Wednesday, July 28, 2004

Bola sepak Malaysia, di manakah silapnya?



Baru-baru ini kelab Norwich City yang akan bersaing di dalam Liga Perdana English musim 2004/2005 telah mengunjungi negara ini untuk memenuhi jemputan penaja utama mereka, Proton. Semasa kunjungan mereka, Norwich telah mengadakan dua perlawanan persahabatn iaitu dengan juara Piala Malaysia 2003, MPPJ FC dan skuad kebangsaan Malaysia.

Sebagai peminat bola sepak yang fanatik sejak masih budak hingusan lagi, aku tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk turut serta bersama-sama 8000 penonton di Stadium Cheras dan 35000 penonton di Bukit Jalil. Keputusan perlawanan seperti yang dijangka adalah menyebelahi pasukan pelawat iaitu 3-2 ketika menentang MPPJ FC dan 1-0 bertemu Malaysia..

Walaupun kedua-dua keputusan perlawanan adalah tipis, namun persembahan MPPJ dan skuad negara di dalam perlawanan tersebut adalah jauh berbeza. Secara peribadi, aku menganggap pasukan MPPJ lebih berhak untuk menang kalau tidak oleh kesilapan bodoh pemain pertahanan Khairil Zainal.

Perlawanan MPPJ dan Norwich berlangsung menarik kerana kedua-dua pasukan saling berbalas serangan manakala keadaan sebaliknya berlaku semasa Malaysia turun ke padang. Malaysia sangat jelas tumpul di barisan hadapan walaupun mempunyai peratusan pegangan bola yang agak seimbang.

Namun penguasaan itu tidaklah membawa apa-apa kerana pemain asyik bertukar-tukar hantaran sahaja tanpa ada imaginasi untuk memecah kubu lawan. Ini berbeza dengan pasukan MPPJ yang berani ke hadapan dan itupun bukannya dijana oleh pemain tempatan, sebaliknya dilakukan pemain import Bruno Martelotto dan Fabricio. Untuk berlaku adil, Azrin Shah dan Kamarulzaman Ayub tidaklah menghampakan sangat.

Untuk membincangkan mengapa keadaan bola sepak Malaysia masih di tahap dunia ketiga memang memeningkan kepala. Aku menganggap persoalan ini termasuk di dalam persoalan-persoalan domestik yang amat sukar untuk dicari jawapan yang boleh diimplementasikan dengan mudah selain daripada isu pendidikan, politik, hubungan kaum dan agama.

Namun begitu, aku agak sedih juga melihat gelagat peminat bola sepak Malaysia yang walaupun prihatin dengan keadaan yang menimpa. Tetapi mengambil langkah untuk tidak mengikuti perkembangan skuad kebangsaan, Liga Super dan Liga Perdana atas alasan bosan dengan corak permainan, buang duit dan sebagainya. Sebaliknya masa boleh dhabiskan dengan mengikuti EPL, Spanish League, Serie A dan sebagainya. Ya, aku akui itu adalah pilihan masing-masing.

Namun aku ingin menegaskan apa yang perlu adalah hanya sekadar mengikuti serba sedikit sahaja dengan membaca berita dengan melihat keputususan dan kedudukan pasukan, menonton sedikit highlight dan previu di TV3 pada setiap Isnin dan Jumaat, tidak perlu untuk ke stadium. Jika itupun tidak boleh dilakukan, usahlah cakap banyak, perangai golongan seperti ini adalah sama sahaja dengan mereka yang berdegar-degar berbicara tentang politik namun tidak mengetahui segala perkembangan yang terkini. Kita tidak perlukan peminat bola sepak yang seperti ini di Malaysia.

Seingat aku, sudah beratus-ratus kali isu ini diperdebatkan bersama kawan-kawan sejak di bangku sekolah rendah lagi yang mana ia kerap hangat terutama selepas kejohanan-kejohanan besar seperti Piala Dunia, Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Sea, Piala Tiger, kelayakan Piala Dunia, kelayakan Sukan Olimpik, Pestabola Merdeka dan sebagainya.

Pelbagai teori telah dikemukakan mengapa skuad negara masih gagal di walau di peringkat Asia dan antara yang termasyhur adalah faktor fizikal yang mana ianya telah dianggap tidak relevan setelah kejayaan Jepun memasuki pusingan kedua Piala Dunia 2002.

Di sini, aku ingin menyenaraikan beberapa hujah atau punca mengapa bola sepak Malaysia amat mundur (pasca 1980) walaupun mempunyai kemudahan bertaraf dunia (kecuali padang) yang telah dibangkitkan semasa perbincangan aku dengan rakan-rakan. Juga diselitkan beberapa hujah yang menolak setiap hujah yang dikemukan. (teks merah) serta beberapa hujah balas. (teks hitam)

1) Tidak cergas
2) Tidak mempunayi diet pemakanan yang sesuai
3) Tidak bercita-cita tinggi, buat apa-apa nak poyo-poyo, gaji 5000 sebulan dah banyaklah tuh, boleh beli kereta, enjoy, beli rumah, cari awek tipikal dan mungkin awek high maintenance dan lain-lain
4) Tidak tahu Bahasa English yang kadang kala menyebabkan mereka tidak memahami arahan jurulatih sebaiknya dan gagal untuk melengkapakan diri dengan ilmu bola sepak moden terkini
Kebanyakan pemain dari Amerika latin juga tidak tahu berbahasa English, namun masih cemerlang seperti Juan Manuel Arostegui pada tahap Liga Malaysia
Mereka berbeza kerana tahap saingan di sana sangat bagus dan mempunyai gaya dan skil permaian yang tinggi
5) Tidak kreatif dan kurang daya imaginasi
6) Tidak berilmu dan kurang bijak, kebanyakan pemain bola di Malaysia tidak mempunyai tahap pendidikan yang baik sebab asyik nak ponteng kelas jer pasal nak main bola
Tidak semestinya kerana pemain dari Afrika dan Amerika Latin lagi teruk tahapnya
Mereka berbeza kerana tahap saingan di sana sangat bagus dan mempunyai gaya dan skil permaian yang tinggi (Kita tidak boleh mengikut mereka, kes kita berbeza)
7) Kurang daya tahan, penat-penat hantar ke luar Negara, nak balik Malaysia pasal homesick la, rindu kat makanan M’sia la…
8) Bola tidak dianggap sebagai sumber pencarian utama atau kareer dalam hidup, ini sangat jelas pada masyarakat Cina dan golongan menengah atas dan elit Melayu.
9) Banyak pemain bola gangster dan otak udang
Semakin kurang poular kerana ramai pelajar universiti dan SBP, MRSM turut cemerlang dalam bola sepak, namun jarang terpilih atau ingin bermain untuk skuad Negara atau negeri kerana ia ada perkaitan dengan hujah nombor 8
10) Tidak meminati bola sepak sepenuhnya, ia hanya dianggap sumber pencarian yang kira ok pasal kalau ikut kelayakan, kerja kilang sahaja yang sesuai. Apabila dibandingkan jumlah gaji, oh gila banyak! Akibatnya fokus kepada bola sepak tidak 100%
11) Tidak bersungguh memikirkan tentang negara. Tidak pernah bersedih atau menangis jika Malaysia tumpas walau di dalam apa-apa jenis sekalipun. Apa yang difikirkan adalah aku dah bermain sebaik mungkin dan akan mendapat imbuhannya nanti.
12) Tidak berhijrah ke luar Negara atau dalam erti kata lain ke tempat di mana persaingan untuk berjaya amat sengit
13) Perkauman, hanya kaum Melayu sahaja yang selalu diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran negara
Kaum Cina tidak ramai yang bermain bola secara serius pada ketika ini
Bagaimana dengan pemain dari kaum India?
14) Kelemahan pentadbiran, Presiden FAM perlu ditukar

Ini adalah sebahagian punca serta hujah balas yang dapat aku ingati dan kumpulkan, diharap para pembaca serta pengunjung blog ini dapat mengemukakan pelbagai lagi punca penyebab serta jalan penyelesaian.

Pada pendapat aku, selain daripada mengiyakan segala yang tidak seperti yang dikemukan di atas. Aku cukup yakin bahawa penubuhan lebih banyak akademi-akademi bola sepak oleh pelbagai pihak baik FAM, kerajaan pusat atau negeri, badan swasta dan sebagainya serta penghantaran lebih ramai pemain muda ke luar Negara seperti England, Itali, Perancis, Croatia, Denmark, Belanda, Sepanyol, Korea, Jepun, Negara Arab, Mesir Thailand dan lain-lain lagi akan membawa sedikit sebanyak perubahan.

Wajib ditekankan bahawa tidak semestinya perlu dihantar bermain di lima negara kuasa bola sepak Eropah dan liga utama setiap negara sahaja. Negara seperti Hungary dan liga-liga bawahan juga sudah memadai sebagai permulaan untuk menjimatkan kos dan dapat menghantar lebih ramai pemain kerana mutu dan kualiti permainan dan saingan di situ juga masih tinggi jika dibandingkan dengan kita. Apa yang penting, pendedahan kepada suasana yang kompetitif.

Namun ada beberpa pra syarat yang perlu diikuti iatu pemilihan pemain perlu dinilai secara komprehensif, pastikan minat mereka kepada bola sepak adalah sangat tinggi dan mempunyai cita-cita yang besar untuk memajukan bola sepak negara dan diri mereka. Selain itu, pastikan juga mereka ini sangat berminat dengan ilmu dan sanggup belajar dan belajar tanpa batasan.

Aku cukup yakin apabila pemain bola sepak di Malaysia adalah seseorang yang memiliki sifat-sifat ini, Malaysia pasti akan bangkit. Lihat sahaja individu-individu seperti Nicol David, Ong Beng Hee, Josiah Ng, Leong Mung Yee, Lim Siew Ai, Titus James Palani, Rosman Alwi dan ramai lagi, mereka inilah yang seharusnya dicontohi.

Aku harap sebelum aku meninggalkan dunia ini, aku sempat untuk menyaksikan Malaysia beraksi di Piala Dunia, kalau tidakpun cukup sekadar Piala Asia.

Pentadbiran juga dirasakan harus ditukar kepada meraka yang sangat pakar di dalam bola sepak, bukannya seorang Sultan yang tentunya tidak ramai yang berani mengkritik. Budaya demokrasi perlu subur di dalam FAM.

Laman web FAM

No comments: