Menjelang 100 hari Pak Lah sebagai PM
Tanggal 8 hari bulan Februari ini, genaplah 100 hari pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia. Mengikut kata penganalisis politik, tempoh ini adalah suatu jangka masa yang amat penting di dalam memastikan kelangsungan dan daya kepimpinan seseorang pemimpin.
Kepada yang berjaya pastilah lega dan akan lebih mudah baginya untuk mencatur permainan seterusnya, namun bagi yang gagal, ianya pasti merungsingkan. Dan mengikut penilaian ini, Pak Lah dirasakan berada di kategori yang pertama dan pastinya andaian atau persepsi ini dapat dirasakan jika kita rajin membaca dan mendengar propaganda-propaganda di media-media arus perdana di negara ini.
Namun di sisi yang lain pula, ada yang merasakan Pak Lah telah gagal terutama di dalam beberapa perkara penting seperti isu ikat jamin Anwar, keganasan pihak polis terhadap aktiviti pembangkang dan juga penahanan berterusan terhadap tahanan ISA.
Walau apapun persepsi yang diberikan, aku amat bersetuju dengan pendapat kolumnis Malaysiakini, Aman Rais yang mengatakan adalah tidak adil untuk menilai kepimpinan seseorang PM hanya melalui selama 100 hari. Ini kerana tempoh 100 hari ini adalah suatu tempoh yang singkat dan segala macam retorik, mulut-mulut manis, idea, teori dsb
hanyalah merupakan agenda awalan Pak Lah sahaja.
Segala aksi atau implementasi hanya akan dapat digiatkan secara aktif selepas ini dan jika selepas tempoh enam bulan atau setahun masih tiada perbezaan seperti tiada dakwaan rasuah terhadap kes-kes besar seperti Perwaja, pencabulan hak asasi manusia dan kelembapan kakitangan awam tidak berubah, barulah kita boleh untuk menilai secara adil pemerintahan Pak Lah.
Namun begitu, harus diingat bahawa pemerintahan Pak Lah hanya berlangsung singkat kerana mandat yang ada hanya tinggal beberapa bulan sahaja. Oleh sebab itulah terdapat banyak pihak yang membuat andaian bahawa segala agenda yang diwar-warkan oleh Pak Lah hanyalah sekadar retorik untuk menghadapi pilihanraya semata-mata.
Apa kesudahan yang akan berlaku kepada Pak Lah adalah sesuatu yang amat menarik untuk ditonton, adakah Pak Lah akan menjadi seperti B.J Habibie di Indonesia? Tunggu dan lihat!
Not yet out of Mahathir's shadow
No comments:
Post a Comment