Tuesday, January 27, 2004

Akhirnya filem Rabun ditayangkan

Malam minggu yang lalu, TV3 menerusi slot Cerekerama telah menayangkan filem sulung arahan Yasmin Ahmad yang bertajuk Rabun. Filem ini amat dinanti-nantikan tayangannya oleh peminat-peminat filem di negara ini yang tidak berkesempatan untuk menontonnya pada beberapa tayangan terhad sebelum ini.

Walaubagaimanapun, dua adegan yang boleh dianggap penting di dalam filem ini telah dipotong iaitu di ketika Pak Atan dan Mak Inom mandi bersama-sama di tepi perigi dan juga adegan Cik Nor memperlihatkan kegersangannya ketika memeluk bantal.

Filem ini telah mendapat sambutan yang hangat semasa ditayangkan di Festival Filem Singapura 2003 dan Cinemaya New Delhi serta memenangi anugerah Best ASEAN Film (jangka masa melebihi 60 minit) di Malaysian Video Awards 2003. Filem ini juga telah menyertai Festival Filem Torino ke 21 dan telah bertanding di bawah kategori filem antarabangsa.

Dan ketika filem ini mula-mula ditayangkan di Malaysia iaitu di Institut HELP pada Mei tahun lepas, ia telah mula mendapat publisiti yang meluas di dalam media seperti di Utusan Malaysia, Berita Harian, Kakiseni dan sebagainya.

Diharap pihak Grand Brilliance yang telah membeli filem ini dapat menerbitkannya di dalam bentuk vcd untuk dijadikan koleksi dan pastinya ramai yang sanggup untuk mendapatkan yang asli sahaja. Kepada Yasmin Ahmad, filem kedua anda jika ada amat dinanti-nantikan!

Ulasan Rabun oleh Zulhabri- 6 Mei
Ulasan Rabun oleh Sultan Muzaffar
Ulasan Rabun oleh Faisal Tehrani di Kakiseni
Ulasan Rabun oleh Fadz
Wawancara Nizam Zakaria dengan Yasmin Ahmad

No comments: