Wednesday, March 03, 2004



Teater Election Day

Pengalaman menonton persembahan teater Election Day versi pindaan amat menyakitkan hati walaupun persembahan yang ditampilkan adalah sangat baik. Teater yang diarahkan oleh Krishen Jit dan dilakonkan oleh Jo Kukathas ini telah mendapat sambutan yang amat baik di kalangan pencinta teater dan seni tanahair walaupun ini merupakan pementasan kedua.

Pementasan sulung Election Day telah diadakan 10 hari selepas tamatnya pilihanraya umum yang ke 10. Oleh kerana saya masih dalam keadaan berduka di kala itu akibat kegagalan BA menafikan majoriti 2/3 BN, menonton Election Day sesungguhnya hanya akan menambahkan kedukaan.

Namun kini, saya merasa amat menyesal kerana tidak menontonnya kerana Election Day yang disaksikan kini mengandungi terlalu banyak pindaan yang semestinya atas arahan pentadbir yang tidak dipilih rakyat, DBKL.

Dikatakan rasional tindakan ini adalah untuk tidak membenarkan persembahan ini menggunakan perkataan-perkataan yang nyata atau wujud walhal perkara ini dibenarkan pada persembahan terdahulu. Contohnya seperti Dr.M, Dr Wan Azizah, Guardian Pharmacy, Volkswagen dan PAS.

Entah rasional apa yang digunakan, tidak rasional itulah yang tepat. Adakah kerana pilihanraya umum yang semakin hampir yang menyebabkan pihak berkuasa mengambil tindakan ini. Kalau mengikut hukum logik, ia tidak mungkin kerana perkataan-perkataan yang mengandungi nama-nama seperti Dr. Wan Azizah, PAS dan Dr. Mahathir sering terpapar di dada-dada akhbar harian.

Adakah kerana penonton teater di The Actors Studio itu tidak bijak membuat penilaian sendiri sehinggakan apabila mendengar nama Dr. Wan Azizah sanggup terus menyokong perjuangan beliau? Entahlah apa nak jadi dengan Malaysia (seperti dalam lagu Orang Timur, ACAB).

Namun saya bernasib baik kerana sempat meneliti satu persatu kesemua pindaan yang telah dibuat pada notis yanng telah ditampal di luar TAS semasa membeli tiket dua hari sebelumnya. Nasib malang menimpa seorang rakan saya yang tidak sempat melihat notis pindaan dan akibatnya Election Day yang ditonton itu gagal difahami dan dihayati sepenuhnya.

Perjuangan belum selesai! Kebebasan dan demokrasi perlu dipelihara dan disuburkan

No comments: