Tuesday, July 13, 2004



Isu DO Bukit Beruntung: Jangan Jadikan Tuhan Sebagai Hamba

Oleh: Amir Sari

Tidak terduga diskusi anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) pertengahan bulan lalu yang bertajuk “Masa Depan Politik Teologi” telah menimbulkan satu perdebatan panjang.

Debat di Malaysia bukan perkara biasa malahan hampir tidak ada, saya cukup gembira kerana diskusi tersebut telah menimbulkan suatu perdebatan – amat sihat dalam amalan demokrasi, tetapi saya tetap merasa kecewa kerana arus perdebatan yang dibina tersudut dalam perkara yang tidak wajar.

Bermula dengan Astora Jabat yang mengetengahkan laporannya di kolum beliau ‘Bicara Ahad’–yang lebih berimbang saya kira berbanding laporan lain walaupun masih terdapat beberapa perkara besar tidak dilaporkan mengenai diskusi malam itu.

Tidak pasti mengapa perdebatan malam itu yang dianggap inklusif tidak mengundang debat dikalangan simpatisan kerajaan, mungkin mereka telah sangat terbiasa dengan tema seperti itu atau sememangnya mereka tiada apa-apa idea tentang tajuk itu.

Tetapi laporan muka surat dua, Harakah bilangan 1266 dan di bahagian bahasa Inggerisnya tidak lama selepas itu telah meledakan perdebatan hangat dikalangan kelompok pro pembangkang. Amat malang hanya isu pinggiran; DO Bukit Beruntung yang terlontar dari lidah Khalid Jaafar pada penghujung malam Rabu itu dipanjangkan perdebatannya oleh kelompok pro-pembangkang hingga menyongsong ke hal akidah.

Kecaman ke atas Khalid dalam hal DO Bukit Beruntung dan Muhamad S.A.W datang dari segenap penjuru kumpulan pro - pembangkang termasuk dari rakan se-parti beliau, saya tidak kisah dengan kecaman mereka terhadap Khalid tetapi amat kecewa, kecaman tersebut bersifat emosional dan tidak bijak.

Lihat sahaja sikap yang diambil oleh dua kawasan Pas; Maran dan Kuala Kurau yang meluluskan usul dalam mesyuarat agung mereka, mengutuk penghinaan Khalid terhadap Rasululluh kerana dianggap merendah-rendahkan Muhamad S.A.W dengan kononnya menyamakan Rasullulah dengan DO Bukit Beruntung.

Malah Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Ustaz Mohd Baki Othman menganggap usul ini sebagai perkara terpenting dan terbesar dalam usul-usul yang dibentangkan dalam mesyuarat agung di kawasan Maran.

Begitu juga tulisan Zukri Akshah, Exco Angkatan Muda keadilan dari Pahang di Harakah-online yang melihat tindakan Khalid telah memperkecilkan sumbangan Muhamad dan menuduh beliau berpandangan negatif terhadap Islam yang hasilnya musuh Islam terbahak-bahak kegembiran.

Kedua-duanya adalah contoh kritikan yang emosional dan tidak matang. Tindakan dua kawasan Pas dan Zukri seolah-olah membayangkan mereka tidak cuba mendalami dan berfikir maksud yang cuba dibayangkan Khalid malam tersebut. Lantas terus menuduh orang lain anti-Islam dan terkeluar dari batas keimanan.

Mereka sering merasa takut untuk berhadapan dengan hujah yang mencabar pendirian dan kepercayaan mereka, lalu menyuruh tuhan menjawab bagi mereka tanpa cuba membuka minda dan menerima hujah yang benar. Sedangkan kita sering mengaku hamba tuhan, tetapi dalam hal ini tuhan pula disuruh seperti hamba. Jika begini sikap yang ditonjolkan sudah pasti musuh Islam bertambah suka kerana ternyata gaya Islam yang ditampilkan adalah lemah dan tidak kreatif – bertentangan dengan saranan Quraan bahawa umat Islam adalah Khaira` Ummah.

Sedangkan dalam satu hadis diterangkan bagaimana Muhamad S.A.W bersetuju dengan Muaz Ibn Jabal yang ditugaskan menjadi Gabenur di satu kawasan yang mengatakan, akan menggunakan akal fikirannya selepas Al Quraan dan Hadis masih tidak dapat menyelesaikan persoalan.

Mengapa kita sering lupa kisah ini ataupun gesaan berulang kali di dalam Quraan yang menyarankan agar kita berfikir. Kemalasan berfikir inilah yang meyebabkan kumpulan pro-pembangkang ini sering menggunakan alasan tertindas untuk menutup kelemahan mereka sendiri.

Ramai yang hadir malam tersebut pasti lebih jelas perbandingan DO Bukit Beruntung dan Muhamad S.A.W sebagai ketua Madinah yang dibawakan Khalid sebagai membayang kompleksiti yang dihadapi masyarakat hari ini amat berbeza dari zaman Rasulullah.

Oleh itu kita perlu banyak menggunakan akal rasional sendiri untuk menghadapi persoalan baru seperti kecelaruan budaya pop, demokrasi dan hak asasi yang tidak muncul sewaktu kegemilangan empayar Islam.

Terlalu banyak perkara zaman dahulu boleh dibuang begitu sahaja walaupun diterima dalam empayar Islam, Contohnya amalan penghambaan tiada masalah bagi masyarakat terdahulu tetapi sekarang apakah kita masih sedia menerimanya. Begitu juga tindakan ulamak dahulu yang tidak bertindak membiarkan negara dikawal secara feudal dan monarki sehingga raja mempunyai kuasa tidak terbatas seperti apa yang dilakukan Harun Al Rasyid membunuh sekeluarga panglima perangnya atas alasan kebimbangan akan merebut kuasa pemerintahannya.

Kehidupan sekarang amat memerlukan kita bijak berhujah untuk menyakinkan orang lain, zaman menggunakan kekerasan, ugutan dan dakwaan sewajarnya tidak lagi diamalkan dalam kehidupan moden dan bertamadun. Tetapi jika kita masih terus menunjukkan sikap begitu jadi apa lagi guna Reformasi.

Penulis adalah bekas aktivis belajar dan kini beliau bertugas sebagai koordinator di Institut Kajian Dasar (IKD).

No comments: