Filem, Aktres Korea dan Malaysia
Industri filem Korea yang semakin maju dan jauh meninggalkan negara kita seperti mana yang berlaku kepada pasukan bola sepak nampaknya sudah mampu bertapak di negara ini. Di mana sahaja kedai cd yang kita kunjungi, si penjual pastinya tidak akan lupa untuk memperagakan sama filem-filem dari Korea.
Jika dahulu, kita hanya diberi pilihan untuk membeli dan menonton filem-filem dari Hollywood, Bollywood dan Hong Kong sahaja. Namun kini, pilihan yang terbentang semakin pelbagai yang terkadang secara tidak langsung boleh mengempiskan kocek.
Selain filem Korea, filem-filem dari negara jiran kita iaitu Thailand juga semakin mula diminati dan diterima ramai. Drama bersiri dari Thailand seperti Untukmu dan E-Pring yang ditayangkan di Astro Prima juga telah berjaya menarik dan mengumpul khalayak.
Pada mata kasar, kelihatan modus operandi yang digunakan untuk memancing penonton menonton filem Thailand adalah sama seperti yang diguna pakai negara Korea melalui Winter Sonata. Sama ada ia dirancang sebegitu rupa atau tidak, itu tidak pasti.
Jika di KL, tiada tempat selain kedai-kedai vcd di bawah tanah S&M Arcade yang dapat menandingi harga dan kepelbagaian pilihan yang ada di sini. Harga yang ditawarkan di sini amat murah dan jika anda seorang pelanggan yang setia, harga yang sedia ada murah itu akan bertambah murah lagi, cheap gets cheaper seperti Tesco.
Sebagai contoh, jika anda membeli vcd drama Summer Scent yang bersarikata BM di kedai-kedai cd utama seperti Tower Records, Speedy dan Music Valley, harga yang perlu dibayar pembeli adalah sebanyak RM159.90. Manakala di sini, pembeli hanya perlu membayar sebanyak RM99.90 bagi produk yang sama.
Jadi, jika ingin mendapatkan vcd-vcd filem Korea yang terbaru dan juga yang lama, sila berkunjung ke tempat ini dan anda pasti akan puas hati dengan pelbagai pilihan yang terbentang di depan mata. Tapi awas, sila jangkakan satu layanan pembantu jualan yang membosankan, tidak komited, kurang pengetahuan tentang produk dan tidak mesra.
Berbalik kepada filem Korea, apa yang menakjubkan tentang industri filem Korea ini adalah tentang barisan pelakonnya yang begitu ramai sehinggakan sukar untuk mengingat setiap seorang pelakon yang membintangi sesuatu filem. Ini sama sekali berbeza dengan senario yang berlaku di sini di mana setiap kali filem ditayangkan, muka dan nama yang sama sahaja tertera, Erra, Apek, Rosyam......macamlah sudah tiada pelakon lain di negara ini.
Satu sindrom yang dapat dihidu di sini ialah menjadi budaya kepada pelakon yang sedang dan sudah popular untuk mengaut segala tawaran yang datang tanpa memikirkan mutu dan skrip dengan bersandarkan alasan rigid orang Melayu, sudah rezeki.
Situasi ini berbeza di negara Korea yang walaupun menerbitkan puluhan filem setahun, sukar untuk melihat seseorang pelakon yang sama ada popular atau tidak berlakon lebih daripada dua filem setahun. Sebagai contoh, pelakon filem My Sassy Girl, Jeon Ji Hyun hanya membintangi lima buah filem sejak mula berlakon pada tahun 1999. Walaupun begitu, mungkin terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkan situasi di kedua-dua negara ini sama sekali berbeza yang masih belum dapat dirungkaikan oleh penggiat-penggiat dunia filem Melayu di negara ini.
Walau apapun, sesuatu harus dilakukan untuk mempelbagaikan wajah pelakon-pelakon utama filem Melayu Malaysia demi kebaikan semua. Mana perginya pelajar-pelajar lakonan dan pelakon-pelakon muda yang lain, tidak mencuba atau sudah mencuba lalu gagal kerana nilai komersial tidak setaraf Erra dan Rosyam. Kepada penerbit, tidakkah anda berminat untuk mencari pelakon yang ada nilai komersial dan juga nilai intelek yang baik?
Korean film report- 2004
Korean film report- 2003
Films Released in 2003
Actors and Actresses of Korean Cinema
No comments:
Post a Comment