat untuk membahaskan isu-isu agama. Tetapi ulama sendiri boleh membahaskan isu-isu politik, ekonomi, sains, antarabangsa, budaya dan teknologi sewenang-wenangnya tanpa pengkajian mendalam!

Dikotomi ini bermula pada andaian bahawa bidang agama itu melangkaui (lebih tinggi daripada) semua disiplin ilmu lain. Mereka tidak menerima hakikat bahawa mereka juga turut dinilai dengan teliti apabila memasuki (berbicara) daerah pengetahuan sesuatu pengkhususan lain.

Mereka juga seolah-olah tidak nampak betapa kompleksnya dunia semasa sehingga sesuatu disiplin ilmu sahaja –misalnya agama – tidak mencukupi untuk menyiasat hal-hal kontemporari dan menawarkan jawaban-jawabannya.

Isu ini bukan baru, dahulu pernah disuarakan projek "mengulamakan intelektual" dan "mengintelektualkan ulama" – satu konsepsi yang rapat dengan pergerakan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) – apabila menyedari keterbatasan dua kelompok ini.

Pertandingan idea

Agamawan juga tidak sedar bahawa isu-isu awam, sama ada agama atau bukan, tidak selalunya dibahaskan dengan disiplin akademik yang ketat. Seseorang yang tidak pernah terdedah kepada pengajian undang-undang boleh sahaja menentang akta ISA, misalnya. Atau, seseorang yang tidak pernah membaca teks sains politik boleh bercakap berjam-jam tentang politik semasa!

Jadi, usaha penerangan atau perbahasan sentiasa perlu dibuat secara sungguh-sungguh melalui pelbagai pentas (termasuk akhbar) oleh golongan yang percayakan pendekatan agama, termasuk PAS, sebagai satu proses pertandingan idea dalam ruang awam. Perlu diulang, "proses pertandingan idea dalam ruang awam".

Prinsip atau kaedah inilah yang tidak (mahu?) difahami oleh Haron, Abdul Ghani, Jakim atau KDN. Sikap mereka ini lebih dekat dengan alam gelap Eropah beberapa ratus tahun dulu; bukannya sikap hidup di zaman ‘masyarakat madani’ atau ‘proses demokrasi’. Keengganan mereka untuk tunduk kepada proses inilah yang menampakkan imej mereka yang ‘keras’, ‘suka mengongkong’, ‘menghukum’ atau malah ‘diktator’!

Sebab itu, pendekatan yang gemar mereka cadangkan untuk menangani perbezaan idea ialah menghalang penyebarannya melalui proses peraturan atau undang-undang, bukan perbahasan atau dakwah. Walau al-Quran menyeru "dan berhujahlah dengan mereka baik-baik" atau, "bawalah bukti-bukti kamu jika kamu orang yang benar".

Kerap kali golongan agama beranggapan sesetengah idea yang kurang disenangi mereka itu tidak layak dilayan sama sekali. Lebih buruk lagi, jangan benarkan seseorang yang suka menimbulkan idea pelik-pelik itu daripada bersuara

Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (27 April 2004). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com

No comments: