Liberalisme Melayu demi reformasi- Fathi Aris Omar
"When a man or a party suffers an injustice in the United States, to whom can he turn? To public opinion? That is what forms the majority. To the legislative body? It represents the majority and obeys it blindly. To the executive power? It is appointed by the majority … To the police? They are nothing but the majority under arms. A jury? The jury is the majority…." – Alexis de Tocqueville dalam Democracy in America.
Memang benar, Melayu sebagai kelompok dan individu masih lagi kabur, dalam proses penafsiran yang tidak sudah-sudah. Memasuki daerah perbincangan ini dengan senang menjerumus kita dalam kancah kontroversi.
Ibarat Ulil Abshar-Abdalla dengan jaringannya "Islam liberal" memancing kontroversi di Indonesia sejak beberapa tahun lalu.
Takrif "Melayu" dalam Perlembagaan Persekutuan menjadikan etnik ini tidak diikat oleh aspek biologi sahaja, tetapi juga aspek pembudayaan tanpa batas. Beragama Islam, berbahasa Melayu dan berbudaya seperti kaum ini – beginilah takrif Melayu secara rasmi. Di sinilah bermula segala kontroversi.
Jika kita ingin mentakrif siapakah individu atau kelompok "liberal Melayu", apakah ini bermakna kita wajib memakai definisi perlembagaan? Ertinya, individu Islam yang berbahasa dan berbudaya Melayu tetapi menganut liberalisme?
Orang boleh bertanya lagi, apakah itu maksudnya "liberalisme abad ke-19" atau "Islam liberal"? Apakah ada takrif liberalisme dan Islam yang lain lagi? Atau, apakah wajar kita mengabaikan takrif perundangan ini, dan mengambil definisi biologi atau antropologi, misalnya?
Malah, mungkin ada pihak bertanya lagi, apakah perlu atau pentingnya daerah diskusi ini dijelajah – semata-mata untuk mencipta debat dan memuaskan nafsu intelek?
Satu contoh menarik percubaan untuk memberi wajah baru etnik ini, dapat dilihat dalam projek "Melayu Baru" kira-kira 10 tahun lalu. Ia popular seketika, misalnya huraian ahli akademik Dr Siddiq Fadzil atau naib presiden Umno Muhammad Muhd Taib, tetapi kini terbengkalai.
Masa depan Melayu
Tesis Syed Muhammad Naguib Al-Attas dalam karya (asalnya ucapan keprofesoran) tentang Islam dan kebudayaan Melayu, memantapkan lagi hubungan agama dengan kaum ini. Dengan kepentingan ideologi baru Islam waktu itu, antaranya dipopularkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), idea tersebut berkembang biak semakin popular sejak lebih 30 tahun lalu.
Dasar-dasar kebudayaan atau pendidikan nasional melanjutkan tafsiran hegemonik ini daripada kepentingan ideologi baru Islam waktu itu, sama ada digelar "kebangkitan Islam" atau "fundamentalisme agama".
Tetapi hari ini agama, termasuk janji kebangkitan Islam sejak 1970-an, membawa natijah dan konotasi negatif, termasuk ancaman kepada kebebasan serta kemajuan masa depan umat Melayu. Pada awalnya, gejala ini membungakan bibit-bibit harapan, alternatif dan suara kritik yang mendasar dalam pemikiran atau nilai hidup tetapi kini ia menjadi sejenis kuasa sosial yang mengongkong, jumud dan laih (mediocre).
Bersama beberapa lagi faktor penyumbang, kebangkitan Islam membawa konotasi anti-ilmu, anti-fikiran bebas, anti-debat, anti-jamak budaya, anti-Barat, anti-Yahudi yang melulu, klise lagi cetek. Ia menyudut dan meminggirkan banyak pihak, pada waktu yang sama, menguatkan dominasi kelompok sendiri dalam persoalan kuasa (politik) dan moral bangsa.
Apatah lagi nada dan imej "menentang" atau "anti-sistem" yang dibawa oleh gerakan kebangkitan Islam dahulu berjaya dijinakkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang mengongkong anti-kebebasan individu, anti-debat, anti-idea baru, mewarisi konservatisme tradisi masyarakat desa (petani) dan feudalisme politik Melayu sejak beratus-ratus tahun.
Dengan bantuan tangan hegemoni BN, disokong pula fundamentalisme agama di luar dan di dalam kerajaan, tafsiran Islam yang laih klise lagi dangkal itu – walau turut dianggap kesan sampingan "kejayaan" kebangkitan Islam – telah menghurung imej popular umat Melayu.
Hari ini, kita tidak dapat mengenal satu punca khusus sumber-sumber yang membentuk jiwa, nilai, minda atau penampilan Melayu – termasuk akibat kesan globalisasi budaya pop dan kapitalisme – di kalangan remaja atau profesional muda.
Konspirasi
Ia bercampur aduk dengan begitu kompleks (sejenis gejala pasca-modenisme?) tetapi di bawah imej luaran ini, jelas sekali terasa kuatnya tiga unsur yang merosakkan: konservatisme tradisi, fundamentalisme agama dan feudalisme politik.
Generasi baru semakin celik huruf, malah ke universiti-universiti luar negara, tetapi mewarisi semua jenis kongkongan ini tanpa berfikir dengan kritis-rasional lagi. Dari luar kita melihat gadis berseluar ketat atau lelaki menggayakan fesyen terbaru Barat – kononnya itu rugged atau kontemporari – tetapi jiwa serta mindanya kampungan, tidak kosmopolitan!
Semua bentuk kemasukan unsur asing ditapis sebegitu rupa akibat kuatnya hegemoni tafsiran budaya-agama ala Umno, dengan akta-aktanya yang keras mengekang, dan kemudian keburukan ini dihalalkan pula oleh PAS atau gerakan dakwah. Dari sudut inilah, kedua-dua puak Melayu tersebut nyata berkonspirasi untuk mengawal kita semua, bukan membebaskan atau menawarkan pilihan (alternatif) hidup.
Gerakan Reformasi – walau ketika muncul begitu rencam dan merayakan kejamakan (pluralism) – tetapi rupa-rupanya pengikut gerakan ini pula lari kepada PAS. Umumnya, menyokong parti Islam kelihatan suatu pilihan politik yang praktikal tetapi jelas sekali terperosok dalam gejala konservatisme PAS kemudiannya.
Barisan Alternatif dan golongan profesional (sejenis produk pendidikan BN juga!) gagal melanjutkan agenda-agenda awal Gerakan Reformasi tentang hak asasi dan demokrasi, tetapi yang terdengar meraung-raung sekarang adalah persoalan "hudud", "kod etika pakaian" di Terengganu, "dokumen negara Islam" dan "pengasingan jantina di kaunter".
Isu-isu kebebasan akhbar, ruang awam (public sphere), kebebasan individu, kebebasan kreatif (seni budaya) atau kebebasan maklumat, menjadi agenda serpihan yang tidak dibahaskan serta dikempenkan sungguh-sungguh. Malah, ia tidak difahami oleh kita semua. Isu-isu penting ini terpaksa merayu-rayu simpati massa walau di kalangan penentang kongkongan politik BN.
PAS bersama gerakan dakwah fundamentalisme seperti Abim atau Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) hanya ghairah melayan agenda agama mereka sahaja, selain menempatkan puak masing-masing dalam percaturan politik sesama mereka.
Menyelamatkan diri
Puak liberal-progresif (atau sebut sahaja "aliran profesional" atau berpendidikan bukan agama) dalam PAS selalu diam dan terpaksa tunduk demi menyelamatkan diri. Struktur parti Islam pula – melalui pembentukan Majlis Syura atau Dewan Ulama – dan budaya kampungannya menjadikan parti ini tidak subur untuk kelahiran aliran liberal-progresif sebagai satu daya penentang kerajaan.
Gerakan Reformasi hakikatnya telah ditikam dari belakang oleh puak-puak Islam dominan ini (satu-satunya saluran ekspresi kritis politik orang Melayu setelah gering "aliran kiri" atau "liberal"). Akhirnya proses reformasi total yang diperlukan oleh bangsa dan negara terbantut. Khususnya reformasi untuk membuang daki-daki kongkongan feudalisme dan konservatisme Umno-BN.
Sementara parti pembangkang kedua Melayu, misalnya Parti Semangat 46 atau Parti Keadilan Nasional, sangat daif dan tidak dapat bertahan lebih daripada dua kali pilihanraya umum.
Sebab itu, saya selalu berhujah, politik kita sering mengenai perebutan kuasa tetapi kontang idea dan wacana pembebasan yang tulen. Orang ramai hanya alat dalam percaturan kuasa ini, bukan rakan kongsi aktif untuk kebebasan kita bersama.
Berlandaskan senario yang dihuraikan, "kelompok liberal Melayu" harus menjadi agenda besar dalam Gerakan Reformasi. Tetapi perkataan "liberal" di sini sering mengelirukan, lebih sukar memahami perkataan ini daripada istilah-istilah "sosialis" atau "anti-hadis".
Bagi kelompok agama konservatif, liberal itu membawa maksud tersirat "maksiat". Bagi anak muda, liberal itu boleh bergaul bebas (khususnya antara jantina) atau melayan naluri rendah. Ia juga dikaitkan dengan sikap terbuka atau bertolak ansur dengan kepelbagaian watak, gaya dan anutan hidup.
Tetapi tidak pernah liberal itu dikaitkan dengan konsep dan wawasan asal "liberalisme" seperti pertama-tama kali muncul di Sepanyol pada 1810-13 atau sepanjang abad ke-19 melalui tokoh-tokoh popularnya, John Stuart Mill atau Alexis de Tocqueville.
(Nota: Ide ini pada awalnya mewarisi kelemahan-kelemahan sosio-politik masyarakat Eropah dan Amerika Syarikat).
Kongkongan
Agama atau seni juga cuba dibuang makna politik, bukan hanya istilah "liberal". Apatah lagi jika penuturnya seorang yang jahil politik. Tetapi kelompok agama, sejak merebak faham fundamentalisme, berjaya mempolitikkan Islam. Maka muncullah PAS, JIM atau Abim.
Tetapi aliran liberal, atau kelompok seni, belum mengungkapkan keterkaitannya dengan politik. Khususnya politik hak asasi dan demokrasi tanpa terperangkap di bawah panji-panji sedia ada, PAS atau Umno.
Jika liberal yang disebarkan tanpa nilai politik kritis, tanpa usaha membongkar kongkongan konservatisme dan feudalisme sedia ada, maka liberalisme ini akan mengukuhkan lagi BN. Peranan beberapa pihak – misalnya Karim Raslan atau Sisters in Islam (SIS) – dilihat mewakili liberalisme jenis ini, iaitu tidak berani mencabar kejahatan politik BN.
Sesekali mereka menyengat fundamentalisme PAS atau Persatuan Ulama Malaysia (PUM) tetapi membisu pula terhadap pencabulan hak asasi di tangan BN. Mereka layak sahaja digelar aliran "neo-feudalisme" – jiwa rela untuk mendaulatkan pihak berkuasa.
Oleh itu, boleh dikatakan, belum terbentuk sosok atau watak "Melayu liberal" yang dimaksudkan. Tetapi latar yang dihuraikan tadi tentunya mudah dimengerti oleh orang Melayu yang terbuka, berpendidikan tinggi dan sedar diri. Hanya Melayu liberal dapat melanjutkan reformasi bangsa.
Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (26 Januari 2004). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com
No comments:
Post a Comment