Tuesday, March 09, 2004

Jang Nara di KL



Huhu..sedih yang teramatlah sangat apabila saya membaca artikel di ruangan Star Two edisi 4 Mac yang mana penulisnya menceritakan temubualnya bersama Jang Nara di Kuala Lumpur.

Jang Nara telah berkunjung ke KL untuk mengadakan konsert amalnya di sebuah bangunan bekas pawagam(Ex-Rex) di Chinatown pada 1 Mac yang lepas. Namun amat mendukacitakan kerana promosi konsert ini tidak dibuat secara besar-besaran walaupun ia hanyalah sebuah konsert amal.

Namun begitu, dua minggu lepas abang saya ada mengatakan terdapat ura-ura yang menyebut bahawa Jang Nara akan datang ke Malaysia mungkin atas urusan promosi album. Dengar cakap ini telah diberitahu kepadanya oleh amoi rakan sekerjanya yang kebetulan mendengar promo tersebut di radio berbahasa Cina walaupun amoi tersebut tidak mendengar secara teliti tentang promo itu.

Apabila abang saya berkata tentang hal tersebut, saya berasa ragu-ragu kerana Jang Nara adalah antara bintang di Korea dan jika beliau ingin hadir ke sini sudah tentulah promosinya dibuat secara meluas. Dan terbukti telahan saya salah dan beliau telah hadir dan telah meninggalkan Malaysia tanpa sempat saya menatap dan mendengar suara comelnya secara langsung.

Apa yang tergambar di sini adalah promo konsert amal Jang Nara ini banyak dibuat di media-media berbahasa Cina kerana kebanyakan peminat beliau adalah dari kaum Cina walaupun sebenarnya terdapat sebilangan besar peminat dari kalangan kaum Melayu.

Sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada konsert tersebut dihadiri oleh ramai peminat atau tidak kerana tidak ada liputan tentang konsert tersebut. Mungkin stesen 8TV akan menayangkan video konsert tersebut di dalam masa terdekat kerana Jang Nara kelihatan memegang mikrofon stesen tersebut sewaktu acara sidang akhbar. Untuk pengetahuan, bayaran masuk atau derma untuk konsert tersebut adalah sebanyak RM50.

Bercerita tentang Jang Nara pula, beliau sememangnya mempunyai paras rupa dan suara yang teramatlah comel, cute, kawaii sehinggakan boleh membuatkan saya tersenyum sendirian apabila memikirkan tentang beliau. Saya mula mengenali dan terus meminatinya setelah menonton drama A Successful Story Of a Bright Girl di mana beliau membawa watak seorang gadis yang rajin dan cekal. Sehingga kini, saya tidak jemu-jemu mengulang tonton drama bersiri ini jika ada kesempatan masa.

Menurut laporan-laporan berita di media hiburan Korea, Jang Nara amat diminati dan disukai oleh penduduk Korea sama seperti mana masyarakat di sini meminati dan menyukai Siti Nurhaliza. Antara sebab-sebab utama adalah kerana sikap tidak besar kepala beliau di samping gemar untuk berbakti kepada golongan-golongan yang susah.

Beliau juga pernah satu ketika menolak jemputan untuk menghadiri Majlis Anugerah Grammy atas alasan untuk menghadiri satu sessi bertemu peminat yang telah diatur terlebih dahulu. Beliau telah mengadakan konsert sulungnya yang pertama di Jepun pada tahun lepas.

Apapun, selamat maju jaya kepada Jang Nara dan jangan lupa untuk kembali ke Malaysia untuk mengadakan konsert solo secara besar-besaran di masa hadapan dan alangkah bagusnya jika Jang Nara dapat turut membawa sekali bintang-bintang pop Korea yang lain seperti Choi Ji Woo, Jang Dong Gun, Song Hye Gyo, Jeon Ji Hyun, Song Seung Hun, Lee Jung Hyun, Lee Soo Young, Soo Yae Jin, Won Bin, Kim Ha Neul dan banyak lagi. I miss you Nara!

Jang Nara official website in Korea
Jang Nara official website in English
Gambar-gambar Jang Nara di KL

No comments: