Thursday, February 19, 2004



Siswa perlu ‘bahasa baru’ - Fathi Aris Omar

"A new conflict zone, in place of the virtualized class antagonism and apart from the disparity conflicts at the margins of the system, can only emerge where advanced capitalist society has to immunize itself, by depoliticizing the masses of the population, against the questioning of its technocratic background ideology: in the public sphere administered through the mass media." – Jurgen Habermas dalam Toward a Rational Society.

Tidak hanya siswa, rata-ratanya masih dianggap mentah, malah banyak lagi kelompok – misalnya wartawan, seniman, ahli politik atau profesional – juga gagal memahami kesan pembentukan nilai, bahasa dan luahan rasa akibat ruang demokrasi negara ini yang terbelenggu.
Kita semua, jika tidak cermat, pasti gagal berprestasi seiring dengan cabaran zaman yang semakin kompleks. Banyak perkara yang sedang bergerak di depan mata sendiri gagal difahami. Kita menduga kita telah memahaminya tetapi tindakan kita bertentangan dengan kehendak perubahan yang pantas.

Antara persoalan terpenting – bagaimana memecahkan ‘kebuntuan politik’ yang telah membentuk kita semua. Persoalan kebebasan rakyat dengan kawalan negara, kedudukan individu dalam masyarakat, hubungan fikiran seseorang dengan sosialisasi persekitaran (sejak kecil) tidak difahami oleh golongan pelajar, termasuk aktivis mereka yang paling lantang!

Jika kita meminta mereka membahaskan hubungan-hubungan ini, sama ada bertulis atau lisan, pasti kita dapat kesan kedangkalan atau keterbantutan idea. Rupa-rupanya mereka tidak memahami persekitaran mereka sendiri. Seolah-olah mereka menceburi aktivisme dengan menutup kedua-dua mata dan telinga.

Jika mereka sendiri mundur, bagaimana mungkin aktivis siswa dapat menawarkan sesuatu yang lebih ‘maju’ kepada masyarakat? Tidak hairanlah, sesiapa sahaja yang mendekati siswa akan berjaya mempengaruhi mereka dan dengan rela mereka menganut idea-idea itu tanpa berfikir lebih kritis.

Klon baru

Aktivis siswa, khasnya yang sudah dianggap ‘senior’, kemudian menjadi ‘agen yang telah diprogramkan’ untuk membiakkan klon-klon baru aktivis. Sebab itu, di kalangan pelajar Islam, kita temui klon-klon PAS, Umno, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) atau Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Tidak sedikit daripada mereka bersifat dogmatik, tertutup atau fanatik dengan idea kumpulan masing-masing. Zaman penulis dulu, antara 1987 hingga 1990, menyaksikan perseteruan yang dahsyat akibat dogmatisme kelompok antara beberapa kumpulan Islam ini.

Memang, dari luar kelihatan aktivis siswa berfikiran kritis. Tetapi terhadap apa dan siapa? Dan, bagaimana fikiran kritis itu terbentuk? Berfikiran kritis, walau sepatutnya menjadi sifat peribadi yang penting untuk menilai persekitaran, tidak menjadi disiplin peribadi yang independen.

Sebab itu, kritikan atau minda kritis pelajar Islam tidak bebas daripada ungkapan dan perspektif (malah, nada atau gaya!) PAS, Abim atau JIM. Oleh kerana kerajaan Barisan Nasional musuh mereka bersama, maka kritikan aktivis pelajar tentulah kepada kerajaan.

Tetapi belum tentu mereka akan kritis terhadap hal-hal lain, apatah lagi terhadap kelompok sendiri. Berfikiran kritis itu sendiri hanya ada satu sisi (iaitu: terhadap kerajaan BN dan masyarakat), bukannya dari jiwa yang merdeka terhadap apa-apa sahaja. Bersifat kritis bukannya disiplin minda yang tulen di kalangan aktivis siswa tetapi akibat sogokan sudut pandang yang terhad oleh penaung-penaung mereka.

Sogokan sudut pandang datang bersama proses yang panjang, bermula daripada tempoh sosialisasi sejak kecil di rumah, pendidikan rasmi (termasuk universiti), pendedahan kepada media massa (propaganda) dan juga adat resam masyarakat.

Dasar mengekang

Di sekolah dan kampus, sogokan itu terbentuk melalui sukatan pelajaran, pengkhususan ilmu dan peraturan. Media massa pula mempunyai pembingkaian (news framing) dan penetapan agenda (agenda-setting), sama ada akibat kongkongan kerajaan, kepentingan pemilik syarikat, kecekapan editor atau tanggapan penulis.

Sosialisasi – proses memindahkan nilai ke dalam diri kanak-kanak daripada persekitaran – di dalam dan di luar rumah dipengaruhi nilai dan ‘projek’ ibu bapa (terhadap anak) yang berinteraksi dengan lingkungan yang lebih besar.

Di negara kita, lingkungan itu boleh disebut sebagai warisan dasar-dasar mengekang Umno-BN, dasar penjajahan Inggeris dan amalan konsevatisme-feudalisme Melayu sejak beratus-ratus tahun. Tidak dilupakan, warisan kesultanan Islam yang autokratik dan wabak taklidisme ummah.

Ia semacam social conditioning yang tidak disedari, tetapi berulang-ulang dihayati, proses pembudayaan halus serta perlahan-lahan dalam masyarakat. Ia berjaya membentuk jiwa (psyche) atau akal bawah sedar seseorang sehingga melimpah ke alam mimpi atau resah batin tanpa dapat lagi diselami secara sepenuhnya rasional – jika kita gagal membongkar sejarah dan mengenali batu-batu tanda kesesatannya.

Mungkin istilah-istilah ‘sindrom kebergantungan’ (dependency syndrome) atau ‘Stockholm syndrome’ membawa gejala penyakit yang sama.

Di kalangan aktivis siswa, saya nampak tradisi berhujah dan berdebat sudah semakin merosot. Ramai pula yang malu bertanya tetapi suka mencatat, bukan merenung buah-buah fikiran yang disampaikan penceramah.

Malah semangat bertanya di kalangan mereka sering dibayangi jiwa "saya budak baru belajar, mana yang salah tolong tunjukkan" – membayangkan rasa rendah diri atau tiada keyakinan tetapi suka sekali disogok (pengetahuan).

Kurang menulis

Mereka juga kurang menulis di akhbar-akhbar dengan idea atau kupasan bernas tentang isu-isu besar. Kenyataan-kenyataan akhbar tentang saranan mengharamkan konsert atau membantah sambutan ‘Hari Kekasih’ tidak ubah idea yang sering ‘dikitar-semula’ sejak 20 tahun lalu! Mungkin juga, mereka kurang membaca, khususnya pelbagai disiplin ilmu di luar bidang kursus masing-masing.

Bagi saya, ini semua kesan nyata minda dan jiwa terbelenggu, suka menunggu arahan, ibarat "pahat dengan penukul." Belenggu memang menjadikan seseorang tidak merdeka, mematikan daya usaha dan keyakinan diri.

Hakikatnya, generasi muda adalah projek pengklonan sesebuah masyarakat. Tetapi siswa hanya berjaya melepaskan diri daripadanya jika kita menyedari faktor-faktor yang telah membesar dan mendewasakan kita.

Ini termasuk, menyedari proses indoktrinasi kelompok (disebut juga: usrah, latihan, diskusi, tamrin atau seminar) yang sedang memacu minda siswa. Jika mereka gagal mengesan landasan-landasan kongkongan ini, tentu sekali mereka akan selama-lamanya menjadi sekadar bidak catur organisasi-organisasi besar di luar diri mereka.

Mereka tidak mungkin membebaskan diri daripada belenggu kelompok dan masyarakat, apatah lagi belenggu kerajaan yang tidak demokratik. Lalu, nilai-nilai demokratik tidak dihayati oleh aktivis siswa yang melaung-laung demokrasi itu sendiri!

Budaya baru atau bahasa baru tidak tumbuh daripada gerakan siswa ini kerana kealpaan mereka untuk membongkar semua proses pemasungan minda sejak kecil lagi. Sebab itu, saya ingatkan aktivis siswa, separuh daripada minda mereka masih lagi dibelenggu kerajaan walau mulut mereka lantang sekali mengkritik kerajaan!
--------------------------------------------------------------------------------
Dihuraikan kembali daripada isi-isi ceramah ‘Peranan media dalam memperjuangkan hak siswa’ kepada aktivis-aktivis pelajar dalam majlis ‘Perundingan Siswa Kebangsaan’ di Kajang, Selangor pada 8 Februari 2004
Sumber:

Cicourel, Aaron (1974) Cognitive Sociology: Language and meaning in social interaction, New York: The Free Press

Habermas, Jurgen (1971) Toward a Rational Society, London: Heinemann Books

Kaplan, David dan Manners, Albert (1999) Teori Budaya (terj. The Theory of Culture), Jogjakarta: Pustaka Pelajar

Popper, Karl (1994) Knowledge and the Body-Mind Problem, London: Routledge

Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (16 Februari 2004). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com

No comments: