Thursday, July 08, 2004
Yasmin & Aku serta Bundarnya Sepet
Oleh Fadz
Muqadimah. Aku nak beritahu sesuatu dulu. Kalau ada benda-benda dan perkara yang tidak memuaskan hati korang (dan aku ingat, takde siapa yang baca pun 'crap-crap' aku ni), korang tegur je lah aku. Macamana yang Azwan tegur aku (Azwan, BTW do you know that the things you said to me about Berlari Ke Langit, it is so much the same with A. Wahab Hamzah's review last Teusday) dalam 'comment' Berlari Ke Langit sebab aku secara jujur nak kata, aku ni bukanlah 'tahu semua' sangat (dan ingin belajar sesuatu dari korang juga), dan mungkin aku agak prejudis pada perkara-perkara yang penting bagi aku dan mungkin tidak penting bagi korang sedangkan perkara itu secara langsung memang penting. Seperti yang mana Yasmin Ahmad kata, "I am nothing", begitulah aku juga ingin katakan pada korang semua , "I am nothing".
Bayangkan, seorang yang benar-benar aku tabik, dan tunduk macam filem Wayne's World 2 "We're unworthy" bila menonton filem Rabunnya, menggunakan frasa itu pada aku (beliau sendiri kata pada aku, "saya ni bodoh sebenarnya" yang pada mulanya aku ambil secara 'cynical', tapi kemudian sedar, betapa jujur beliau berkata begitu). Sheikh Nazim Haqqani, guru tariqat keluarga aku kata, apabila seseorang mula sedar diri mereka 'nothing' dan berani mengaku 'I am nothing', diri mereka akan sentiasa dekat dengan Tuhan mereka, seperti dekatnya seorang manusia di sebalik tirai halus dengan seorang manusia yang lain.
Aku tidak tahu kalau Yasmin Ahmad tahu tentang sufisme (pernah mengikutinya dan bukan membacanya saja), tapi bila aku memerhatinya, dengan tingkah lakunya, aku rasa sangat malu kerana budi bicaranya lebih sufi dan beradab kalau mahu dibandingkan dengan aku yang belajar tasawuf. Ina ikut aku sekali berjumpa dengannya. Ina datang mencium tangannya dan bayangkan bila Yasmin sendiri mencium balik tangan Ina! Adab begini, Tuhan! Dengan kemesraan yang terjalin, aku boleh kata, 'love is all around' waktu Yasmin ada dalam satu ruang dan masa. Alangkah baiknya pekertinya, ibu dan ayahnya, gurunya dan pengalaman hidup yang telah mendidiknya sebegitu. Aku agak sedih juga, bagaimana kita, dalam dunia serba laju dan 'tutup mata' kini, berapa gelintir saja yang kenal 'kemesraan' dan 'kasih sayang' seperti Yasmin Ahmad.
Pertemuan kami sebenarnya tak dirancang. GAIAlah yang menelefon aku malam Isnin lepas, ajak aku menonton rough-cut(!) Sepet di Leo Burnett. Aku tergugup kejap, tak tau apa nak kata dan aku sendiri kata, aku takut sangat nak gi tempat-tempat sebegitu. Tapi akhirnya aku pergi juga dengan membawa Ina bersama. Waktu aku dan GAIA berlegar-legar di tingkat 2 Bangunan Olympia, di situlah Yasmin Ahmad muncul. Pertemuan itu agak janggal dan amat menyesalkan aku pada mulanya kerna waktu itu aku tengah bercakap di Handphone (Spiral menelefon), agak kurang ajar juga aku rasa di depan Yasmin sebegitu. Alhamdulillah, Yasmin, seperti yang aku kata, sangat mesra, selamba, sempoi dengan kami.
Waktu itulah Yasmin mula memberitahu (beliau sedar aku 'nervous' gila berjumpa dia waktu itu), bagaimana satu-satu filem yang beliau buat, tidak akan jadi miliknya lagi apabila orang lain menontonnya. Filem itu menjadi 'milik' mereka (kerana pengalaman deria kita yang merasai, bertindak dengan cahaya dan suara itu, menghentak akal, hati dan roh kita, maka apa yang kita lihat dan dengar, 'rasa' yang mengikut perseptif, perspektif dan norma kita, mula menjadi 'pengalaman persendirian' kita, maka ia menjadi 'hak' kita untuk menyimpannya. Kerana itulah aku agak bersetuju dengan Yasmin apabila beliau kata, "kita sudah menjadi kawan" selepas pertemuan kami). Beliau berkata begitu kerna ada satu babak yang aku 'terjemahkan' dari Rabun, sebenarnya tidaklah begitu mengikut 'rasa hati'nya. Tapi Yasmin sendiri berkata pada aku, "Kalau nak kutuk pun, kutuklah" untuk Sepet (haha, ni benar-benar beri lesen ni!).
Yasmin agak jujur apabila beliau katakan, beliau hanya tahu membuat filem tentang dirinya, keluarganya (beliau bersuamikan seorang Cina. Beliau sendiri berseloroh pada seorang wartawan dari Siam, "Orang Melayu boleh kahwin empat!") dan apa yang beliau tahu dan rasa. Seperti auteur-auteur semamcam Truffaut, Satyajit Ray, Woddy Allen ataupun Scorsese, Yasmin Ahmad terletak di situ. Beliau menggunakan segala yang beliau 'kenal' sahaja untuk ditumpahkan di layar.
Aku dan Ina (juga Zulhabri(?), seorang sahabat baru yang kami bertemu di situ) agak bernasib baik apabila kita diberi peluang menonton 'trailer' Sepet yang akan dikeluarkan oleh Columbia Star (apa perasaan korang bila tahu penerbit yang tolong angkatkan Crouching Tiger, Spinning Gasing akan mengangkat filem ini?). Wah, rasa macam orang VIP pula, lagi-lagi bila Yasmin bertanya kami, apa yang tidak kena atau apa (kami?? bayangkan!). Yasmin memberitahu bagaimana filem ini akan ditayangkan di Festival Filem Singapura dan umum di Singapura bulan September dengan 'PG rating'. Ia mungkin akan ditayangkan di sini tetapi akan melalui banyak pemotongan oleh LPFN. Aku sendiri, selepas menonton filem ini agak pesimis kalau Sepet boleh ditayangkan di sini, mungkin seperti Fantasia, Pontianak Harum Sundal Malam, Dari Jemapoh Ke Menchestee, atau nasib Daun Di Atas Bantal di Indonesia, Sepet terletak di 'situasi' itu. Dengan sedih lagi aku terfikir, bagaimana 'badan' cetak rompak kita akan mengaut keuntungan di sini, kerna 'salinan tanpa potongan, ngam-ho punya' akan bersepah di merata tanah Malaysia. Memikirkan ini, aku agak sedih, menunggu bila kerajaan kita, LPFN dan penonton kita sendiri boleh membuka mata.
Yasmin mengatakan, Rabun dibuat dalam masa 7 hari sedangkan Sepet untuk 14 hari (ditolak pra-produksinya). Bayangkan! (Ini sama tahap dengan filem-filem hebat indie Amerika seperti Requim For A Dream, Night of The Living Dead dan juga Evil Dead yang mana ongkosnya sangat sedikit, sama seperti filem-filem kita). Ini menunjukkan orang kita memang 'boleh' dan berbakat, dari teknikalnya hingga para pelakonnya. Hanya mungkin kita perlukan skrip yang benar-benar tidak menipu penontonnya, pengarah yang 'oversees everything, forecasts everything' dan komitmen yang utuh dalam kumpulan pembikin filem itu. Yasmin sendiri memberitahu, filem Rabun sendiri dibuat secara murah, tiada masa dan kekurangan filem mentahnya. Dan lihatlah hasilnya! (aku berkhayal kalau Yasmin dapat buat filem 'besar' nanti, bagaimana pula bentuknya).
Kami ditayangkan filem Rabun serta Sepet serentak (back to back). Aku tiada masalah, malah menginginkannya kerna aku boleh bezakan/cari persamaan Rabun dan Sepet, lagipun aku ingin kembali menimba pengalaman menonton Rabun (kenapa Grand Brilliance tak mahu keluarkan DVDnya?) yang pernah menyentuh deria aku dahulu. Dan alangkah seronoknya menontonnya kembali. Lebih-lebih lagi menonton ayam Yem, kiah mematuk anak ayam yang cuba makan makanannya. Itu adalah antara 'accident shots' yang menjadi 'miracle shot' pada filem Rabun, memberinya lebih isi. Yasmin memberitahu aku bagaimana 1/3 filem-filem Robert Altman adalah secara kebetulan atau 'accident'. Ini adalah 'anugerah Tuhan/keadaan bagi para atheis' yang diturunkan pada pembikin filem. Memang Tuhan banyak Menolong Yasmin.
Selepas ini, aku sebenarnya ingin menemuramah Yasmin secara lebih mendalam. Kerna lebih aku 'menyelami' auteur satu ni (aku pula amatur saja), si pencetus rennaisance filem 'Malaysia', lebih aku 'menyintainya'.
Sepet- Filem Cinta Yang Bukan Cinta Biasa
nota fadz: AMARAN, ulasan 'over' ini mempunyai spoilers. Jika korang ingin menonton sendiri Sepet tanpa mengetahui hujungnya, dipersilakan jangan baca ulasan ini.
Pertama kali- Yasmin seorang 'romantis'.
Kedua. Seperti yang aku sudah beritahu, filem ini akan ditayangkan dahulu di Singapura bulan September ini. Aku sangat-sangat menginginkan orang kita pergi, secara rombongan bas atau kapal terbang atau kereta ("macam rombongan cik kiah lah"-Bintang Hati, hahah..aku teringat satu komik Lat menggambarkan Persatuan Para Ibu Kampung Xx Johor pergi melawat Singapura untuk membeli belah") untuk menonton 'the full version' filem ini di sana. Kerana filem ini, walaupun mungkin sarwajagat pendekatannya, filem ini sebenarnya adalah 'kita'. Dibuat untuk kita sebenarnya. Menonton filem ini, dengan secara tidak sedar, ada sesuatu yang 'peribadi' yang anda akan rasa menggarap diri anda. Dan 'peribadi' ini, hanya anda sahaja yang tahu ada dan rasa. Filem ini juga 'lebih senang' ditonton dari Rabun (Yasmin sendiri mengaku, Rabun memang 'demanding' untuk menontonnya. Beliau menyimpulkan kata-kata Nor Azam Khairi yang bagi beliau amat benar tentang perbezaan kuasa 'grasping the audience', "Rabun mempunyai watak-watak yang kebanykannya dipinggirkan, dan lebih mengfokuskan pada Mak Inom dan Pak Tam, sedangkan Sepet, semua wataknya 'bulat' dan di'rasai' kewujudannya". Yasmin sendiri memberitahu, Rabun dibuat secara tergesa-gesa kerana ia dibuat untuk ayahnya sebelum pulang ke Rahmatullah sedangkan Sepet mempunyai lebih banyak masa dan ditatang dengan lebih baik oleh Yasmin. Tetapi bagi aku, baik Rabun atau Sepet, filem-filem itu sendiri berlainan pembawaannya dan semangatnya. Maka bagi aku tidak salah 'supporting cast' dalam Rabun, kerna filem masih filem, ia tidak berkuasa dan tidak seharusnya perlu seperti satu novel) tetapi tidak pula meminggir kaum 'film buff' seperti aku (such freaks we are).
Ketiga. Filem ini juga sebenarnya ada kuasa meenggoyah penontonnya (lebih-lebih lagi kita orang Malaysia). Filem ini agak provokatif (dan bagi aku, lebih merbahaya dari The Big Durian. Mak aku sendiri, aku percaya, kerana isu-isu 'sensitif' yang diujakan dalam Sepet, akan meng'haram'kan filem ini), sama tahap seperti filem Farenheit 9/11 atau Passion of Jesus Christ, di mana anda akan sedar- "You'll love it, or you'll hate it". Aku berani berkata, dengan filem ini, kita akan sedar (kebenaran) diri kita sebagai seorang Malaysia (atau manusia) dengan apa yang kita percaya selama ini (hehe, boleh siap buat pilihanraya), atau kita berani menukar kepercayaan kita itu, atau ia lebih menguatkan semangat kepercayaan yang kita ada itu.
Filem ini bermula dengan frasa Basmallah "Dengan Nama Allah Yang Maha Kasihi Lagi Maha Mengasihani" sepertimana filem-filem Iran, memberitahu kita, kita bermula sesuatu selalunya bersama Tuhan (sangat Islam elemen ini, ia lagipun satu ibadah untuk apa-apa yang kita lakukan untuk mulakan dengan Basmallah, maka secara tidak langsung Yasmin seakan memberitahu menonton juga harus secara beribadah, kita ambil perjalanan mengenali itu dengan hati dan fikiran dan bukan hanya untuk mainan. Frasa ini juga memberi makna kejujuran, keikhlasan dan 'sayang' Yasmin ingin taburkan pada penontonnya) dan juga akhir bersama Tuhan (di akhir filem ini, sesuatu yang 'divinity' akan berlaku, bagi aku ia seakan Tuhan amat dekat dengan kita saat itu).
Sememangnya filem ini juga satu 'perjalanan' minda, rasa dan roh. Aku boleh katakan, aku menangis beberapa kali menonton filem ini (Yasmin, i hate u for this), bukan kerana genre 'weepies' atau 'tearjerker' yang diutarakan (memang ada melodramatiknya) tetapi penonjolan manusia-manusia yang melalui permasalahan mereka dengan penuh senyap, biasa dan kasih sayang yang tidak pernah aku tonton selama ini. Sepertimana waktu Jason menangkup mukanya waktu ibu peranakannya membelainya, memberi dia pengharapan dan kebenaran. Hati aku benar-benar 'berkecai' waktu itu.
Sepet bolehlah dikategorikan sebagai sebuah filem cinta seperti yang kita tonton dalam Ada Apa Dengan Cinta (ada orang mungkin akan samakan, kerna plot akhir filem ini juga unsur romantisme Jason seakan Rangga..kalau kau orang sedar, memang kebanyakan filem rommantik ada berkenaan 'pemergian', satu entiti itu pergi meninggalkan, ikut darat, udara, air ataupun mati, dan si kekasihnya selalunya perlu mencarinya sebelum dia terlambat) di mana ia cerita cinta dua budaya (seperti Sejoli, Hujan Pagi, Talumpok, Paloh) yang berlainan (Jason seorang Cina, Orked seorang Melayu) maka plot dan motifnya beransur dan berkembang dari situ. Kalau filem pertama dalam 'siri filem mata' Yasmin, Rabun boleh kita namakan, filem 'Mata Kesedaran', filem kedua ini bolehlah dinamakan filem 'Mata Pengenalan'. Ada pepatah mengatakan, "Tak kenal maka tak cinta" (sama seperti falsafah filem Central Station). Tetapi dalam filem ini, falsafah Yasmin menukarnya. Yasmin mengajak kita kenal bahawa "Cinta tak perlu kenal, tapi rasa kewujudannya" (dengan kita merasai cinta, kita juga merasai kewujudan Tuhan yang Memberinya. Apakah kita perlu kenal bagaimana dan apa Tuhan itu? Yang penting kita rasa Tuhan ada dan rasa cintaNya). Ini dilihat dalam babak-babak filem ini waktu ibu Jason (yang dilakonkan dengan sangat baik sekali, penuh ketelitian, derita, pathos dan tenteram oleh seorang pelakon yang aku tidak kenal) menyukai puisi mandarin yang dibacakan padanya, tetapi diberitahu Jason, ia diterjemahkan dari puisi India (aku tak tahu siapa) sebenarnya. Dan lain seperti ibu Orked (yang dilakonkan dengan segar, bijaksana, seronok dan empati oleh Ida Nerina) yang menyindir suaminya (dilakonkan dengan bersahaja dan juga empati oleh Harith Iskandar) yang tidak memahami kaum wanita, "You don't have to undertand us, you just have to love us".
Maka filem ini juga menyuruh kita, meletak prejudis dan stereotaip kita terhadap budaya lain (di sini, Cina dan Melayu) ke tepi dan membuka mata kita seluas-luasnya dan mula merasa cinta terhadap insan lain, walau bagaimana lain kepercayaan, tingkah laku dan perasaan mereka.
Keadaan ini lebih dirasai apabila kita lihat, bagaimana 'harmoni'nya dunia keluarga Orked menerima Jason sebagai kekasih Orked. Walaupun di akhir filem ini, ayahnya berkata "Dia membuat seseorang mengandung luar nikah, terlibat dalam gangsterisme, dia tidak sesuai dengan kau" (Jason seorang penjual VCD haram yang dijaga oleh satu 'keluarga' atau kongsi gelap), kita sedar, bukan perbalahan agama, budaya, darjat (unsur biasa dalam filem sebegini untuk filem Melayu dan Hindustan) dan bahasa yang berlaku di sini (walaupun sebenarnya Orked agak pandai berbahasa Cina..di sinilah filem Love Actually lebih seronok, kerana watak seorang Inggeris perlu 'mengenali' bahasa Portugis untuk melamar wanita Portugal yang dia sayangi) tetapi hanya 'tingkah laku' yang tidak betul dipersoalkan oleh ayah Orked. Yasmin telah kembali mencipta (atau mengharapkan) satu 'dunia' untuk kita sedar, ada dan boleh wujud (yang sebenarnya kita sedar, ada di Malaysia)- polarisasi kaum dan bagaimana manusia boleh benar-benar hidup 'bersama' di bawah satu bumbung. Dengan unsur ini sahaja, aku berani kata Yasmin 'dare to go to the edge'.
Kerana lukisan perkauman yang Yasmin lukiskan amat 'real' garapannya. Masing-masing Cina dan Melayu saling tidak mengenali (tapi di sinilah persoalannya, perlukah kita kenali dan baru menyintai?), tetapi masih dapat bersegel bahu di tepi jalan yang sesak. Maka si buta dalam satu babak filem ini sahaja yang ber'contemplate' dan sedar bahawa kita sebenarnya semua serupa dan tidak berbeza sebenarnya, masing-masing boleh mencurigai, merasa cinta dan membuat segala tingkah seorang manusia ditabalkan untuknya (dengan ironi, ini dapat dibezakan dengan kata-kata si buta dalam Minority Report, "In the world of the blind, the one-eyed man sees all"). Maka di sini, aku menjumpai satu perumpamaan, sebenarnya tidak ada bezanya antara kulit kita, seksualiti, perkataan-perkataan yang kita guna. Masing-masing boleh memilikinya dan mengatakan, itu kepunyaan mereka juga. Hingga tidak perlu bezakan makna filem Malaysia dengan filem Melayu (atau Bahasa Malaysia dengan Bahasa Melayu) kerana yang penting, kita menggunakannya, menyayanginya dan 'menyimpannya' dengan penuh kesedaran.
Sepet juga adalah bukti kenapa Yasmin seorang auteur. Menjadi seorang auteur, perlu 'tandatangan' pengarahnya pada filemnya. Kalau Alfred Hitchcock, beliau akan menyelinap menjadi 'orang lalu lalang' dalam satu babak filemnya (yang dibuat juga oleh Peter Jackson dan kini Aziz M. Osman tetapi Aziz 'masuk campur' dalam filemnya). Steven Spielberg pula akan bermain dengan cahaya yang melimpah satu-satu ruang gelap dan tertutup sebelumnya. Wim Wenders selalunya menyukai tema 'road movie' dalam filemnya. Bagi Yasmin, kita dapati (adakah ini secara kebetulan?) dalam kedua-dua filemnya, seorang watak baru sahaja habis sembahyang, seorang watak bernama Orked (diri pengarah dalam filem) dengan ayah dan ibu yang agak 'eccentric', 'open-minded' dan penuh gelak ketawa, watak bernama Yam yang dekat dengan keluarga itu, shot yang tidak berganjak (GAIA memberitahu aku, filem-filem belah Timur Asia banyak menggunakan gaya ini), bulan penuh yang mengambang (GAIA bersembang dengan menarik bersama aku tentang ini. Bulan bagi orang Itali adalah 'Lunar' yang secara 'literal' juga bermakna 'gila'. Lagenda Serigala Jadian banyak bersangkut pada bulan penuh kerna mereka dianggap 'orang-orang gila', malah ada peristiwa yang berlaku di Peranchis pada abad 17 tentang seorang 'gila' yang mengaku dia seekor serigala. Dalam filem Moonstruck, juga bersangkut dengan budaya Itali, bulan penuh dianggap 'waktu bercanda' di mana persaan manusia menjadi tidak tentu dan berkecamuk waktu itu. Bulan penuh juga mempunyai simbol romantik dalam filem-filem barat dan juga filem Pendekar Bujang Lapuk P. Ramlee) dan ciri 'pengharapan' dalam filemnya.
Sepet juga banyak bermain dengan ritma filem. Unsur-unsur penyambungan minda kita terhadap objek dalam mis-en-scene yang terdahulu dan kemudiannya berlaku dan wujud pada mis-en-scene selanjutnya, seperti yang selalu dilakukan oleh Stanley Kubrick dan Krysztof Kieslowski ataupun yang dilakukan oleh 'orang lama' seperti Griffith dan Wiene, wujud dalam Sepet. Seperti bagaimana patung mainan yang kaku mula bernari-nari (rentak cinta bermula, berputik), titi dua pasangan duduk dan di babak lain seorang sahaja, dan handphone yang berdering. Simbol handphone di sini sangat 'subtle' (dan bukan sahaja menyindir penonton kita), ia menandakan satu perhubungan 'intimacy' secara 'within the innerself' atau dengan seseorang. Unsur ini akan berlaku dengan banyak kali dan paling efektif pada akhir filem ini.
Lakonan, seperti biasa, filem Yasmin berjaya sekali lagi menemukan satu kumpulan pelakon yang sangat berbakat dan hidup lakonan-lakonan mereka (dari kedua-dua bangsa yang digambarkan dalam filem ini), terutamanya yang melakonkan watak Orked (aku diberitahu, dia adik Syarifah Aleya, betul ke?). Adibah Noor yang berlakon sebagai 'kakak dan kawan' ibu Orked "Yam suka dengar lagu Siam " juga sungguh bersahaja dan 'shine' dalam filem ini (a bit scene stealer too). Aku suka babak Ida Nerina dan Harith di katil, lalu mereka betukar-tukar kata tentang Orked dan bagaimana Ida ketahui tentang 'cinta' anaknya melalui Kak Yam tetapi masih bersahaja saja. Satu babak klasik dalam sebuah filem Melayu. Jason yang dilakonkan oleh seorang yang aku tak kenal juga, walaupun agak kaku dalam beberapa babak, sangat baik pembawaan wataknya. Kawannya Keong juga agak lancar melakonkan wataknya. Kawan pada Orked juga agak baik sebagai 'side kick' Orked. Penggambaran dan pemilihan lagu filem ini juga berada ditahap yang cemerlang (aku tidak boleh berkata apa-apa tentang suara dan 'grating' filem ini kerana ia masih dalam tahap rough-cut), mengikut benar ritma suntingan dan emosi babak yang diperlukan. Hanya mungkin beberapa babak sahaja, kalau kita tidak teliti, kita mungkin akan menganggap filem ini membosankan. Hanya satu saja 'rosak' filem ini (ini memang 'hobi' aku kalau menonton filem Melayu), dalam penggambaran orang lalu-lalang, terdapat anak kecil memerhati terus kanta kamera filem ini. Memang inilah budaya filem Melayu, mesti ada, antara satu (seperti Berlari Ke Langit baru-baru ini. Perkara ini sangat pandai dipusingkan dalam Buli) 'pak pacak' yang tidak melakukan tugas 'memacak'nya. tapi aku rasa, itu memang sudah sebati dalam mana-mana filem Melayu. We are never tired of looking at ourself I guess.
Sepet akhirnya, seperti yang aku kata, secara tidak langsung sebuah filem untuk kita, dan juga untuk kita 'menentukannya'. Di sini, anda akan lihat pelbagai persepsi yang berlaku apabila kita tonton klimaks akhir filem ini. Penutup filem ini menentukan segalanya. Mungkin ada orang akan kata, ia semacam tergantung, tetapi sebenarnya Sepet mengajak kita melepasi sempadan ruang dan masa, sepertimana yang 'mungkin' dilalui Orked, untuk mencari inti filem ini (unsur mainan ruang dan masa ini juga berlaku dalam Three Colours: Red dan The Exorcist). Kalau perkataan "rosebud" dalam Citizan Kane mengarah kita mencari 'misteri' ini dalam lipatan cahaya filem itu, akhir kata Orked di Handphone pada Jason (mis-en-sene sebelumnya, Jason ditunjukkan terlantar di jalan, berlumuran darah dan handphonenya terpelanting) pula mengarah kita menjawab kesimpulan tentang apa yang kita sudah lihat dalam sejam lebih filem ini.
