Kuliah Cinta: Kebodohan Tiada Penghujungnya! oleh sultanmuzaffar
Mak punya wig lagik cluust dari wig fag hag kau nyah! Jangan marrah!
Saya memberikan harapan yang tinggi kepada industri filem Melayu pada tahun ini setelah menonton Trauma arahan Aziz M. Osman. Setelah menonton Kuliah Cinta harapan tersebut hancur namun belum serik untuk terus memberi sokongan kepada pembikin-pembikin filem Melayu.
Sinopsis
Kisah cinta mereka memang mudah untuk menjadi bahan sensasi. Bintang Popular di Berita Minggu melabelkan filem ini bukan kisah cinta monyet. Tetapi melihatkan adegan yang dipaparkan kehidupan mereka tidak ubah seperti haiwan dalam zoo. Filem yang ideanya diciplak dari filem Kuch Kuch Hota Hei dan Ali Setan ini tiada banyak bezanya dan tiada peningkatan dari segi arahan mahu pun lakonan.
Kisahnya mudah sahaja, kisah kehidupan pelajar universiti tempatan bila mana seorang lelaki yang tidak tahu meluahkan perasaan sebenarnya. Berkawan baik, mesra, gurau senda, minat, perasan, cemburu, kecewa, lari naik keretapi dan akhirnya bernikah di masjid. Bukankah modal ini lebih sesuai dijadikan drama televisyen daripada dibawa ke layar perak ?
Arahan
Kononnya filem ini merupakan sebuah komedi muzikal. Setahu saya, filem yang layak dikategorikan sebagai filem komedi muzikal adalah seperti Little Shop of Horror dan Chicago sekadar menyebut beberapa nama. Setiap 15 minit akan ada pelakon yang menyanyi ala Broadway. Tapi sayangnya filem ini hanya sekadar menggunakan genre itu sahaja tetapi tidak merealisirkannya di layar. Arahan beliau tidak banyak berubah ke arah kebaikan. Pengarah sewajarnya meneliti setiap aspek dalam arahannya untuk membuat sebuah filem yang berkualiti dan memberikan mesej-mesej yang baik kepada penonton. Ini tidak diperoleh dalam Kuliah Cinta. Watak tidak dikembangkan sebaiknya. Setengah watak tidak konsisten perwatakan mereka.
Ceritanya banyak diadaptasi dari filem Kuch Kuch Hota Hei dan Ali Setan. Antara adegan yang diciplak adalah adegan main "one two som", kemalangan yang dibuat-buat, wujudnya perwatakan orang Kedah serta cabar-mencabar dan lain-lain. Filem ini dihidangkan dengan terlalu banyak sub-plot pada satu masa dan suntingan yang tidak dibuat dengan baik telah mencacatkan filem ini.
Lakonan
Lakonan dari Erra sebagai Jojo jelas tidak dihayati sepenuhnya dengan baik. Lakonan dari Yusry juga jelas menunjukkan tiada keserasian beliau dengan Erra. Lebih mengecewakan lakonan Apek dan Yassin yang tidak menggambarkan realiti kampus. Lakonan mereka sekadar mewujudkan elemen humor dan slapstik. Watak Zahida Rafik sebagai seorang pelajar "terencat akal" yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti sesuatu yang boleh menjadi bahan lawak apabila saya tonton. Watak beliau dengan make-up tebal, spek tebal, rambut serabai serta ketawa macam kuda jelas tidak mencerminkan seorang pelajar universiti yang tahap intelektual mereka dipandang tinggi. Watak nerd jika mahu diwujudkan sekalipun biarlah berlaku adil terhadap watak tersebut. Bukan membodohkannya di atas layar. Karisma keseluruhan pelakon agak goyah dan mereka kelihatan tidak berjaya membawakan watak masing-masing. Watak mereka tidak dikembangkan dengan baik dan tidak diberi penerangan yang cukup akan satu-satu watak tersebut.
Realiti Yang Busuk
Adakah ini realiti pelajar IPTA? Saya yakin bukan begini, tetapi nampaknya Prof selaku pengarah seperti sengaja ingin memburuk-burukkan imej mereka. Realiti kehidupan pelajar di Universiti tidak digambarkan dengan sejujurnya. Secara jujur saya merasakan realiti kehidupan pelajar menengah di dalam Ada Apa Dengan Cinta dan Adik Manja telah dipaparkan secara lebih matang berbanding kehidupan pelajar universiti dalam Kuliah Cinta. Mereka sebagai pelajar universiti jelas nampak tidak matang. Watak dalam Kuliah Cinta telah dibadutkan oleh Pengarah.
Saya sendiri tidak faham kenapa terlalu banyak watak Tomboy dalam filem Melayu dan kemudiannya akan cuba di "femininkan" oleh watak lelaki tersebut (contoh yang terkini, Janji Diana dan Laila Isabella). Kenapa perlu ditundukkan watak wanita yang tegas dan kuat? Kenapa di dalam filem-filem barat, ada kecondongan untuk watak wanita tegas dan kuat (contohnya, Cold Mountain dan Mona Lisa Smile) tetapi di sini, watak wanita perlu ditundukkan lelaki, barulah boleh diterima.
Suatu perkara yang menarik tetapi telah ditiadakan di dalam memaparkan realiti kehidupan di Universiti adalah imej-imej universiti yang dipenuhi dengan pelajar wanita bertudung tetapi telah tidak digambarkan di dalam filem ini. Watak wanita bertudung hanya muncul dalam filem-filem Amir Muhammad (Lips to Lips dan The Big Durian - filem pertama Malaysia yang dipertandingkan di Sundance Film Festival).
Lebih memualkan apabila rujukan pelajar universiti tersebut di dalam dialog filem turut tersebut menyebut nama Prof Razak Mohaideen. Saya suka menggunakan istilah egomaniac untuk mentafsirkan tentang adegan tersebut. Saya akur sekiranya mereka menggunakan nama P.Ramlee, Akira Kurosawa dan Satyajit Ray sebagai bahan rujukan tetapi menggunakan nama sendiri di dalam filem arahan sendiri amat memualkan. Belum ada pengarah yang mengarah filem dan kemudian dalam masa yang sama memuji diri sendiri. Saya buat filem kemudian saya ulas filem saya sendiri. Logik ?
Prof. secara tidak langsung telah menidakkan intelektualtualiti penonton. Mengapa naratif filem Melayu perlu "bangang dan membangangkan"(sekadar meminjam istilah Faisal Tehrani)? Mengapa pembikin-pembikin filem sebegini boleh membuat andaian bahawa tahap pemikiran penonton masih cetek, lantas boleh diperkotak-katikkan mereka. Mereka (penonton) akan menilai setiap adegan dan filem pada mereka bukan sekadar hiburan tetapi yang mampu mendidik nilai-nilai yang baik kepada mereka.
Adegan akhir filem ini memperlihatkan adegan pernikahan Johana dan Faramy di sebuah masjid. Tetapi di mana logiknya adegan sebuah pernikahan tersebut tanpa kehadiran keluarga pihak perempuan. Johana bernikah tanpa wali yang ada hanyalah rakan-rakan beliau. Adakah Johana dan Faramy ditangkap khalwat dan pernikahan mereka hanya berwalikan hakim? Adakah ini yang mahu disampaikan oleh Prof melalui naratifnya? Saya sebagai orang Islam sedikit sebanyak tahu hukum agama Islam itu sendiri dan beliau sebagai cendekiawan filem bergelar Prof. dan beragama Islam sewajarnya meneliti perkara yang sebenarnya tidak kecil kesannya kepada para penonton.
Adakah ini yang penonton mahu? Ya! Filem ini Box Office di pasaran. Tetapi penonton yang bagaimana? Penonton yang ada otak untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk atau penonton yang ada otak tetapi tidak menggunakannya. Saya ada terdengar di dalam ERA, seorang pemanggil memberikan pendapatnya mengenai filem ini. Beliau memberikan 4.9/5 bintang kepada filem ini. Jika filem ini mendapat 4.9 bintang, bagaimana pula dengan Lord Of The Ring? 10/5 bintang ??
Kenapa filem ini tidak relevan pada masa sekarang? Filem sebegini hanya sesuai ditonton pada zaman sekarang sekiranya mesej yang ingin ditampilkan relevan pada masa kini. Kisah-kisah cinta mual, cemburu seakan sudah tidak relevan pada masa kini. Ali Setan dan Adik Manja jauh lebih baik dan matang dari Kuliah Cinta.
Namun demikian, beberapa adegan seperti menggunting rambut rakan pelajar, tiru-meniru antara pelajar, kegiatan ko-kurikulum, ragging dan kerisauan pelajar tahun akhir mendapatkan kekasih dipaparkan dengan baik. Jujur tetapi negatif.
Saya dapati filem-filem Prof. ini tidak menampakkan kemajuan, sedangkan saya sendiri telah melihat sedikit perubahan dalam filem-filem Yusof Haslam dan Aziz M Osman. Prof sedikitpun tidak mahu menunjukkan sebarang kesungguhan dalam membuat filem. Saya tidak merayu kepada beliau untuk membikin filem seni yang keluar masuk festival filem antarabangsa, hanya sekadar mahu menonton sebuah filem dari beliau yang tidak mengaibkan daya intelek saya sebagai penonton yang sanggup mengeluarkan wang untuk menonton. Perkara sekecil-kecil logik perlu dijaga dan diperhatikan. Sekiranya filem sebegini telah membuat kutipan yang tinggi di pasaran, secara tidak langsung memberi gambaran negatif kepada filem Melayu dan pembikin-pembikin filem generasi muda (anak-anak murid didikan beliau di UiTM) sudah pasti akan meneruskan tradisi yang telah dididik kepada mereka. Saya sebagai penonton hanya mahukan sebuah filem yang berkualiti dan pada masa yang sama, menghiburkan.
Filem ini hampir pasti akan ditayangkan sempena Hari Raya akan datang. Nasihat saya seboleh-bolehnya agar kemuliaan bulan Syawal tidak dikotorkan dengan najis sebusuk ini.
Rating: Kebodohan Tiada Penghujungnya!
No comments:
Post a Comment