Minggu pertama kali, tarian, Sepet dan bangsa Melayu
Setelah sekian lama menulis pandangan-pandangan tentang pelbagai isu yang bersifat peribadi, aku ingin mengambil kesempatan pada kali ini untuk menulis tentang cerita hidup aku.
Perjalanan hidup aku beberapa hari yang lepas ini amat menyeronokkan kerana banyak peristiwa yang pertama kali berlaku. Pertamanya adalah semasa Annual Dinner majikan aku yang diadakan pada hari Isnin lepas di Kelab Shah Alam di mana aku buat pertama kalinya di dalam sejarah kehidupan telah membuat persembahan tarian di hadapan para audien yang tentunya juga adalah rakan sekerja.
Persembahan tarian yang aku persembahkan bersama sepuluh orang rakan softline(dept aku) yang lain adalah tarian moden dan latin.
Untuk pengetahuan, aku memang tidak pandai menari dan tidak pernah cuba-cuba untuk menari baik di rumah atau di mana saja, malah tidak pernah berhasrat untuk masuk ke disko, pub dan sebagainya jika sekadar untuk menari sahaja. Dalam erti kata lain, aku memang tak suka menari.
Tapi segalanya berubah kira-kira tiga minggu lepas bila mana Line Manager Softline aku telah memilih aku bersama empat orang pekerja lelaki dan enam orang perkerja wanita untuk membentuk pasukan penari untuk mewakili dept semasa annual dinner dilangsungkan.
Walaupun pada awalnya rasa ingin menolak itu sangat tinggi, namun apabila difikirkan sedalam-dalamnya hasrat itu diketepikan begitu sahaja. Apa puncanya? Pertamanya adalah kerana pekerja lelaki yang available di dept aku setelah ditolak kami semua hanyalah seramai dua orang yang mana kedua-duanya awal-awal lagi membantah secara keras. Nak tak nak, kenalah masuk juga.
Alasan kedua tentunya berkaitan dengan presatsi dan kenaikan di dalam syarikat yang tersangatlah penting. Jadi, aku sahut cabaran ini walaupun ramai yang mengatakan aku keras semasa menari.
Setelah berlatih punya berlatih siap dengan jurulatihnya sekali, (persembahan ini dipertandingkan), tanggal 5 Julai lepas adalah penentuan segalanya. Alhamdulillah, kami dapat manari dengan baik pada malam tersebut dan mendapat tepukan gemuruh kerana keseksian penari utama yang turut merangkap menjadi penyanyi olok-olok dan keseksian tarain kami. Lagu Superstar nyanyian Jamelia dan sebuah lagu berbahasa Latin telah menjadi pilihan kami. Keputusannya, kami mendapat hadiah saguhati sahaja.
Satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah pertemuan pertama kali aku dengan pengarah filem Rabun, Yasmin Ahmad di pejabatnya di Jalan Raja Chulan. Yasmin telah menjemput aku untuk menonton rough cut filem keduanya, Sepet di amphitheatre Leo Burnett tempat Yasmin bekerja. Aku cukup terharu dengan jemputan ini dan yang lebih mengharukan lagi adalah sikap Yasmin yang peramah, merendah diri dan bermacam-macam lagi sikap positif yang tidak dapat aku gambarkan di sini.
Dalam masa yang sama juga, aku turut berkenalan dengan Fadz (tontonfilem) dan aweknya, Ina. Pada waktu yang sama juga, seorang wartwan dari Thailand dan penulis bebas yang menyumbang untuk Far Eastern Economic Review turut hadir untuk menonton kedua-dua filem Yasmin yang akan ditayangkan.
Apa yang mengharukan lagi adalah kesediaan Yasmin untuk menayangkan telebih dahulu Sepet dan diikuti oleh Rabun atas permintaan aku kerana terdapat urusan lain yang perlu dibereskan. Terima kasih Yasmin dan audien-audien lain yang bersetuju!
Satu lagi pengalaman pertama kali yang sangat indah berlaku malam Isnin yang lepas iaitu tatkala menjelang final Euro 2004 di mana aku buat pertama kalinya lepak bersama-sama dua orang rakan sekerja lelaki aku yang turut sama dalam pasukan persembahan. Seorang India dari ladang dan seorang Melayu yang berasal dari luar bandar.
Apa yang indahnya? Pada mulanya aku seperti biasa akan mengamalkan amalan pragmatik di dalam bergaul iaitu mengikut sahaja flow perbualan yang mana pada wakti itu bola, awek, masalah kerja dan hal-hal kecil yang lain yang mana aku turut enjoy. Aku sepanjang bekerja jarang bercerita tentang hal-hal yang aku bicarakan di blog ini kerana aku masih gagal mendapat kaki. Kalau kaki yang lain tu, senang sangat.
Aku pada awalnya juga tidak menyangkakan rakan berbangsa India itu mempunyai matlamat yang sama seperti aku iaitu menghapuskan perkauman dan menuntut keadilan, kebebasan dan kesamaan serta membela orang-orang yang layak sahaja. Aku cukup terharu dan dengan ini bertambahlah rakan seperjuangan yang berlainan bangsa tetapi mempunyai matlamat murni yang sama. Bukan sekadar matlamat sahaja, malah dia turut berjanji untuk bertindak.
Pelbagai isu ditelanjangkan begitu sahaja daripada isu 13 Mei, meritokrasi, penindasan masyarakat India, hak istimewa orang Melayu, Melayu malas dan pelbagai isu lain yang berat dan aku cukup pasti RTM tidak akan berani membuat diskusi yang semacam ini untuk ditonton kepada umum. Rakan Melayu seperti yang dijangka agak terperanjat pada awalnya dengan pandangan dan idea yang tidak pernah didengari sebelum ini. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dia dapat mendengar dan bersetuju dengan beberapa pandangan, membantah yang lain dan berfikir yang selainnya.
Apa yang penting, keterbukaan dalam membicarakan isu-isu seperti ini harus diberi perhatian dan galakan dan ianya harus dijadikan budaya. Apa guna kita mengkritik kaum itu dan ini jika perbincangan hati ke hati secara jujur tidak ingin dilakukan. Kepada rakyat Malaysia yang bekerja atau belajar di tempat di mana terdapat rakyat pelbagai kaum, jangan sia-siakan kepelbagaian yang ada dengan mengasingkan diri dengan kelompok kaum sendiri.
Cuba-cubalah berinteraksi dengan pekeraja dan pelajar dari bangsa yang lain, mulakan dengan hal-hal yang remeh untuk meletak batu asas sebelum bertindak untuk membuka ruang diskusi jujur sesama. Cuba timbulkan pelbagai isu yang sensitif seperti 13 mei, perkauman, korupsi, meritokrasi, keadilan, kesamaan serta polemik-polemik yang hangat seperti mengapa syarikat swasta mengutamakan orang Cina, syarikat dan agensi kerajaan seperti milik Melayu dan pelbagai lagi. Kemudian, cuba untuk mencari jawapannya dengan sejujurnya, jangan takut untuk bersuara dan aku pasti tidak akan ada pergaduhan kaum selagi mana kita berpegang kepada prinsip hormat-menghormati dan terbuka..
Jangan hanya pandai menyalahkan bangsa itu dan ini jika kita tidak ingin cuba mencari punca permasalahannya. Janganlah hidup hanya bersumberkan akhbar dan bahan bacaan berbahasa Melayu sahaja dan membuat kesimpulan dengannya. Aku sudah bosan membaca surat-surat pembaca yang hampa terhadap situasi perkauman di akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia. Tidak lupa juga kepada mereka yang bersandarkan kepada akhbar dan bahan bacaan tunggal di dalam bahasa yang lain seperti English, Mandarin, Tamil dan sebagainya.
Cuba-cubalah berfikir mengapa mereka berbuat demikian, jangan asyik mengeluh itu dan ini, kritiklah rakan-rakan sebangsa kita yang sibuk untuk bekerja di pelbagai sektor kerajaan seperti guru, polis dan sebagainya.
Tidak salah kepada mereka yang betul-betul berminat malah sangat mulia, tetapi salah kepada mereka yang menjadikannya sebagai pelarian kerja setelah gagal untuk bersaing di dunia swasta. Masalahnya bukan sedikit orang Melayu yang seperti ini, ia terlalu banyak terutamanya di kalangan graduan IPTA Melayu.
Apa alasan utama yang sering didendangkan oleh golongan losers ini, gaji banyak(RM2500 boleh dikatakan banyak?, takkan sampai umur tua gaji lebih kurang tang tuh jer, macam mana nak menyumbang besar-besaran kepada bangsa, agama, negara?), kerja tak banyak (kecuali pasukan keselamatan), senang nak mengular atau dalam erti kata lain tempat untuk pemalas adalah di sini.
Maka tidak hairanlah kata-kata "Melayu malas" sangat popular, aku sangat bersetuju dengan pendapat ini dan aku sangat bersetuju dengan Tun Dr. M akan hal ini. Biarkan sektor kerajaan dipenuhi oleh mereka yang betul-betul berminat sahaja dan bukannya pengecut-pengecut ini yang pastinya tidak akan banyak melakukan perubahan di dalam negara kerana sifat selesanya dan penakutnya itu.
Orang Melayu jangan banyak sangat alasannya, contohilah masyarakat Cina yang walaupun ditindas oleh negara Malaysia ini di dalam pelbagai segi, namun atas daya usaha dan daya juang masih boleh berjaya. Kalau nak, tak payah seribu daya, satu daya pun boleh dan kalau tak nak, tak payah seribu dalih, dua dalih sudah cukup iaitu malas dan penat. Bangkitlah wahai pengecut-pengecut Melayu yang mana lazimnya adalah racist dan raja alasan.
No comments:
Post a Comment