Babak sebegini pernah dilakukan dalam filem Talk To Her (si lelaki dan perempuan saling bertemu mata dan tersenyum sepi di antara barisan penonton), Indochine (Catherine meninggalkan anak angkatnya lalu melihat ke tebing sungai), dan Tsu Feh Sofiah (Rahim Razali melihat pantai dan lalu pergi, matahari masih mekar belum terbenam di belakangnya). Menarik apabila Yasmin menanya penontonnya, apa yang mereka 'dapati' dari babak akhir Sepet. Pelbagai jawapan yang diberi, termasuk aku. Di sinilah, kita sedar, jika kita benar-benar mahu perubahan, atau sangsi dengan perubahan ini atau mahu biarkan 'cinta' ini tanpa perubahan. Kita sedar bahawa, yang bercakap sekarang bukan kita lagi, tapi ketidaksedaran kita mengambil tempat, maka segala norma dan kemahuan kita akan terpancar dalam persepsi kita itu:-
1. Orked kerana ingin benar mendengar suara Jason, dia menciptakan ilusi Jason supaya dia dapat berhubung dengannya- penyedaran bahawa 'cinta' hanya orang-orang seperti Orked sahaja yang faham. Psyche kita tidak dapat menerimanya. Di sini kita percaya 'romantisme' sudah mati. Ini boleh disamakan dengan filem Dr. Rushdi P. Ramlee yang mana filem itu menggambarkan 'kelupusan' romantisme (dari watak-wataknya yang mempercayai isme ini) dan juga satu makna 'subtle' dari P. Ramlee bahawa unsur filem Melayu lama 'berakhir' di situ atau kerjanya sendiri akan 'berakhir' dalam ketidaktentuan.
2. Keong yang menjawab handphone Jason, berlakon sebagai Jason bila bercakap dengan Orked- 'Cinta' tetap ada bila ada orang-orang yang disampingnya masih mempercayainya. Psyche kita masih berdolak dalik tentang 'penyatuan' ini tetapi masih inginkan ia berlaku, tetapi kebenarnnya tetap menerangkan 'cinta itu hanya ilusi'.
3. Orked mendengar 'suara roh' Jason- 'Cinta' ini akan hanya berlaku di luar fizikal manusia (di sini, alam roh) kerana cinta itu terlalu suci, ia melangkaui dimensi dunia, maka roh dan alam disatukan untuk satu kali terakhir. Ini jawapan aku, malah ada beberapa pengkritik luar negara memberitahu Yasmin perkara yang sama. Ini adalah jawapan seorang romantis, yang inginkan dan percaya pada perubahan itu, 'cinta' itu yang disampaikan dan mahu ia berputik tapi masih tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku. Maka psyche kita sanggup 'melangkaui' logik ruang dan masa untuk menyatukan 'cinta' ini.
4. Jason tidak mati. Untuk kali terakhir bercakap dengan Orked yang mula menangis, dia bercakap dengan tenang, tidak mahu menggoyah perasaan Orked, memberi Orked harapan yang sepenuhnya- Pendirian tentang 'cinta' ini yang paling optimistik. Bukan sahaja psyche kita gagal menerima Jason sudah mati, dia bercakap dengan tenang pula, seakan tidak ada apa-apa yang akan berlaku, menyatakan realiti ini dipercayai memang berlaku.
Bayangkan apa yang telah filem ini buat pada aku, dan aku juga ingin menanti saat ia menggoyah penonton lain (dan kita akan lihat, korang ingin mempercayai 'cinta' itu atau tidak). Seperti yang Nizam Zakaria katakan pada aku, apabila beliau bertemu dengan sebuah filem kita yang sempurna pembuatannya, terbaik antara yang terbaik, Sepet adalah jawapannya. Aku juga mengatakan yang sama sepertinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment