Urbanscapes 2004 dan dilema seni Malaysia
Mulai pukul 3 petang esok bertempat di KL Sentral, satu festival seni yang dipanggil KLue Urbanscapes 2004 akan diadakan. Festival ini akan menampilkan begitu ramai personaliti yang terdiri daripada penyanyi, band, pelukis, dj, jurugambar, pengarah filem dan ramai lagi.
Festival ini bolehlah dianggap sebagai lawan Karnival Sureheboh yang dikatakan mendapat sambutan meluas sehinggakan jumlah yang hadir dikatakan sebanyak 300,000 walaupun terdapat media lain yang melaporkan hanya sebanyak 100,000. Entahlah, suatu lagi pembodohan angka masyarakat Malaysia yang tiada kesudahannya.
Bukanlah niat untuk memperlekehkan Karnival Sureheboh disebabkan medium perantaraan yang digunakan adalah Bahasa Malaysia. Apa yang mendukacitakan adalah konsep dan perjalanan acara tersebut yang hiburan kosong semata.
Kebelakangan ini, acara-acara hiburan dan segala yang bersifat seni dilihat telah kelihatan begitu fragmentasinya dan ini bertambah nyata dengan kewujudan stesen Channel 9 dan 8tv. Jelas konsep pemasaran segmen telah diaplikasikan di dalam bidang seni dan sama ada ia sangat baik kepada negara atau tidak, ia harus diperdebatkan.
Terlalu banyak persoalan yang perlu dirungkaikan yang diantaranya adalah kewujudan dua aktiviti kesenian utama yang berbeza latar bahasanya, yang satunya Malaysia dan yang satu lagi English. Ini dimanifestasikan dengan ikon-ikon seperti Istana Budaya, MTC, The Actors Studio di dalam aktiviti teater, Yusof Haslam dan Amir Muhammad di dalam seni filem, muzik arus perdana dengan muzik independen dan lain-lain lagi.
Bukan itu sahaja, di dalam persembahan yang mengguna pakai medium BM juga didapati wujudnya segmentasi walaupun ia masih tidak meluas. Ini dapat dilihat menerusi acara-acara seperti APUKe dan Acara Baca Puisi Pena, Projek Suitcase dan teater Melayu yang sering dipentaskan di MTC.
Sama ada kepelbagaian ini harus diraikan dan disambut dengan tangisan kegembiraan, jawapannya teletak di tangan diri sendiri. Bagi aku, selagi mana ianya tidak mengandungi elemen pembodohan, hiburan kosong melalai, propaganda parti melampau dan segala macam yang dirasakan sampah, ia harus diterima dan dihargai.
Sama ada ianya bersifat arus perdana atau independen, berbahasa Malaysia atau English dan juga sama ada penonton yang hadir bertudung atau tidak, ia bukanlah satu dilema besar jika ia berkualiti dan membangunkan fikiran. Platform mana yang dijunjung dirasakan tidak penting.
Yang pastinya kehadiran Urbanscapes yang dibuat pada skala besar kali ini amatlah ditunggu-tunggu kerana kepelbagaian asli yang terlihat di sini dirasakan masih sukar didapati di tempat lain. Bayangkanlah contoh BM-BI seperti Pete Teo dan Meor, OAG dan Butterfingers serta James Lee dan Namron.
Persoalan selepas ini, bilakah majalah seperti KLUe di dalam bahasa Malaysia akan wujud dan acara seumpama Urbanscapes diadakan serta adanya buku program di dalam BM. Mengharapkan dunia seni berbahasa Malaysia sekarang melangkah ke arah ini bagaikan satu mimpi.
Terkadang wujud kerungsingan tidakkah segementasi yang melebar ini akan mewujudkan jurang yang begitu luas di kalangan pelbagai kelompok masyarakat. Atau adakah Urbanscapes ini hanya ingin mengisi ruang niche beberapa golongan masyarakat sahaja? dan jika ia benar, teramatlah kecewalah aku. Acara seperti ini harus diarus perdanakan walaupun persoalan bahasa nanti akan menimbulkan perdebatan dan aku amat terbuka tentang hal ini kerana agenda utama adalah menobatkan seni yang membangun fikiran rakyat Malaysia.
Apapun syabas kepada KLUe dan 8TV!
Klik Urbanscapes 2004
No comments:
Post a Comment