Thursday, January 15, 2004

Masyarakat maklumat tanpa wartawan? - Fathi Aris Omar

Sidang Kemuncak Sedunia Masyarakat Maklumat (WSIS) di Geneva sebulan lalu awal-awal lagi mengundang masalah.

Walau akhirnya perisytiharan tentang jaminan kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara, Perkara 19 Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia, dimasukkan tetapi sidang ini tidak sunyi daripada pertikaian, khususnya daripada kumpulan wartawan sedunia.

Matlamat rasmi sidang kemuncak ini memang untuk "merapatkan jurang digital" antara negara kaya dengan negara miskin seperti telah dihebah-hebahkan selama ini.

Tetapi forum WSIS ini nampaknya lebih ghairah menekankan aspek teknikal, ekonomi dan pelaburan sebagai alat untuk merapatkan jurang ini, banyak isu yang berkaitan perlindungan kepada wartawan dan kebebasan akhbar sengaja dibiarkan terabai.

Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) di Paris mempertikaikan perwakilan kumpulan media yang terbatas. Kerajaan-kerajaan yang bertindak keras terhadap wartawan tidak berminat membincang isu-isu kebebasan akhbar dengan organisasi-organisasi yang berkempen untuk kebebasan media, kata organisasi ini.

RSF dinafikan hak menyertai sidang kemuncak ini selepas menerima bantahan negara peserta, termasuk yang mencabul dengan serius kebebasan wartawan. RSF memang terkenal agresif dan konsisten dalam kempen kebebasan akhbarnya, termasuk pencabulan di negara kita.

Persekutuan Wartawan Switzerland (SFJ) sendiri mempertikaikan sidang kemuncak ini kerana didakwa tidak serius membincangkan isu kebebasan bersuara, termasuk media.

Terpinggir

Kerajaan-kerajaan sama ada negara maju atau sedang membangun lebih sibuk membincang pasal teknologi maklumat, bukan isi kandungannya, kritik jurucakapnya Michel Bührer.

Malah, kedudukan media, wartawan dan kumpulan pelobi kebebasan akhbar hampir-hampir terpinggir, khususnya WSIS (walaupun ditaja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Sebab itu, kumpulan wartawan menuduh pentas WSIS nampaknya lebih sesuai untuk jurutera, bukan wartawan. Mereka mendakwa lagi, konsep "masyarakat maklumat" dalam WSIS itu sendiri masih lagi kabur.

Sidang lain yang diatur selari sempena WSIS terpaksa diadakan dengan nama Forum Sedunia Media Elektronik (WEMF). Ia diadakan oleh organisasi-organisasi besar pelobi kebebasan akhbar di peringkat antarabangsa.

Menurut pengarah eksekutifnya Guillaume Chenevière, kerajaan-kerajaan yang menyertai sidang kemuncak WSIS ingin meminggirkan suara wartawan dan orang media.

"Mereka (penganjur WSIS) tidak ingin mempertimbangkan penyertaan kumpulan wartawan dalam masyarakat maklumat kerana mungkin sebahagian besar mereka media boleh menjadi jurucakap kerajaan masing-masing," kata Cheneviere.

"Atau, mereka sendiri akan berdepan dengan masalah jika media benar-benar bebas."

Tertunggak

WSIS memang menyediakan ruang untuk badan bukan kerajaan (NGO), termasuk kumpulan media. Tetapi kerana masih banyak isu tertunggak dalam debat masyarakat maklumat melibatkan media tetapi gagal dibahaskan dengan baik oleh komuniti antarabangsa, kumpulan-kumpulan media mahu pentas yang berasingan dan lebih penting.

Rangkaian kumpulan wartawan, IFEX (International Freedom of Expression Exchange), telah memuatkan lima rencana berhubung isu-isu penting ini daripada kumpulan besar wartawan sedunia. Penyediaan artikel-artikel yang mengupas isu-isu media dengan mendalam dibantu oleh Unesco, sebuah agensi pendidikan, sains dan budaya PBB.

Antara tajuk rencananya, komuniti media dalam masyarakat maklumat, WSIS dan meruntuhkan halangan akses kepada Internet, dan kejamakan suara serta kepelbagaian dalam masyarakat maklumat. Semua rencana penting boleh diperolehi di laman web IFEX.

Terbatas

Sidang ini menjadi persoalan rumit dan kontroversi sejak beberapa bulan sebelum diadakan pada 10-12 Disember lalu. Selain penyertaan yang terbatas, kumpulan wartawan juga bimbang dengan deraf perisytiharan di akhir sidang ini. Mereka nampak sidang ini tidak serius untuk menegakkan isu-isu kebebasan akhbar dan keterbukaan maklumat.

Malah peristiwa 11 September juga menggalakkan penutupan saluran maklumat dan kebebasan bersuara di beberapa negara maju di Barat yang selama ini menghormati asas-asas ruang demokrasi. Trend ini sedang berkembang di negara-negara lain seperti India, Indonesia dan Malaysia.

Tetapi antara yang penting, selepas sidang di Geneva ini, sidang fasa kedua WSIS pada 2005 di Tunisia.

Banyak organisasi besar media menolak pencalonan negara itu, malah WAN, Persatuan Akhbar Inter-Amerika (IAPA), Institut Akhbar Antarabangsa (IPI) dan Jawatankuasa Kebebasan Akhbar Sedunia (WPFC) menggesa sidang kemuncak ini diadakan di negara lain kerana rekod pencabulan akhbar yang serius di Tunisia.

"Akhbar di Tunisia ditapis, wartawan-wartawan dipenjara bersama beratus-ratus lagi tahanan politik, pengendalian sidang kemuncak di negara ini akan diserahkan kepada seorang jeneral tentera yang didakwa mempunyai rekod mendera tahanan politik," kata kumpulan-kumpulan ini dalam satu kenyataan bersama yang menggelarkan diri mereka Jawatankuasa Penyelaras bagi Pertubuhan Kebebasan Akhbar.

Jika gagal diadakan di negara lain yang menghormati kebebasan akhbar, sidang kemuncak ini harus dibatalkan, tegas mereka..

Nampaknya di seluruh dunia wartawan, media dan kumpulan pelobi kebebasan media akhbar dalam keadaan semakin terpinggir. Dengan peristiwa 11 September dan "perang terhadap keganasan", juga monopoli syarikat-syarikat gergasi media, isu-isu kebebasan akhbar akan menjadi agenda yang tidak boleh diabaikan oleh kita. Kita harus bergerak lebih serius menjelang sambutan Hari Kebebasan Akhbar pada 3 Mei depan.

Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (12 Januari 2004). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com

No comments: