Monday, April 26, 2004

Merdeka untuk apa dan untuk siapa? -Lee Ban Chen

‘Merdeka Rakyat dan Keadilan’ adalah tajuk buku terbaru tulisan Dr Syed Husin Ali. Ia mengandungi 61 artikel dan ucapan beliau di antara tahun 1997 dan 2003, yang kebetulan bertindih dengan tempoh enam tahun terakhir pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang penuh dengan konflik dan konfrontasi.

Rasanya, mereka yang telah membaca buku ini akan bersetuju bahawa tajuk buku tersebut – Merdeka Rakyat dan Keadilan – merupakan tiga aspek yang terpenting yang merupakan kritikan-kritikan beliau terhadap dasar-dasar Umno-Barisan Nasional dan mengemukakan asas-asas politik menuju kepada sebuah Malaysia baru.

Dalam artikel pertama: Merdeka untuk apa dan untuk siapa? Syed Husin telah menghuraikan "dua tradisi" sejarah perjuangan kemerdekaan di negeri ini.

Pertama ialah tradisi penentangan habis-habisan terhadap penjajahan bagi mendapatkan kemerdekaan yang penuh, termasuk sumbangan pelbagai golongan kiri, seperti Parti Komunis Malaya (PKM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hizbul Muslimin (HM) dan kemudiannya diwarisi oleh Fron Sosialis dan sekarang mungkin, Parti Keadilan Rakyat.

Kedua ialah tradisi berkompromi dengan penjajah sehingga sanggup menerima saki-baki sistem ekonomi, politik, perundangan dan pendidikan penjajah, seperti dilakukan oleh Umno-Perikatan-BN.

Justeru itu, Syed Husin menyanggah pelbagai "dongeng" yang mengagung-agungkan sumbangan tradisi kedua untuk menafikan sumbangan tradisi pertama. Beliau dengan tegas menyokong pendapat Tun Ismail yang mengiktiraf sumbangan golongan kiri dalam perjuangan kemerdekaan, sepertimana yang diucapkan dalam majlis Konvokesyen di Universiti Sains Malaysia (USM) selepas dianugerahkan ijazah kehormat pada tahun 1973.

Sebagai kesinambungan kepada tradisi pertama, Syed Husin sendiri telah berjuang dengan gigih dan berterusan sebagai aktivis pelajar, pensyarah, ilmiawan dan tokoh politik, bersama rakan seperjuangannya di kampus, Unesco dan parti politik, khasnya Parti Rakyat Malaysia (presiden 1990-2003) dan Parti Keadilan Rakyat (timbalan presiden setelah PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional pada 3 Ogos 2003).

Pelakon

Demi mempertahankan kemerdekaan negeri kita yang tulen, Syed Husin tidak teragak-agak mendedahkan Dr Mahathir sebagai pelakon anti-penjajahan baru, misalnya dengan menuduh Amerika Syarikat sebagai kuasa penjajah bentuk baru, tetapi menandatangani Perjanjian Pertahanan dengan Amerika pada 1984 dan membenarkan kapal perang Amerika yang membawa senjata nuklear, melalui Selat Melaka dan mengguna kemudahan pelabuhan Malaysia.

Beliau juga membidas dasar LDP (liberalisasi, deregulasi dan penswastaan) dalam proses globalisasi yang dilaksanakan oleh Dr Mahahir untuk menguatkan lagi dominasi pemodal antarabangsa bersekongkol dengan pemodal besar tempatan.

Sebagai seorang tokoh yang berjiwa rakyat, Syed Husin sentiasa memihak kepada kepentingan rakyat jelata yang merupakan susunlapis masyarakat rendah dan sederhana tanpa mengira kaum.

Justeru, beliau dengan tegas mencadangkan supaya slogan "hidup Melayu", "ketuanan Melayu" dan "perpaduan Melayu" digantikan dengan "hidup rakyat", "ketuanan rakyat" dan "perpaduan rakyat"yang merupakan ciri utama politik baru yang menentang segala fahaman perkauman atau hegemoni, baik hegemoni kaum maupun hegemoni agama.

Dan kepentingan rakyat tidak dihadkan kepada kepentingan politik saja, tetapi juga kepentingan ekonomi, pendidikan, kebudayaan, kesihatan, perumahan, dan aspek-aspek sosial yang lain.

Kesemua kritikannya boleh dikatakan berlandaskan kepentingan rakyat , terutamanya rakyat lapisan rendah dan sederhana.

Ini termasuk kritikan beliau terhadap undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan sebagainya, penguasaan Umno-BN terhadap media, kehakiman dan polis; pelbagai salahlaku kronisme, nepotisme dan korupsi dan projek-projek mega yang memakan perbelanjaan berbilion ringgit.

Reformasi

Beliau turut mengkritik salahguna wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Petronas dan sebagainya untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni; dasar penswastaan dan pengkorporatan; dasar pendidikan yang dipolitikkan.

Selanjutnya, kita berbalik pula kepada konsep keadilan. Istilah "keadilan" boleh dikatakan yang seringkali digunakan dalam gerakan reformasi dan seolah-olah telah menjadi "trade mark" reformasi, sehinggakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, pada mulanya, membantah penggunaan nama Parti Keadilan Rakyat.

Kini nama tersebut telah didaftarkan tetapi dengan syarat nama Parti Keadilan Rakyat itu tidak boleh diringkaskan sebagai Keadilan. Nampaknya kerajaan yang tidak adil itu, takut kepada istilah "keadilan"!

Bagi Syed Husin, gerakan reformasi meliputi sekurang-kurangnya empat aspek utama – pertama ialah keadilan, dan disusuli dengan demokrasi, perpaduan dan kuasa rakyat.

Menurutnya, keadilan tidak sekadar keadilan kehakiman. Ia juga meliputi layanan serta peluang yang setara bagi semua rakyat dalam pelbagai bidang, seperti pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan perumahan, dengan tidak mengira taraf, keturunan, agama dan warna kulit.

Lebih penting lagi, hujahnya, ia harus menumpu kepada usaha menegakkan keadilan sosial. Ini bererti perlu dicegah sistem serta amalan yang menggalakkan penumpuan kekayaan dalam tangan segelintir orang, sehingga mengakibatkan jurang sosioekonomi bertambah melebar.

Bagi mempertahankan keadilan dalam erti kata sebenar, Syed Husin menolak sistem meritokrasi Dr Mahathir kerana bersifat "selective"(pilih bulu), iaitu terbatas kepada orang Melayu sahaja.

Nilai kebendaan

Beliau dan Parti Keadilan Rakyat berpendirian bahawa dasar meritokrasi hendaklah dilaksanakan bersama dasar keperluan, iaitu yang mengambil kira latarbelakang sosioekonomi rakyat secara keseluruhan, tanpa membataskannya kepada satu-satu kaum.

Beliau dan Parti Keadilan Rakyat juga memperjuangkan dasar pembangunan yang seimbang di antara pertumbuhan dengan pengagihan, bandar dengan desa, perkembangan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar, pembangunan nilai kebendaan dengan nilai kerohanian, keluhuran budaya dan tradisi dengan kecanggihan sains dan teknologi, dan golongan kaya yang berkuasa dengan rakyat miskin yang tertindas.

Pendek kata, politik atau negara baru yang ingin dijana adalah "bermatlamat untuk menegakkan sebuah pemerintahan yang mendukung asas-asas keadilan, kebenaran, kebebasan, persamaan, persaudaraan, kerjasama, ketinggian moral serta etika, kebajikan dan perpaduan rakyat."Gl

Dan pada masa yang sama "menentang sistem serta pemerintahan yang membenarkan, apatah lagi menggalakkan kezaliman, kepalsuan, kesukuan, perbezaan, diskriminasi, keruntuhan moral, penindasan, rasuah, pilih kasih dan perpecahan."

Buku ini amat padat isi kandungannya, dengan lapan bahagian – A. Menjana politik baru ke arah Malaysia baru; B. Krisis ekonomi dan kemunculan reformasi; C. Masalah ekonomi dan pembangunan; D. Kronisme dan korupsi; E. Isu-isu sosial; F. Reformasi pendidikan dan perpaduan; G. Demokrasi dan ancaman kuku besi; dan H. Islam dan politik.

Buku ini patut dibaca oleh setiap orang yang prihatin terhadap gerakan reformasi atau yang ingin mengetahui latarbelakang dan rasional reformasi dari dekat, kerana Syed Husin memang seorang ilmiawan dan tokoh politik veteran yang bukan saja berjinak dengan pelbagai teori, malah beliau turut tampil ke depan garis perjuangan.

Kritikan beliau berasaskan fakta konkrit dan analisa ilmiah yang berbeza daripada retorik kosong atau serangan melulu politikus murahan yang suka bermain dengan emosi perkauman, agama atau sebarang isme yang abstrak.

Note: Teks ucapan Sdr Lee Ban Chen di majlis pelancaran buku "Merdeka Rakyat dan Keadilan" oleh Dr Syed Husin Ali - dipetik dari Malaysiakini.

Sdr Lee Ban Chen, yang dilahirkan di Johor, pernah diusir dari Singapura oleh Lee Kuan Yew pada tahun 1966. Pasa masa itu, Ban Chen sedang melanjutkan pelajarannya di Universiti Nanyang. Beliau juga pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh tahun dari 1967 kerana terlibat dalam pemogokan petani di Ladang Bukit Asahan, Melaka and Ladang Triang, Pahang. Ban Chen juga pernah bertugas sebagai editor di akhbar Sin Chew Jit Poh selama satu tahun pada 1976 dan pernah menyandar jawatan Timbalan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP

No comments: