Saturday, January 24, 2004

Tenggelam di bawah masyarakat - Fathi Aris Omar

"Well, no, I don’t think that the solidarity of belonging is much of a prize. I appreciate that it can bestow some pride, and that it can lead to mutual aid and even brother- and sisterhood, but it has too many suffocating qualities, and many if not most of the benefits can be acquired in other ways." – Christopher Hitchens dalam Letters to a Young Contrarian (2001)

Pembangkang menuduh kerajaan sekarang menyekat kebebasan, terlalu mengongkong, dan sebab itu, kita gagal memenangi hati orang ramai. Tetapi, apakah kita benar-benar inginkan kebebasan? Atau "kebebasan" yang kita sendiri takrifkan untuk keselesaan aliran dan kelompok kita sahaja?

Pembangkang juga menuduh kerajaan tidak adil, tidak mewujudkan ruang persaingan yang sama rata, tetapi apakah kita sendiri sungguh-sungguh mahu kesetaraan ruang ini? Atau, tuduhan ini hanya satu ucapan manis untuk menarik simpati orang ramai dalam proses merebut kekuasaan?

Kerajaan sering didakwa tidak demokratik tetapi apakah pembangkang menghayati nilai dan budaya demokrasi? Atau, jika boleh membawa keuntungan pengaruh, kita juga percaya bahawa sebenarnya tidak perlu bersikap demokratik?

Saya ragu-ragu, sungguh-sungguh. Hakikatnya perebutan pengaruh politik di negara ini bukan persoalan membebaskan diri daripada kekuasaan, kumpulan dominan atau belenggu sosial, tetapi memanjangkan wacana kelompok sendiri.

Masih banyak tertunggak pokok perbahasan tentang kebebasan. Apa erti kebebasan individu, hubungan individu dengan masyarakat, perbezaan ruang awam dengan ruang peribadi, batasan kuasa (kerajaan) ke atas individu dan orang ramai, tindakan orang ramai untuk menyekat kuasa majoriti – inilah contoh-contoh persoalan yang gagal dibicarakan dan difahami di peringkat popular.

Malah, lebih lucu lagi, sering kita mendengar hujah "kebebasan tidak mutlak" kerana ia boleh membawa "keadaan huru-hara atau anarki". Hujah seumpama ini berkumandang setiap kali kita cuba menyebut isu-isu kebebasan atau selonggok sekatan yang ditimpakan kerajaan ke atas rakyat.

Kebebasan mutlak

Hujah ini sekali imbas nampak rasional, munasabah dan boleh diterima begitu sahaja. Selalunya ia disebut oleh pemimpin negara, editor kanan atau pegawai kerajaan yang suka mempertahankan tindakan-tindakan mengongkong kerajaan.

Tetapi jika dihalusi, ia sebenarnya membayangkan betapa mentahnya masyarakat kita – pemimpin politik, wartawan, intelektual atau tokoh popular – berdepan dengan isu-isu paling asasi tentang kebebasan. Mereka terlupa bahawa "kebebasan mutlak" tidak pernah menjadi wacana di kalangan pejuang-pejuang demokrasi, kebebasan dan hak asasi sejak zaman berzaman.

Sejak diumumkan ‘Deklarasi hak asasi manusia dan hak warga’ ketika Revolusi Perancis 1789 kepada hujah-hujah Thomas Paine Rights of Man (1792) atau John Stuart Mill On Liberty (1859) sehingga ‘Perisytiharan Sejagat Hak-hak Asasi’ (1948) atau dua kovenan hak asasi (1966) di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sentiasa termaktub kebebasan individu dibataskan oleh kesannya ke atas masyarakat.

Bagaimana wacana "kebebasan tidak mutlak" boleh muncul di negara ini – jika tidak akibat kejahilan dan prasangka terhadap idea kebebasan, kononnya ia datang dari negara luar?

Yang kita tuntut, misalnya, pelupusan kaedah memberi permit penerbitan setiap tahun dan "ruang awam" (public sphere) tetapi kita menerima jawaban simplistik "kebebasan tidak mutlak". Cara menjawab ini awal-awal lagi mematikan selera kita untuk terus berhujah.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan profesor Mohd Safar Hashim, baru-baru ini, mempunyai psikologi ini – "kebebasan tidak mutlak" – ketika membuka bicara tentang Majlis Media. Abdullah Ahmad, ketika itu orang kuat Kumpulan New Straits Times, atau sasterawan muda di Persatuan Penulis Nasional (Pena) juga mempunyai psikologi yang sama.

Ertinya, mereka tidak berani berdepan dengan permasalahan pokok kongkongan politik (berhubung hak kebebasan) dengan nyata dan terperinci tetapi tersangkut dengan persoalan ranting yang remeh-temeh dan tidak relevan!

Tidak Islamik

Apa perlu mereka ini membebel berulang-ulang kali tentang "kebebasan tidak mutlak" sedangkan kita cukup sedar setiap kali menjerit untuk hak asasi, demokrasi dan kebebasan, itu semua harus datang bersama kekuatan akal dan tanggungjawab sosial.

Beberapa kumpulan, misalnya Persatuan Ulama Malaysia (PUM) atau Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), sering mendesak kerajaan untuk mengongkong kebebasan beberapa kumpulan masyarakat lain apabila sesuatu isu difikirkan bertentangan dengan alirannya.

PUM menggesa kerajaan, melalui satu memorandum kepada Majlis Raja-Raja, bertindak ke atas beberapa penulis. PKPIM dan kumpulan pelajar dakwah pula suka menggesa kerajaan menyekat konsert dan tayangan filem kerana dianggap "tidak Islamik."

Dengar khabarnya sekarang beberapa mufti sedang berusaha untuk menyekat kolumnis Mingguan Malaysia dan juga editor majalah Al-Islam, Astora Jabat, daripada menulis. Minggu lalu, beliau dipanggil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ekoran tulisannya dalam majalah itu, edisi Disember, tentang azab kubur dan hukum memakai tudung.

Kenapa seluruh kumpulan dominan ini lebih suka menyekat kebebasan bersuara daripada menjawab hujah dengan ilmiah, kritis dan rasional? Apakah terlalu sukar bagi Jakim atau mufti-mufti itu menulis kepada Al-Islam daripada bertungkus-lumus mengajak kerajaan campur tangan dalam hal-hal remeh ini?

Suatu waktu dulu, kenapa seluruh perkumpulan Islam tidak menjawab Hadis: Satu Penilaian Semula karya Kassim Ahmad, sebaliknya mendesak pengharaman buku tersebut? Beberapa penulis ini hanya beberapa kerat individu tetapi nampaknya seluruh kumpulan dominan, yang tidak selari dengan mereka, memilih jalan menutup hujah melalui tangan-tangan kekuasaan.

Tidak syak lagi, keghairahan beberapa kumpulan ini untuk "bermanja-manja" dengan kerajaan merupakan sejenis kejahilan asas tentang konsep kebebasan. Tidak mampu menggunakan akal dan debat terbuka, semua pihak ini meletakkan kepercayaan bulat kepada kerajaan untuk menceroboh ruang peribadi (dalam konteks ini, hak asas untuk berbeza pandangan).

Muslihat politik

Lebih lucu lagi, beberapa kumpulan ini sendiri pernah menjadi mangsa kongkongan kerajaan dalam soal kebebasan bersuara tetapi dalam hal-hal lain, mereka mencari kerajaan pula untuk menutup kebebasan orang lain! Kenapa tidak ada rasa ragu-ragu kepada pihak berkuasa, atau keghairahan untuk menyoal siasat kekuasaan?

Banyak proses boleh dilakukan tanpa campur tangan kerajaan. Hujah Mill: "The maxims are, first, that the individual is not accountable to society for his actions, in so far as these concern the interests of no person but himself. Advice, instruction, persuasion, and avoidance by other people if thought necessary by them for their own good, are the only measures by which society can justifiably express its dislike or disapprobation of his conduct."

Begitu juga penekanan berlebihan (ekstrem?) terhadap isu "perpaduan" atau "kesatuan" sehingga hidup berkelompok-kelompok, berbeza pandangan atau perdebatan terbuka dianggap sejenis perpecahan yang wajib dibasmi habis-habisan.

Wacana ini – baik daripada kerajaan atau pakatan pembangkang – mempunyai muslihat politik untuk mendominasi arus perubahan idea. "Perpaduan" bunyinya manis tetapi tersirat di sebaliknya kedangkalan tentang hukum hidup dalam budaya demokrasi dan kecenderungan kita untuk monopoli atau mendominasi orang lain. Dan … di hujungnya, pihak-pihak ini berhasrat mengekalkan (dan juga merampas) kekuasaan.

Muhammad Khatami, presiden Iran sekarang, berhujah dalam Islam, Modernity and Development: "[T]he effects of despotism have become second nature to us. We are all individually dictator-like in our own ways, and this unfortunate condition is evident in all strata and spheres of our society."

Dalam konteks budaya Melayu, istilah "despotisme" rasanya elok diganti dengan "feudalisme".

Lalu, orang ramai tidak mempunyai pilihan kecuali sama ada bersama Barisan Nasional atau Barisan Alternatif, bersama "kerajaan sekular" atau "kerajaan Islam". Perpaduan bagi BN bererti mengekalkan kekuasaanya, sementara BA pula bertujuan merampas kekuasaan itu.

Apa yang tinggal pada kita, individu dan masyarakat? Tidak ada apa-apa kerana kita sendiri – seperti PUM atau PKPIM – ingin diri kita dikongkong!
--------------------------------------------------------------------------------
Tulisan ini dikembangkan daripada idea-idea asas yang dibentangkan dalam ‘Kursus Penulisan Siasah untuk Pilihan Raya’ di Shah Alam pada 18 Januari.
Sumber:

Abdulkarim Soroush (2000), Reason, Freedom and Democracy in Islam, Oxford: Oxford University Press

Mill, John Stuart (1859) On Liberty dalam (1972) Utilitarianism, On Liberty, and Considerations on Representative Government, London: JM Dent & Sons

Paine, Thomas (1985) Rights of Man, New York: Penguin Books

Robertson, Geoffrey (2000) Crime against Humanity: The struggle for global justice, London: Penguin Books

Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (19 Januari 2004). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com

No comments: