Seriuskah PAS mereformasi pilihanraya? -Fathi Aris Omar
PAS masih tidak berpuas hati. Hujung minggu ini ia akan menunjukkan rasa tidak berpuas hati itu dalam satu perhimpunan besar berdekatan pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Tetapi kita tidak pasti niat sebenar permainan politik PAS kali ini. Malah, membayangkan kemungkinannya sahaja boleh ‘menakutkan’ kita.
Dua hari selepas pembuangan undi 21 Mac lalu, PAS telah menyerahkan memorandum awal kepada Suhakam dengan mengemukakan dakwaan-dakwaan penyelewengan yang serius tentang sistem pilihanraya kita.
Malam itu, ia mengadakan ceramah besar di Rusila sebagai usaha menenangkan dan menerangkan kepada para pengikutnya yang sangat tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya umum ke-11. Keputusan ini sama sekali di luar jangka. Ribut tidak, angin tidak, tiba-tiba pokok tumbang!
Sekali imbas, kita dapat lihat ‘latah’ PAS berdepan dengan kekalahan ini. Presidennya, Abdul Hadi Awang dan pengarah operasi pilihanrayanya Mustafa Ali ‘luput tarikh’ di Dewan Rakyat, selain kenyataan bernada kecewa dan tertekan. Kelantan hampir-hampir jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN). Impiannya untuk membuat kejutan di beberapa kubu kuatnya di luar dua negeri ini turut berkecai.
Tetapi apakah PAS serius? Atau, parti Islam itu hanya minat bersandiwara di depan pengikutnya dan orang ramai? Kekalahan di luar jangka dan memalukan ini harus diberikan justifikasi. Kalau boleh, justifikasi yang menyalahkan orang lain, misalnya Suruhanjaya Piliharaya (SPR) atau BN.
Dengan itu, semua kelemahan dalam PAS boleh disorok, misalnya kelemahan jentera kempen dan petugas pada hari mengundi. Kelemahan yang sangat memalukan - dan ingin sekali disembunyikan - ialah gagal menduga bakal menerima pukulan yang sebegitu buruk. Malah, sepanjang tempoh kempen yang pendek itu, masih diura-urakan PAS berupaya mengekalkan Terengganu.
Mesej SMS
Oleh itu, justifikasi untuk menutup kegagalan menghidu ketewasan ini sangat penting. Tambahan pula SPR menghidangkan ulam walau PAS hanya bermimpikan pucuk. Lalu direkayasakan bantahan.
Jika inilah sandiwara PAS, pengikut dan penyokongnya harus berhati-hati. Emosi mereka hanya dipermain-mainkan oleh sang pemimpin yang alpa. Mula-mula mereka tidak menerima kekalahan sehingga asyik menyebarkan mesej SMS tetapi selepas mendengar ceramah di Rusila, tiba-tiba hati masing-masing menjadi sejuk! Keesokannya mendadak tiada SMS seumpama itu!
Justifikasi ini hanya untuk menurunkan suhu jiwa yang meluap-luap. Jadi, benar sekali tuduhan pemimpin BN bahawa parti Islam itu tidak boleh menerima hakikat kekalahan.
Tetapi jika PAS benar-benar serius ingin memantau atau mereformasikan sistem pilihanraya dan kecacatan demokrasi, usaha ini mesti dialu-alukan. Bukan hari ini dan kali ini sistem pilihanraya dan proses demokrasi kita dipertikaikan, tetapi PAS nampaknya tidak pernah serius.
Kemenangan yang dicapai sering melupakan hakikat kecacatan yang tersembunyi dalam SPR dan sistem pilihanraya kita. Menjelang pilihanraya umum 1999, selain 680,000 pemilih gagal mengundi, Harakah sendiri melaporkan pelbagai penyelewengan serius dalam daftar pemilih. Penyelewengan yang didedahkan ini tidak kurang serius dengan apa yang berlaku baru-baru ini.
Tetapi dengan khayalan kemenangan itu, PAS tidak meneruskan pemantauan sistem pilihanraya. Malah, semua ahli politik kita sangat tinggi meletakkan kepercayaan kepada SPR dan keadilan pilihanraya umum kita. Kajian Mafrel, sebuah badan pemantau yang baru terbentuk, menjelang pilihanraya umum lalu, disekat dan kehadirannya kurang disenangi PAS dan beberapa parti politik!
Lobi melobi
Tetapi hari ini mereka kalah banyak, lalu teriakan tentang penyelewengan berkumandang semula. Tiba-tiba sahaja kajian Mafrel menjadi rujukan semua pihak! Sebenarnya sandiwara apa yang sedang dimainkan oleh PAS dan parti-parti pembangkang kita?
Apakah mereka yang menyedari pelbagai persekitaran politik yang berat sebelah selama lima tahun (tempoh di antara dua pilihanraya umum) tiba-tiba boleh percaya pada kebebasan serta keadilan pilihanraya kita?
Dengan bahasa yang mudah, seperti kata orang, hanya orang yang bodoh sahaja boleh ditipu berkali-kali!
Psikologi ahli politik kita menjelang pilihanraya umum juga luar biasa. Mereka mudah buta melihat kawasan pilihanraya dan kerusi masing-masing. Lobi-melobi dalam parti dan persaingan merebut kerusi selesa (dan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu) di antara parti-parti pembangkang, mengalahkan budak-budak berebut barang permainan!
Ghairah mereka untuk bertanding, tanpa mengira ada prospek kemenangan atau wujud penyelewengan (atau sebaliknya), tidak dapat dibendung-bendung lagi. Seolah-olahnya, biar kalah asalkan dapat bertanding, asalkan poster memuatkan muka masing-masing!
Sesiapa yang melihat dari dekat dan dari dalam parti pembangkang akan berasa takjub melihat spesis ini berdepan dengan sistem politik kita. Padahal, dalam waktu-waktu yang lain, mereka berjaya menunjukkan dengan meyakinkan betapa tidak demokratiknya politik kita, betapa cacatnya demokrasi kita.
Mereka berjaya menunjukkan dengan meyakinkan kepada kita bahawa memang tidak pernah ada ‘padang permainan yang sama rata’ di negara ini. Oleh itu, pembangkang tidak mungkin menyertai pertandingan politik ini dengan adil. Tetapi menjelang pilihanraya umum, semua ini mereka lupakan - seolah-olah pilihanraya terpisah jauh daripada itu semua!
Bantahan
Ahli-ahli politik pembangkang, walau tidak kurang kritikan dan seranah mereka kepada ketidakadilan kerajaan BN, akhirnya seakan-akan menelan paradigma BN juga! BN sering berhujah, jika tidak berpuas hati pada dasar-dasar atau keputusan-keputusannya, kalahkan mereka dalam pilihanraya umum.
Semua pihak diajak oleh BN menyertai proses pilihanraya, jangan membuat bantahan, jangan mengomel dan jangan menyertai demonstrasi. Jika tidak berpuas hati, tunggu pilihanraya umum, hujah BN.
Parti-parti pembangkang kita - dengan keghairahan luar biasa itu - sebenarnya melayan catur BN sahaja. Penyertaan mereka tidak akan menguntungkan rakyat, sebaliknya hanya menambahkan legitimasi kepada proses yang telah dicaturkan oleh BN. Di sini, kita ingin bertanya sekali lagi, seriuskah mereka hendak mereformasikan sistem pilihanraya kita?
Apabila menang, masing-masing berbaju Melayu mengangkat sumpah. Apabila kalah, menjerit beramai-ramai dan ajak kita semua membantah pilihanraya. Sebab itu, BN boleh sinis melihat gelagat PAS. Apabila kita pula ajak orang politik memimpin demonstrasi, mereka tidak mahu! Sebabnya, jika ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah, kemungkinan besar tidak dapat bertanding lagi.
Sebenarnya apa yang diinginkan oleh orang politik kita? Berjuang menegakkan sistem demokrasi tulen, meratakan padang permainan, mereformasikan sistem pilihanraya atau hanya ingin bertanding?
Memenangi kerusi, bercakap di dewan perwakilan, menerima gaji - itulah ‘perjuangan’ sebenar orang politik kita. Selebihnya, sandiwara dan hangat-hangat tahi ayam! Rakyat yang bodoh sahaja percaya pada permainan ini…
Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (12 April 2004). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com.
No comments:
Post a Comment