Ulasan teater Anak Kerbau Mati Emak oleh Nizam Zakaria
Menonton sebuah karya yang tidak lagi relevan pada suasana zaman sekarang bukan satu perkara yang mudah. Itulah yang berlaku kepada saya tatkala pergi menonton drama Anak Kerbau Mati Emak pada hari Jumaat yang baru lepas. Saya rasa sukar untuk menelaah drama yang telah dihasilkan pada tahun 1972 oleh Malina Manja ini. Kadangkala saya rasa untuk keluar sahaja dari tempat duduk saya dari terus menonton, kerana rasa sara seperti terseksa menonton persembahan ini.
Perlu saya nyatakan di sini terlebih dahulu bahawa lakonan para pelakon memang cemerlang, walaupun saya rasa lakonan Atie "Akademi Fantasia", (atau nama sebenarnya, Suriati Abu Bakar) kadangkala perlu (dan masih boleh) diperbaiki lagi.
Anak Kerbau Mati Emak memfokuskan kepada cerita Kulup (Zaidi Omar) yang bertunang dengan Jamiah, (Atie) tetapi kerana terlalu sibuk dengan hal ehwal pembangunan (baca: pertanian) beliau melupakan Atie, lantas membuat Atie mempersoalkan kembali hubungannya dengan Kulup.
Dalam drama ini ada diperkatakan tentang kisah masyarakat kampung, pertanian, kerja-kerja petani untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka serta kerja-kerja mereka menyokong rancangan-rancangan kerajaan untuk pembangunan desa.
Saya rasa, drama ini sudah cukup baik jika aspek saya sebutkan di atas ditumpukan lantas dibangunkan. Tetapi drama ini dipenuhi dengan cerita-cerita yang lebih remeh seperti kisah Tawil (Ebby Yus) yang disodok kerbau dan Kamarul (Harun Salim Bachik) yang meminta ganti rugi dari Pak Mohsein (Jalil Hamid) kerana hasil kebunnya dimusnahkan oleh anak kerbau yang dikatakan kepunyaan Pak Mohsein.
Bagi saya, kelemahan drama ini terletak kepada teksnya. Saya mungkin boleh menerima jika teks yang ditulis agak relevan lebih 30 tahun yang lepas, tetapi sekarang, drama ini boleh dikatakan sudah lapuk ditelan zaman. Yang mungkin masih hidup adalah tema universal tentang hubungan kekeluargaan serta cinta Jamiah dan Kulup (yang entah mengapa, tidak diberatkan).
Drama ini menjadi semakin membosankan bagi saya kerana terdapat banyak unsur-unsur mahu berkhutbah tentang pembangunan desa dan tanah. Seperti yang saya katakan, perkara ini mungkin relevan jika drama ini dipentaskan untuk rakyat jelata di kawasan-kawasan Felda pada awal 70-an dahulu. Tetapi apabila dipentaskan di Istana Budaya, terasa agak pelik dan janggal.
Keadaan tidak membantu untuk saya memahami dengan lebih dekat drama yang seolah-olah dibuat untuk penonton televisyen ini, (ala-ala episod Drama Minggu Ini) dipenuhi oleh slapstik Tawil yang pada mulanya boleh diterima, tetapi lama-kelamaan memualkan malah, mengganggu konsentrasi saya menonton. Dan para penonton pula, ketawa dan terus ketawa, walaupun ada kalanya, mereka tidak perlu ketawa kerana adegan yang dipersembahkan agak serius dan berat. Saya tidak tahu mengapa penonton ketawa dalam babak-babak yang agak serius ini. Mungkin mereka menganggap apa yang mereka tonton bersifat kelakar seram...
Keadaan Atie dan Zaidi yang melakonkan watak sepasang kekasih Jamiah dan Kulup nampak seperti bapak dan anak di atas pentas. Satu pengalaman menonton yang agak pelik bagi saya. Dan perkara ini membuatkan saya banyak kali tertanya-tanya: "dah tak cukup pelakon muda lagi di Malaysia ke?"
Persoalan emansipasi Jamiah dalam drama ini tidak dileraikan dengan baik. Saya cukup kecewa apabila perkara ini tidak diterokai, tetapi dialog perbincangan mengenai kerbau pula seperti dalam satu sesi maraton tanpa henti (like I care!). Seperkara lagi yang tidak dibawa berbincang dan diselesaikan adalah sikap bapa Jamiah yang menganiaya anaknya sendiri dengan memukulnya. Mungkin ada sebilangan penonton menganggap perkara ini perkara kecil, tetapi bagi saya ini perkara besar. Dan perkara-perkara besar seperti inilah yang boleh dijadikan tema besar oleh pengarahnya, Mior Hashim Manap.
Saya kurang pasti apa silap Mior tatkala mengarahkan Kerbau. Mungkin bukan silapnya kerana arahannya untuk pementasannya ini boleh saya kira bagus. Beliau jelas telah melakukan yang terbaik walaupun ada banyak yang boleh diperbaiki lagi. Sebagai contoh, beliau telah menitikberatkan soal slapstik dan komedi sehingga tema asal drama ini lari sedikit. Kerbau bagi saya adalah sebuah karya yang bernada serius, tetapi dianggap komedi oleh sesetengah penonton. Mungkin Mior ingin menepati kemahuan penonton yang rata-ratanya lebih senang menonton karya komedi dari karya serius.
Tatkala menonton Kerbau, saya rasa seperti menonton rakaman rancangan drama TV ala Senario dari menonton sebuah pementasan teater. Mungkin teater Melayu bergerak ke arah ini untuk mengaburkan sempadan teater dengan TV dan filem. Tetapi bagi saya, teater tetap teater dan tidak lebih dari itu.
Saya fikir, ada baiknya jika naskhah-naskhah lama seperti ini diberikan nafas baru agar lebih senang diterima oleh peminat-peminat teater seperti saya. Suasana 70-an mungkin boleh diserasikan dengan keadaan zaman sekarang. Saya rasa tak salah jika kita tonjolkan watak Kulup sebagai pemuda yang berusaha dalam sektor pertanian dalam era siber ini.
Saya kurang faham juga mengapa drama ini perlu dipentaskan semula dan dipentaskan pula di Istana Budaya. Fikir saya, Kerbau Mati Emak lebih elok dipentaskan di Matic atau di panggung yang lebih kecil. Lebih baik rasanya, dipentaskan drama-drama yang lebih menarik dari era 70-an seperti drama futuristik Desaria oleh Syed Alwi ataupun Tiang Seri Tegak Berlima oleh Noordin Hassan yang dikatakan melakukan penentangan terhadap drama moden. Saya semahu-mahunya melihat drama-drama seperti ini dipentaskan semula mengikut interpretasi pengarah muda kita...
Rating: C-
No comments:
Post a Comment