Cik Siti lindungan bulan - Fathi Aris Omar
Kuseru saja Dia
Sehingga datang juga
Kami pun bermuka-muka
Seterusnya Ia bernyala-nyala dalam dada
Segala daya memadamkannya
Bersimpah peluh diri yang tak bisa diperkuda
Ini ruang
Gelanggang kami berperang
Binasa-membinasa
Satu menista lain gila
(Di Mesjid karya Chairil Anwar, Mei 1943)
PAS, sebuah parti fundamentalis agama, ada masalah dan tidak jujur. Di sini ‘sindrom PAS’ bermula. Antara isunya, parti Islam ini tidak berterus-terang tentang bagaimana model atau format budaya yang bakal terbentur di bawah pentadbirannya. PAS tidak menjelaskan sikapnya dalam menangani ‘gejala Siti Nurhaliza’.
Sebagai seorang penulis yang pernah terdidik dalam program dakwah fundamentalisme, saya boleh mengagak jawapan PAS dalam hal ini. Malah, sesiapa sahaja yang cermat menganalisis politik, boleh menghidunya.
Di Kelantan, wayang kulit diharamkan lebih 10 tahun tanpa jawapan intelektual yang konkrit, tiba-tiba dibenarkan kembali selepas menerima format baru yang dicadangkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Subteksnya, kenapa PAS juga berjiwa seperti Umno (dan Barisan Nasional), menggubal dasar-dasar awam tanpa perundingan dan gagal menggunakan akal yang tajam lagi bernas? Kenapa semua orang politik ghairah memperkudakan kuasa atau perundangan tanpa mengajak kita semua berhujah, berdebat dan menggunakan akal rasional-kritis terlebih dahulu?
Di Terengganu, bergema suara untuk memperkenalkan ‘kod etika berpakaian’, selain format beratur berlainan jantina di kaunter (meniru peraturan di Kelantan) dan kaedah baru menonton filem di pawagam.
Musabaqah al-Quran tidak boleh disertai wanita, kononnya atas alasan suara. Calon wanita (muslimat) akan dikaji untuk diperbolehkan setelah terdapat desakan tertinggi dari dalam parti sendiri, maksudnya disuarakan oleh pemimpin kanan Dewan Muslimat di muktamar tahunan PAS.
Persoalan pertama saya, kenapa PAS tidak nyatakan secara terbuka bahawa ia hendak ‘mengharamkan Siti Nurhaliza’? Siti harus memakai tudung dan berpakaian menutup aurat, suaranya (dan boleh jadi mukanya juga) boleh membawa ‘fitnah’, jika PAS menguasai negara ini. Siti harus menjadi Waheeda, dan Anuar Zain pula mesti menyarung kopiah Raihan?
Wacana bebas
Orang boleh berhujah, ini persoalan keutamaan memilih isu atau kebijaksanaan berpolitik. Sebagai aktivis media independen yang turut berkempen dalam senario politik yang sangat mengongkong, saya faham hujah ini.
Tetapi tersirat di sebaliknya, lambat laun parti Islam akan menggunakan naluri ‘sindrom PAS’ untuk menghapuskan ‘gejala Siti Nurhaliza’, cuma persoalan mencari strategi terbaik, masa yang sesuai dan kaedah yang (harap-harap) tidak menyebabkan kemarahan orang ramai.
Sekali lagi, subteksnya, kenapa semua orang politik cenderung mengongkong, gagal membuka wacana pembebasan, sedangkan persoalan rakyat hari ini, kami sudah cukup rimas dengan belenggu Umno-BN yang melumpuhkan dan merugikan bangsa serta negara.
PAS tidak bersyahwat mendepani isu-isu kebebasan, hak asasi dan budaya demokratik. Malah, ada bayangan ketakutan, untuk benar-benar tekal dalam hal ini. Ia lebih ghairah menunjuk-nunjukkan batinnya yang sudah dijangkiti ‘sindrom PAS’, penyakit suka mengawal orang ramai. Ulama kita, seluruh ummah sejak merebak wabak taklidisme, suka menutup minda, tidak tahan dikritik.
"The effects of despotism have become second nature to us. We are all individually dictator-like in our own ways, and this unfortunate condition is evident in all strata and spheres of our society," tulis presiden Iran Muhammad Khatami dalam Islam, Modernity and Development ketika membicarakan krisis pemikiran dan kebebasan masyarakatnya yang turut mewarisi kekangan bertubi-tubi sejak zaman Islam, raja-raja termasuk Shah Iran.
Gejala mengekang sedang membiak krisis politik di Iran, satu lagi model pentadbiran bercirikan agama, pertembungan konservatisme ulama dengan golongan reformasi yang mendesak kebebasan, demokrasi dan ‘peraturan permainan yang adil’. Sejak pertengahan 1990-an, Khatami sendiri bergelut untuk menjadi ‘pihak tengah’ di antara dua aliran ini di Iran sehingga dituduh seorang ahli teologi yang cuba menafsir agama lebih rasional dan serasi dengan demokrasi, tetapi berjaya meraikan kebekuan kelompok ulama konservatif.
Di negara kita, sindrom ini bukan persoalan baru. Sindrom ini warisan dasar-dasar mengekang Umno-BN, dasar penjajahan Inggeris dan amalan konsevatisme-feudalisme Melayu sejak beratus-ratus tahun.
Gejala diktator
Tidak dilupakan, warisan kesultanan Islam yang autokratik dan wabak taklidisme ummah. Ia semacam social conditioning yang tidak disedari, tetapi berulang-ulang dihayati, proses pembudayaan halus serta perlahan-lahan dalam masyarakat.
Ia berjaya membentuk jiwa (psyche) atau akal bawah sedar sehingga melimpah ke alam mimpi atau resah batin, tanpa dapat lagi diselami secara sepenuhnya rasional – jika kita gagal membongkar sejarah dan mengenali batu-batu tanda kesesatannya. Mungkin istilah ‘sindrom kebergantungan’ (dependency syndrome) atau ‘Stockholm syndrome’ termasuk dalam gejala penyakit yang sama.
PAS tidak ada ghairah, naluri atau batin tajdid dalam persoalan ini. Malah, saya tidak fikir PAS benar-benar sedar latar halus serta bermacam-macam kongkongan masyarakat kita. PAS hanya ‘perasan’ ia telah menyedarinya. Dengan semangat baru tetapi dengan landasan jiwa bangsa yang terkekang sekian lama, justeru itu, agama senang sekali dijadikan alat kongkongan pula.
Malah, parti Islam ini hanya melanjutkan penyakit yang sudah lama kita deritai – yang telah menetaskan makhluk seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, gejala kediktatorannya dan budaya politik kekangan.
Rakyat, termasuk pembangkangnya, betat memahami selok-belok belitan politik bekas perdana menteri. Cendekiawan pula, atau kaum terpelajarnya, masih lagi terpinga-pinga, tenggelam punca sampai sekarang.
Penyakit inilah yang menyebabkan PAS sendiri, dan rakan-rakan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) atau pengkritik kerajaan, gagal menyebarkan sudut pandang alternatif kepada masyarakat.
PAS, dan boleh dikatakan Barisan Alternatif umumnya, tidak cuba menyelesaikan permasalahan ini. Wacana tentang hak asasi atau kebebasan individu tidak pernah mendalam, tidak pernah serius dipecahkan. Ia tidak ubah sekadar ‘janji manis’ semata-mata.
Alternatif pembebasan
Kebebasan akhbar tidak pernah diangkat sebagai wacana tunjang dalam isu hak kebebasan bersuara. Cuma Anwar Ibrahim agak tekal mengulang-ulang idealisme ini. Sepanjang lima tahun mutakhir, sejak krisis 1998, isu kebebasan hanya untuk kepentingan BA sendiri. Apabila diri tersekat, mereka menjerit tetapi landasan adil untuk semua rakyat tidak diperjelaskan, budayanya tidak dihayati di dalam dan luar parti.
Memang benar ada (malah selalu) ucapan, kenyataan akhbar atau manifesto yang kononnya untuk ‘menyelesaikan’ atau ‘memberi alternatif pembebasan’ daripada kekangan ini. Tetapi pembudayaan bukannya teks di atas kertas atau getaran lidah di lelangit; budaya atau nilai adalah persoalan rangka fikir, naluri asas dan penghayatan hidup; soal pembatinan prinsip yang akhirnya mengalir secara alamiah melalui gerak hati, gelagat dan tindakan.
Lihatlah layanan PAS terhadap lidah pengarang Harakah edisi bahasa Inggeris, dalam isu kritikan terhadap ulama (awal 2002). Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan rakannya, Teras Pengupayaan Melayu (Teras), sibuk dengan sekumpulan penulis (termasuk Dr Farish A Noor, penulis kolum malaysiakini) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan konsert-filem, tidak jauh bezanya sikap Parti Keadilan Nasional terhadap akhbarnya Berita Keadilan (lewat 2002), semuanya menghayati budaya kekangan, tidak tahu berhujah dengan akal sihat.
‘Perkara idea’ yang kecil ditundukkan dengan kekerasan keputusan jama’i, kolektivisme yang merosakkan, membayangkan betapa angkuhnya kekuasaan atau kepimpinan organisasi. Sejenis tyranny of the majority. Gejala-gejala ini mengingatkan kita kepada pesan-pesan agung pemikir politik abad ke-19.
