Mat motor, lumba haram dan litar
Isu mat motor atau mat rempit dengan gejala lumba haramnya kembali timbul di media sejak akhir-akhir ini. Ia bermula daripada penyiaran visual kelakuan kurang ajar mat rempit terhadap pihak polis di malam sambutan tahun baru di dalam Edisi Siasat baru-baru ini.
Sehingga kini, isu ini masih diperdebatkan dan pelbagai saranan telah dikemukakan oleh beberapa pihak untuk menangani gejala ini. Ini termasuklah idea membakar motorsikal yang dikemukakan oleh Majlis Belia Malaysia dan yang terbaru oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, melarang penggunaan motorsikal di beberapa kawasan utama di ibu negara.
Kedua-dua saranan yang tersebut kelihatan sangat simplistik dan tahap kejayaannya amat diragui. Dirasakan adalah perlu untuk pihak-pihak berwajib serta yang berkaitan untuk membuat kajian secara mendalam untuk melihat cara bagaimanakah gejala ini dapat dihapus atau sekurang-kurangnya diminimakan.
Antara langkah awal dan yang amat penting sekali yang boleh dilakukan oleh pihak polis adalah dengan membuat operasi besar-besaran sekerap yang mungkin terutama di hari-hari yang biasanya perlumbaan diadakan. Dirasakan hanya melalui cara ini sahajalah, gejala ini dapat dikurangkan di dalam masa yang singkat. Ini kerana tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan mat-mat motor ini sangat takut kepada pihak polis dan jikalau kelihatan berani sekalipun, ianya pasti ada tujuan tertentu
Walaupun begitu, diharap anggota polis yang bertugas di waktu tersebut dapat bersikap profesional dan tidak mengambil kesempatan daripada ketakutan golongan ini dengan menyalahgunakan kuasa serta mencabuli hak asasi mat motor dan juga penonton perlumbaan.
Kerisauan ini bertambah apabila pihak polis di Pulau Pinang ada menyatakan kesediannya menggunakan FRU untuk menyuraikan penonton yang menyaksikan perlumbaan haram jikalau bilangannya melebihi ribuan orang. Itu baru penonton, bukannya pelumba dan tambah merisaukan adalah tentang kejahilan mat motor tentang hak-haknya sebagai seorang tahanan jikalau ditahan.
Walau apapun jalan penyelesaiannya, gejala lumba haram di kalangan mat motor perlu diberi perhatian serius kerana ianya adalah isu negara dan mempunyai implikasi sosial yang pelbagai yang akan diulas kemudian.
Namun begitu, adalah tidak adil jika di dalam usaha membanteras gejala lumba haram ini, alternatif-alternatif lain untuk kaki-kaki lumba tidak disediakan. Sudah tiba masanya untuk kerajaan pusat dan juga negeri serta pihak-pihak yang prihatin mengambil daya usaha untuk membina lebih banyak litar perlumbaan dan jika mengizinkan, satu daerah satu litar.
Litar yang dibina tidaklah perlu begitu hebat seperti Litar Sepang, memadai dengan trek sepanjang 1-2km, bangunan pejabat, kemudahan pit yang ringkas serta kemudahan-kemudahan asas yang lain. Apa yang penting adalah ianya selamat, memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, mudah dikunjungi, aktif dengan acara-acara dan ditadbir oleh pencinta motorsikal yang sebenar dan turut mahir dalam bidang pengurusan.
Sebelum ini, beberapa kerajaan negeri seperti Perlis dan Kelantan ada berjanji untuk membina litar perlumbaan di negeri masing-masing dan ini adalah sesuatu yang memang patut dilakukan walaupun sehingga kini tidak dapat dipastikan adakah ianya sudah berjalan atau tidak.
Adalah penting untuk kembali kepada akar umbi kerana kebanyakan mat motor dan peminat motor di Malaysia adalah golongan yang berpendapatan rendah. Tiada guna membuat dasar pemotoran dan entah apa lagi jikalau mat-mat motor dan peminat-peminat motor ini dikesampingkan.
Artikel Mat Motor dan implikasi sosial akan menyusul kemudian
= Mat motor dan pengguna motorsikal adalah dua golongan yang berlainan
= Mat motor yang dimaksudkan di sini adalah yang suka menunjuk-nunjuk, cabar-mencabar, berlumba haram, meminda undang-undang sendiri, mengayat minah bohsia, berjudi dan sebagainya.
=Peminat motor adalah golongan yang meminati dan obses dengan motorsikal dan juga perlumbaan motorsikal
No comments:
Post a Comment