Kata Aluan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Seri Utama Rais Yatim
Apabila saya merenungi….sejarah dunia…saya melihat perkara yang sama..iaitu, manusia kerap mengulangi kesilapan yang sama- Akira Kurosawa
Kata-kata hikmat daripada pengarah filem agung, Akira Kurosawa ini, sebenarnya telah diluahkan oleh ramai pemikir. Aristotle juga pernah mengatakan bahawa sesebuah cerita membayangkan bagaimana seseorang manusia harus menjalani kehidupannya. Satu persoalan yang sering ditimbulkan dan menjadi tema cerita ialah: Apakah manusia dapat mempelajari sesuatu dari kesilapannya? Ia juga merupakan tema yang popular yang terdapat di dalam kebanyakan cerita dari dulu hingga sekarang. Bangsawan TUN FATIMAH juga tidak terlepas daripada persoalan dan tema ini.
Saya sangat gembira kerana kisah Tun Fatimah dan bencana yang menimpa keluarganya di zaman Kesultanan Melaka dipentaskan sekali lagi. Kita akan melhat budaya, tradisi dan warisan yang memasyhurkan Melaka pada satu masa dahulu. Kita juga akan lihat gaya dan cara kehidupan orang-orangnya dan bagaimana mereka menyelesaikan masalah. Kita juga akan sedar bahawa musuh negara dan rakyat sebenarnya bukan dari luar, tetapi ada di antara kita, dan menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.
Saya berharap bangsawan Tun Fatimah akan membuatkan kita brfikir tentang apakah peranan yang harus dimainkan oleh setiap seorang daripada kita. Tun Fatimah tidak mampu untuk menyelamtakan keluarganya. Tetapi kita dapat memastikan bahawa perkara yang sama tidak menimpa keluarga kita, komuniti dan negara.
Saya mengucapkan tahniah kepada karyawan dan tenaga kerja TUN FATIMAH, dan juga kepada anggota ISTANA BUDAYA, yang telah berjaya membawa ke pentas satu kisah yang sangat sesuai untuk zaman ini.
Ya, ia memang sangat sesuai. Diharap Dato’ Seri Utama Rais Yatim dapat melihat sedikit perkaitan cerita ini dengan kisah Malaysia moden yang amat popular iaitu penyingkiran DSAI(walau seorang lelaki,namun terdapat juga watak wanita seperti Wan Azizah, Nurul Izzah dan nasib baik Anwar tak mati)dan bagaimana mereka (Tun Dr. Mahathir, kerajaan BN dan rakyat) menyelesaikan masalah.
Hingga kini, Anwar yang dianggap tahanan politik oleh Amerika dan pelbagai pihak terutamanya pertubuhan hak asasi kerana kecacatan proses perundangan masih gagal untuk diselesaikan. Sehinggakan, untuk memberikan kebenaran rawatan untuknya di Jerman masih dinafikan serta penagguhan penghakiman rayuan terakhirnya ditangguh sesuka hati tanpa sebarang alasan.
Adakah Anwar perlu mati untuk segalanya selesai? Mungkin ya mungkin tidak, tapi bagi aku jalanraya adalah jawapannya jika ia berlaku.
Kata Aluan Ketua Pengarah Istana Budaya, Dr Hatta Azad Khan
ISTANA BUDAYA telah mementaskan pelbagai produksi yang bersandarkan kisah-kisah Melaka di zaman silam. Alhamdulillah, kesemua ini telah diterima baik oleh penonton. Bangsawan Tun Fatimah sekali lagi menampilkan kegemilangan Kesultanan Melaka yang masyhur satu masa dahulu. Namun, bagi setiap kisah yang dipersembahkan di pentas, tedapat satu lagi kisah yang tersirat, dan harus dibaca oleh mereka yang mampu berbuat demikian. Inilah nawaitu sebenar stiap penulis dan pengarah yang amat prihatin tentang nasib bangsa dan Negara mereka. Inilah yang menjadi hiburan intelektual bagi mereka yang mereka menginginkannya.
Produksi TUN FATIMAH merupakan satu lagi cintoh yang membawa ramai lagi pemuda untuk terlibat di dalam pementasan di Istana Budaya. Mereka ini terlatih dalam Seni Persembahan. Mereka juga kreatif dan komited, serta membawa satu dimensi baru kepada produksi di IB, yang mampu menganglkat mutu seni persembahan di negara kita.
Produksi sebesar Tun Fatimah sudah tentunya memerlukan usaha yang amat tinggi dan juga memakan masa yang lama untuk dirancang dan dilaksana. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yan terlibat, sama ada tenaga kreatif, pelakon, kru dan pengurusan, yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan produksi ini.
Aku sangat setuju dengan ungkapan hiburan intelektual, mungkin istilah ini boleh dipopularkan terutama di dunia perfileman tempatan. Diharap kepada mereka yang menonton hanya kerana Jehan, Fasha dan juga Ismahalil turut dapat menjadikan naskhah ini sebagai hiburan intelektual.
Sinopsis
Tun Fatimah, puteri kepada Bendahara Melaka, memaklumkan kepada tunangnya Tun Ali, tentang mimpi buruknya. Kata Tun Ali ia hanyalah mainan tidur. Tidak disangka mereka berdua bahawa mimpi itu sebenarnya satu petanda buruk tentang bala yang akan menimpa keluarga Tun Fatimah.
Mendaliar telah lama menyimpan dendam yang membara terhadap Bendahara. Mendaliar menghasut Sultan Melaka dengan mengatakan Bendahara seorang pengkhianat yang bersubahat dengan Feringgi untuk menjatuhkan Sultan. Mendaliar mengingatkan Sultan lagi bahawa Bendahara sepatutnya mempersembahan Tun Fatimah kepadanya tetapi tidak berbuat demikian. Hanya Tun Fatimah satu-satunya layak menjadi permaisuri bagi Tuanku. Tanpa rujuk atau selidik, Sultan Melaka bertitah agar seluruh kelauraga Tun Fatimah, termasuk Tun Ali, dihukum bunuh. Hanya Tun Fatimah terlepas dari hukuman itu, dan menjadi permaisuri Sultan.
Dunia tidak lagi bermakna untuk Tun Fatimah. Kini hanya dendam yang membara terhadap Mendaliar dan kroni-kroninya meluap di hati. Tun Fatimah dan Dayang-dayang menyamar sebagai pendekar dan menyerang Mendaliar. Malngnya mereka ditangkap oleh orang-orang Sultan dan dibawa menghadapnya. Alangkah terperanjat dan kesalnya apabila Sultan berhadapan dengan Tun Fatimah, dan mula sedar siapa sebenarnya musih di dalam selimut. Namun bagi Tun Fatimah, tidak ada untungnya. Kesemua mereka yang pernah dikasihinya sudah tiada.
Teater Bangsawan Tun Fatimah, Anwar Ibrahim dan Fasha Sandha
Oleh Zulhabri Supian
Khamis malam yang lepas, aku bersama-sama Cput, Aran dan Emy telah pergi ke Istana Budaya untuk menonton teater Bangsawan Tun Fatimah. Teater arahan pengarah muda, Rosdeen Suboh ini menampilkan beberapa muka baru seperti Jehan Miskin, Fasha Sandha dan Ismahalil Hamzah serta muka lama seperti Shaharudin Thamby dan Mohd Hisham Ahmad Tajudin.
Oeh kerana aku bukanlah seorang yang mahir untuk mengulas sesebuah teater secara detail, di sini aku ingin memberi penilaian secara umum tentang Tun Fatimah ini. Secara umum, aku berpandangan bahawa persembahan teater ini agak baik walaupun ia kelihatan agak kurang jika dibandingkan dengan muzikal Puteri Hang Li Po. Apapun, ini hanyalah pendapat peribadi aku sahaja.
Sebagai rekod, sepanjang aku menonton persembahan-persembahan teater di merata-rata tempat, inilah persembahan teater yang paling lama, iaitu lebih kurang tiga jam termasuklah rehat 15 minit di pertengahan jalan cerita. Namun ia tidaklah pula membosankan kerana ia gagal untuk membuatkan aku terlena walau sebentar. Tahniah!
Walaupun tema utama cerita ini berkisar tentang perjuangan seorang wanita bernama Tun Fatimah demi keluarganya, namun secara peribadi aku berpandangan bahawa naskhah ini agak berat dan sarat dengan isu-isu sosial kerana berjaya mengupas persoalan-persoalan lain yang juga relevan pada masa ini seperti soal keadilan, layanan terhadap wanita, penguasaan sultan yang mutlak, kekukuhan nilai-nilai feudal yang begitu kukuh, keburukan fitnah liar serta pergolakan kuasa
Ketika babak di mana Sultan yang dilakonkan oleh deejay terkenal, Abang Isma menitahkan agar kesemua keluarga Bendahara (Perdana Menteri) dibunuh kecuali Tun Fatimah kerana mendengarkan dan mempercayai fitnah dari mendaliar bahawa Bendahara ada menerima habuan dari pihak Portugis dan ada memasang niat untuk merampas takhta kerjaan secara bulat-bulat, aku berasa cukup benci dengan watak Sultan tersebut. Aku hairan mengapa seorang ketua negara begitu bodoh dan tidak dapat membuat pertimbangan secara adil dan tidak emosional. Tahniah abang Isma kerana berjaya membawa watak tersebut dengan baik!
Sultan menjadi emosional berikutan tindakan Bendahara yang tidak memberitahu baginda bahawa beliau mempunyai seorang puteri yang sangat jelita, Tun Fatimah. Sebelum itu, permaisuri Sultan baru sahaja mangkat. Aku cukup yakin berikutan perangai buruk Sultan-sultan, para pembesar dan golongan bangsawan di masa lalu, orang Melayu yang ada sekarang adalah mangsanya. Pengajarannya, kepada pemimpin-pemimpin Melayu dan juga dari bangsa lain yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir hal-hal siasah agar tidak mengulangi kesilapan yang sama hanya kerana berebutkan kuasa dan lebih teruk lagi, seorang wanita. Ini kerana generasi di masa akan datang mungkin akan menyalahkan kita pula.
Satu lagi babak yang cukup 'menghanginkan' aku adalah sewaktu Bendahara rela untuk dihukum kerana menurut katanya, orang melayu mempunyai adab-adab dan nilai-nilai mulia dan tidak seharusnya menentang titah Sultan. Kalau diperhatikan betul-betul, kata-kata seperti ini tidak sukar ditemui pada masa ini. Kita hanya perlu menonton stesen tv terutamanya TV1, membaca akhbar terutamanya Utusan Malaysia untuk mendengar dan membaca kata-kata sebegini dari pemimpin sebuah parti Melayu iaitu UMNO.
Ada satu babak yang meregangkan bulu roma iaitu sewaktu Tun Ali dan beberapa ahli keluarga Bendahara menentang titah Sultan seraya berkata 'membujur lalu, melintang patah'. Kata-kata ini mengingatkan aku detik ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan puluhan ribu rakyat di seluruh negara selepas pemecatannya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Mungkin juga pementasan teater berjudul Anwar Ibrahim akan dipentaskan di masa akan datang oleh anak-anak dan cucu-cucu kita. Siapa tahu, kalau bukan dalam masa terdekat, mungkin pada tahun 2040, 2060, 2100, 2200....
Teater ini juga dilihat membawa mesej perebutan kuasa di antara baginda Sultan dan Bendahara walaupun ianya hanyalah fitnah kerana yang sebenarnya adalah Mendaliar yang inginkan kuasa tersebut.
Teraju utama di dalam teater ini iaitu Fasha Sandha yang membawa watak Tun Fatimah nyata tidak mengecewakan walaupun ini merupakan persembahan pentas pertamanya. Diharap selepas ini beliau akan diberi lebih banyak peluang untuk beraksi di pentas teater serta filem-filem yang mempunyai skrip dan tema yang baik.
Menyebut tentang Fasha Sandha, aku tidak boleh menyembunyikan kegilaan aku terhadapnya kerana raut wajahnya yang cukup jelita dan juga aspek lakonannya yang dilihat terdapat banyak peningkatan. Pertemuan dan peluang bergambar sebanyak dua kali dengan beliau menghadirkan aku peluang untuk berbicara pendek yang mana ianya cukup untuk memberi aku impresi yang positif terhadapnya.
Cumanya, aku amat berharap agar Fasha Sandha dapat menjaga diri dengan baik, lebih fokus kepada kerjayanya, membintangi filem-filem yang mempunyai skrip yang baik,menghindarkan diri daripada hal-hal yang remeh serta tidak mengharapkan gosip dan publisiti murahan untuk melonjakkan diri. Ini kerana aku memang tidak akan meminati artis-artis yang lebih gempak hal-hal peribadinya daripada bakat dan soal kerjaya.
Harapan kepada Fasha amat tinggi kerana beliau bersama-sama Nur Fazura, Betty Banafe, Jehan Miskin, Sharifah Aleya, Sharifah Amani dan beberapa yang lain lagi merupakan pelapis kepada barisan pelakon yang sedia ada. Apapun, teruslah berusaha, ganbatte!
Untuk teater seterusnya, nantikan Demi Zaiton dan Akuarium di Dewan Bahasa dan Pustaka hujung minggu depan.
Bual Teater: Perihal manusia kerap ulangi kesilapan sama
Ismahalil jiwai watak sultan- Harian Metro
No comments:
Post a Comment