Pilihanraya semakin hampir
Bahang pilihanraya umum yang ke 11 semakin dirasai dan dijangkakan parlimen akan dibubarkan pada bila-bila masa dari sekarang. Media-media arus perdana tempatan dan juga media asing telah mula membuat ulasan dan liputan berita pra-pilihanraya.
Di beberapa kawasan, bendera-bendera parti yang masih baru sudah mula berkibar megah di atas-atas pokok di sepanjang jalan utama. Namun begitu, suasana panas dan pesta yang dirasai semasa pilihanraya 1999 masih belum dirasai dan ini sudah tentunya disebabkan oleh senario yang berbeza pada waktu itu.
Namun yang pastinya, suasana tenteram dan sunyi ini pasti akan bertukar secara serta merta apabila tiba masanya Pak Lah membuat pengumuman pembubaran parlimen. Pesta demokrasi ala Malaysia akan semakin rancak dan tegang semasa tempoh kempen dijalankan.
Apabila semakin tiba pilihanraya, persediaan mental harus ditingkatkan untuk menapis semua maklumat yang disampaikan baik daripada pihak pemerintah ataupun pembangkang. Stesen televisyen dan media arus perdana terutama yang berbahasa Melayu hanya layak ditonton dan dibaca oleh pembaca yang memiliki sumber maklumat yang pelbagai. Kepada yang tidak memilikinya, amaran awal kepada golongan ini bahawa ia boleh membawa kemudaratan yang agak besar dari segala aspek.
Bagi aku, pilihanraya umum ini pastinya akan mencatat sejarah dan satu fasa baru di dalam kehidupan aku sebagai seorang insan yang bernama Zulhabri Bin Supian, pengundi di DUN Seri Andalas, Parlimen Kota Raja, rakyat negeri Selangor dan rakyat negara Malaysia yang tercinta ini.
Parti mana yang akan diundi adalah rahsia walaupun mereka yang mengenali aku sejak 5-8 tahun lepas mungkin sudah dapat mengagak parti mana yang akan dipilih olehku, salah seorang daripada pengundi muda pada pilihanraya umum ini.
Namun harus diingatkan bahawa pilihanraya bukanlah satu-satunya petanda kewujudan dan pengamalan demokrasi di negara ini. Ia hanyalah salah satu jalan bagi kita rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyuarakan suara dan hasrat diri dan masyarakat. Aktiviti-aktiviti yang bersifat demokrasi yang lain seperti demonstrasi, ceramah, kelas pencerahan, pesta seni, penerangan, diskusi, debat dan sebagainya perlu diadakan sepanjang masa tanpa mengambilkira faktor pilihanraya.
Walaubagaimanapun, diharap pilihanraya kali ini tidak akan dicemari dengan budaya-budaya yang tidak bertamadun dan diharap pihak polis dan SPR dapat bersikap adil di dalam setiap tindakan mereka. Di samping merayakan pesta demokrasi ini, rakyat Malaysia seharusnya tidak lupa untuk mendesak agar SPR dapat menjadi suatu badan pengendali pilihanraya yang bebas seperti mana di Indonesia, Thailand dan Filipina.
Semakan Daftar
Berita Pra-Pilihanraya
No comments:
Post a Comment