Thursday, February 26, 2004



Kongres ‘budaya pop’ Melayu? - Fathi Aris Omar

Seorang teman saya mengajak kami mengadakan semacam ‘kongres’ di kalangan penggiat muda seni budaya - katanya tentang ‘budaya pop’, khususnya Melayu. Ia mahu disegerakan.

Tetapi idea mengadakan kongres nasional di kalangan anak muda bukan idea baru teman-teman saya. Namun, saya sangat sedar apa erti atau signifikan ‘kongres’, ‘diskusi’ atau ‘wacana’ di negara ini.

Seperti juga projek penerbitan di kalangan anak muda, kongres atau sebut sahaja diskusi tidak mungkin ‘dijayakan’. Pengalaman berdepan dengan anak muda - di segenap peringkat dan dalam pelbagai kelompok - sangat mengecewakan.

Misalnya aktivis siswa yang kritis terhadap kerajaan atau anak-anak muda yang menyertai Gerakan Reformasi serta badan bukan kerajaan (NGO), bagaimanakah sikap mereka terhadap ilmu dan ketekunan merumus persoalan bangsa?

Walau mereka menuntut ruang (kononnya!), atau mahu suara mereka didengari, atau ingin difahami tetapi kematangan hujah, hasil kerja dan tindakan masih jauh daripada memuaskan.

Bangsa ini patut berasa malu melihat kedaifan anak muda, tidak setanding tuntutan kontemporari, tetapi dalam ketakutan orang tua bergayut pada jawatan masing-masing, mereka tidak pernah berasa malu.

Ketajaman idea

Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka saban tahun tidak berjaya menghasilkan karya dengan tekal, jauh sekali ingin membicarakan soal mutu, kepelbagaian atau ketajaman idea.

Ahli-ahli akademik muda di institusi pengajian tinggi, yang telah mendapat gelar doktor falsafah menjelang usia 30-an, tidak menampakkan apa-apa hasil. Malah disebut-sebut bakal mewarisi ‘profesor kangkung’ dalam dunia akademia kita.

Anak-anak murid mereka yang belajar dalam bidang media, seni dan kesasteraan misalnya tidak mampu menulis dengan baik! Malah tidak kurang yang lari ke bidang lain atau hanya mahu menjadi guru. Editor kanan atau penulis kolum pula, apakah mereka boleh dibanggakan dan dijadikan contoh?

Persatuan-persatuan penulis negeri, ke manakah mereka? Sasterawan-sasterawan lama pula di mana? Bagaimana mereka melihat persoalan kebebasan dengan feudalisme, individualisme dengan globalisasi, budaya pop era pascamoden dengan tradisi tempatan? Apakah sikap dan analisa mereka terhadap isu-isu mendesak bangsa dan negara ini?

Bagi saya, anak muda terlalu lembik, sementara cendekiawan dan tokoh yang ada tidak mampu memberi teladan minda serta daya gerak kepada mereka. Dalam sebuah rencana di Akhbar Mahasiswa, saya berhujah; "Mahasiswa, belia dan orang muda tidak merdeka diri, tidak mencari serta merumus persoalan bangsa ini dan negara dengan jujur, serta tidak berani menganjurkan reformasi sosial dari perspektif mereka sendiri.

"Generasi muda, termasuk siswa, hanya menempel pada struktur sedia ada dan mengunyah idea yang disogokkan. Mereka tidak berfikir, berinteraksi dan berbahas dengan kelompok-kelompok lain di kalangan generasi muda tetapi meletakkan kesetiaan pada struktur sosial yang dibolot oleh orang tua."

Arus globalisasi

Kepada teman itu, saya cadangkan kita melihat ‘budaya pop’ atau komersialisme seni budaya dengan lebih syumul; bukan secara serpihan kerana penghasilan idea melibatkan aspek penjanaan idea. Idea kita mesti dapat bersaing di peringkat antarabangsa kerana pasaran tempatan tidak cukup untuk menampung semua projek budaya pop.

"Kita harus cepat-cepat membina prasarana - khususnya ‘prasarana idea’ yakni kebebasan bersuara, demokrasi, hak asasi, wacana rancak serta mendalam dan pertemuan ilmiah - bagi membolehkan idea, termasuk seniman dan produk seni, negara ini bersaing dengan kekuatan idea, teknik dan mutu seni dalam arus globalisasi," kata Jimadie Shah Othman, penulis muda dari Universiti Malaya.

"Prasarana idea membolehkan aliran idea yang bebas, kepelbagaian sudut pandangan, menyuburkan imaginasi, menghalusi kritikan dan menajamkan kreativiti."

Sementara Buddhi Hikayat pula dalam ‘Mantapkan mekanisme seni’ mempertikaikan aspek pengurusan seni yang tidak memuaskan: "Produk seni, khususnya yang bermutu, tidak akan sampai kepada masyarakat jika kegiatan seni tidak menjamin kerjaya atau kebajikan seniman atau pekerja seni.

"Kegiatan seni yang bermusim dan gagal diurus secara profesional, serta gagal menjaga semua peringkat pekerja, akan menimbulkan kesan-kesan buruk kepada produk seni."

Dua penulis ini juga mempertikaikan soal kongkongan politik dan kebebasan kreatif yang sangat terbatas di negara ini tetapi malangnya tidak dipedulikan secara serius dan lantang oleh kelompok seni. Tidak pernah ada aduan atau memorandum dihantar kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), misalnya.

Pradigma baru

Tetapi hairannya, Johan Jaaffar nampak sebaliknya. Bekas wartawan kanan di Utusan Malaysia ini percaya sasterawan negara kita boleh memenangi Hadiah Nobel, menjelang 2010!

"Now, the good news is, we do have some truly talented writers of world calibre. But what have we done ‘to promote’ them?" tulisnya di New Straits Times.

Sebelum itu beliau berhujah tentang ‘sastera Melayu’ dan ‘sastera Malaysia’ sebagai menyelesaikan kemelut tiada sambutan terhadap kegiatan sastera. Seperti mentaliti Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, Johan terperangkap dalam merumuskan sastera Melayu sebagai ‘teras’ sastera Malaysia. Baginya, saranan ini sejenis ‘paradigma baru’. Apa relevannya soal ini kepada Hadiah Nobel?

Dalam Berita Minggu pula, tokoh ini tidak pernah ingin menyentuh persoalan kebebasan kreatif dengan jelas dan berani. Nampak benar luahan rasanya tidak merdeka, walau kelihatan beliau sedar beberapa perkara penting yang menghimpit kejayaan seni dan produk ‘budaya pop’ kita.

"Seniman harus diberi kebebasan, tetapi tentunya dalam kerangka yang munasabah dan berpatutan," tulisnya di Berita Minggu. Kebebasan munasabah dan berpatutan, apakah persoalan ini agendanya? Atau, kawalan yang tidak munasabah dan tidak berpatutan harus menjadi agenda kita bersama?

Garis panduan persembahan pentas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diperkenalkan lewat tahun lepas telah memakan korban teater seperti Election Day (bulan lepas) dan Projek Suitcase 2003 (Disember tahun lalu). Akan datang, siapa dan apa lagi?

Johan tidak berfikir panjang walau, dalam kolum akhbar Inggeris itu, beliau menyebut sekali imbas "kesasteraan berkait rapat dengan ekspresi kreatif dan imaginasi". Nampaknya belum tuntas hubungan kawalan politik ini dengan imaginasi dirumuskan oleh kita.

Jika Johan yang dianggap boleh berfikir dan sedikit kritis juga masih terbelenggu dengan wacana lama yang sudah terbukti gagal, bagaimana kita boleh mengharapkan anak muda sastera dan seni budaya - yang selalu meniru-niru tabiat buruk ‘industri’ dan wacana lapuk sekarang?
--------------------------------------------------------------------------------
Sumber:

Buddhi Hikayat, ‘Mantapkan mekanisme seni’, Mingguan Malaysia, 15 Februari 2004

Fathi Aris Omar, ‘Siswa, seluar pendek dan kesetiaan’, Akhbar Mahasiswa, November 2003

Jimadie Shah Othman, ‘Globalisasi, seni dan seniman’, Mingguan Malaysia, 22 Februari 2004

Johan Jaaffar, Looking for Malaysian literature, New Straits Times, 5 Januari 2004

Johan Jaaffar, ‘Jadikan KL kota budaya, …’, Berita Minggu, 1 Februari 2004

Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (24 Februari 2004). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com

No comments: