Azam baru Zam, membodohkan rakyat Malaysia
Memasuki tahun baru 2004 ini, ia akan menandakan bermulanya satu episod yang amat mengerikan di mana kempen-kempen dan propaganda-propaganda awal sebelum berlangsungnya pilihanraya umum diadakan akan kerap menjadi bualan dan tatapan umum.
Ini akan bertambah ketara di media arus perdana yang kelihatan jelas memihak dan bersikap sebagai alat propaganda terhormat. Media arus perdana ini adalah seperti TV3, Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star dan sebagainya. RTM sebagai media rasmi kerajaan terkecuali kerana fungsinya sedikit berbeza.
Oleh kerana itulah, kenyataan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin atau lebih dikenali sebagai Zam bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan segmen `Wajah Sebuah Parti' bermula 5 Januari ini untuk mendedahkan kepada rakyat sikap serta tingkah lalu pemimpin-pemimpin Pas yang gemar mencaci dan menghina orang lain tidaklah menghairankan.
Pendekatan seperti ini diyakini akan menikam diri sendiri seperti mana yang telah dibuktikan pada program terdahulu. Walaupun ia tidak menghairankan, namun kehairanan yang lain akan muncul di dalam fikiran tentang manusia bernama Zam ini. Sukar ditelah cara berfikir zaman apa yang diguna pakai di dalam kehidupannya sebagai seorang wartawan dan politikus.
Amat sedih jika keadaan seperti ini berterusan dan telah berkali-kali penegasan dibuat bahawa bahana atau keburukan terbesar akan menimpa ke atas rakyat yang sudah sedia ada bodoh dan sempit. Golongan masyarakat yang sudah terbuka dan rasional yang tidak kira di mana tempat tinggal dan tahap kehidupannya pastinya tidak akan terjejas.
Ini bukanlah sangat soal parti mana yang betul dan salah kerana tidak dapat dinafikan terdapat sebahagian isi kandungan ceramah-ceramah PAS ini agak melampau dan tidak rasional. Namun bagaimana pula dengan isi kandungan ceramah yang dianjurkan oleh Biro Tata Negara yang amat jelas menghasut kaum Melayu untuk membenci kaum Cina?
Ini adalah soal pemikiran yang menjadi salah satu ciri penting untuk memajukan negara lebih maju ke hadapan di samping untuk memenuhi sasaran Malaysia negara maju pada tahun 2020. Tidak hairanlah mengapa terdapatnya begitu ramai golongan muda mudi di negara ini yang lemah daya fikirannya baik yang berada di pihak BN, pembangkang, non-partisan, apathy dan sebagainya.
Dan isi kandungan ceramah-ceramah PAS yang juga membodohkan itu juga terkadang perlu dilihat konteksnya secara menyeluruh iaitu di kala ruang demokrasi disempit-sempitkan dengan pelbagai undang-undang, sekatan dan kawalan media. Menjadi masalah juga apabila ucapan sesuatu pemimpin itu diambil sedikit-sedikit dan tidak melihat keseluruhan ucapan untuk dinilai dalam konteks apakah sesuatu perkataan itu disebut.
Walau apapun, kedatangan tahun 2004 ini telah dicemari oleh suatu lagi budaya kuning dan juga budaya gangsterisme di mana tiada ruang yang diberikan untuk pihak lawan berlawan secara adil dan saksama.
Zam's New Year gift
No comments:
Post a Comment