"The will of the people, moreover, practically means the will of the most numerous or the most active part of the people; the majority, or those who succeed in making themselves accepted as the majority; the people, consequently may desire to oppress a part of their number; and as much needed against this as against any other abuse of power," pesan John Stuart Mill di awal mukadimah On Liberty.
Sikap dan budaya yang sama dihayati oleh beberapa mufti dan majlis agama Islam negeri terhadap penulis kolum Mingguan Malaysia atau editor Al-Islam, Astora Jabat. Tidak mampu menjelaskan dengan akal sihat, mufti-mufti cuba mengadu kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan untuk mengawal kegiatan penulis yang kerdil dan daif.
Seorang pemikir reformasi Iran yang dihormati sejak Revolusi 1979, Abdul Karim Soroush dalam Freedom, Reason and Democracy in Islam berhujah: "Seperti bunga-bunga liar di alam, iman akan tumbuh dan berkembang di tempat yang ia idamkan dan dalam aroma serta yang warna ia sukai. Masyarakat orang beriman lebih menyerupai belukar liar daripada taman (bunga) yang dirawat. Masyarakat ini terhutang aroma imannya pada jiwa liar yang bebas merdeka. Memasung jiwa ini sama sahaja dengan mencekik jasadnya.
Masyarakat agama
"Dalam pengertian inilah masyarakat agama, yang didasarkan pada iman yang bebas, pemahaman dinamis, dan kewujudan insan di depan Tuhan, pastilah demokratik. Jadi kepatuhan (orang ramai) yang penuh ketakutan dan keterpaksaan terhadap hukum agama tidak boleh dianggap sebagai ukuran masyarakat agama."
Kita sedar PAS sengaja menyembunyi gari-gari di pinggang mereka sebelum mendapat kekuasaan penuh, seperti kita faham apa erti senjata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada Umno-BN.
Kita semua boleh bergerak tetapi apabila pengaruh pemimpin negara tergugat, tetamu tidak diundang menghumban kita ke kawah ISA. Boleh dibayangkan sekarang bagaimana imej siaran TV dan kulit depan majalah di pasaran sebaik sahaja PAS menggari kebebasan wartawan dan seniman.
Ingat! Beberapa tahun lepas, teater Tok Ampoo arahan penulis-aktivis Hishamuddin Rais, terbitan kartunis Zunar, lakonan penggerak mahasiswa yang pro-reformasi pernah dilarang dipentaskan (bagi kali kedua) di Markaz Tarbiyyah PAS di Taman Melewar, tidak jauh bezanya larangan di beberapa tempat lain oleh Umno. Apa bezanya sikap PAS ini dengan garispanduan lakonan pentas ciptaan baru Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?
Parti Islam tidak perlu berpura-pura dalam hal ini, keluarkan kenyataan akhbar sekarang bahawa ‘Siti Nurhaliza akan dilarang’ menyanyi kecuali dia bertudung! Malah, akhirnya Siti tidak dibenarkan menyanyi kerana suaranya yang manis dan mukanya yang comel itu juga sejenis aurat!
Kita mahu perisytiharan hitam putih wajah dan susuk kebebasan akhbar di bawah pentadbiran PAS. Tidak guna membantu sebuah parti politik yang kemudiannya, apabila bersenang-lenang di takhta kekuasaan, kami terpaksa menyembah demi menyelamatkan diri daripada daulat ulama! Toleransi yang bagaimana PAS mimpikan?
Ini semua konsep dan akademik bunyinya tetapi parti yang yakin diri akan mengemukakannya sekarang, tanpa perlu bercabang lidah untuk berdolak-dalik kemudiannya. Siapa yang tidak arif gelagat orang politik kita? Apabila hendak sesuatu, rakyat dirasuah dan dibelai-belai. Apabila sudah berkuasa, sungguh angkuh dengan kekuasaan tetapi apabila terpelanting dari serambi kuasa, mula menuduh kerajaan semuanya tidak benar.
Saya mengakhiri lintasan-lintasan ringkas idea ini dengan kutipan dari John Rawls, A Theory of Justice: "Each person possesses an inviolability founded on justice that even the welfare of society as a whole cannot override. For this reason justice denies that the loss of freedom for some is made right by a greater good shared by others. It does not allow that the sacrifices imposed on a few are outweighed by the larger sum of advantages enjoyed by many. Therefore in a just society the liberties of equal citizenship are taken as settled; the rights secured by justice are not subject to political bargaining or to the calculus of social interests."
--------------------------------------------------------------------------------
Sedutan kertas diskusi yang bakal diedarkan dalam sesi ‘Dialog Penulis Tanahair-PAS’ pada 9 Februari 2004
Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (3 Februari 2004). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com
No comments:
Post a Comment