Friday, March 05, 2004
Kalau saya ahli Umno - Hishamuddin Rais
Minggu ini saya rasakan cuaca di Bangsar Utama mengingatkan saya kembali kepada daerah Kamunting - enak, berangin dan nyaman. Ini kerana kami sering dilawati oleh hujan petang. Cuaca senyaman ini mengembalikan juga ingatan saya kepada suasana romantik musim bunga di Eropah. Di sebalik kenyamanan di Bangsar Utama ini selalunya ada ada ribut//kilat/hujan yang akan sampai.
Dalam suasana nyaman yang dibungkus oleh dodoian bayu ini, kalau saya ahli parti Umno, saya akan merasa risau dan di hantui oleh ‘angst’ yang tidak berkesudahan. Sebenarnya saya tidak perlu dilanggar ‘angst’ apabila melihat orang-orang Umno yang seharusnya risau tetapi mereka tidak risau. Hakikitnya saya bukan ahli parti ini. Tetapi saya kasihan juga apabila melihati si Lunchai yang akan terjun tanpa labu-labunya.
Apa yang akan terjadi jika - abaraalacabra sin salabin - tongkat ajaib itu menjadikan saya seorang ahli Umno. Ini tidak mungkin berlaku kerana saya tidak memiliki keupayan fikrah untuk menjadi seorang ahli Umno yang tulen/baik/berjaya menghayati keseluruhan budaya Umno.
Keupayaan utama yang dimiliki dalam budaya Umno ialah menipu diri sendiri. Ini sebenarnya bukan satu perangai yang khusus dimiliki oleh orang Umno saja. Saya pun sering menipu diri saya sendiri. Apabila fikrah saya kosong tanpa idea saya akan menyakin diri saya bahawa saya tidak memilki masa.
Apabila saya gagal/malas menulis, saya nyatakan yang saya tidak ada 'mood'. Apabila saya tidak ingin dihubungi oleh seseorang maka saya tidak melayan deringan telefon saya yang bertalu-talu. Kita melakukan semua ini. ‘Self deception’ ini menjadi satu mekanisma tilam pandak untuk meredakan ‘angst’ dalam kehidupana manusia.
Tetapi untuk para pemimpin dan ahli-ahli Umno, menipu diri ini bukan lagi tilam pandak tetapi telah dijadikan satu seni. Kalau Jean Genet telah mengangkat 'pissoir' kota Paris sebagai satu bentuk seni, Umno pula telah menobatkan menipu diri sendiri kepada bentuk seni halus yang mereka rayakan sesama sendiri.
Gerakan Reformasi
Pesta Hari Velentine di Ceruk Tok Kun baru-baru ini memperlihatkan bagaimana Umno merayakan betuk seni menipu diri sendiri ini. Jumlah angka orang ramai yang berkunjung ke pesta Bebaskan Anwar itu telah diperkecilkan. Akhbar Inggeris dan akhbar Melayu cuba sedaya upaya menjual tahi kucing masam sebagai pil Tongkat Ali.
Umno boleh menipu diri, berkhayal/berangan-angan dan berborak semasa sendiri sambil menyedapka hati masing-masing dengan berkata bahawa agenda Anwar Ibrahim ini telah selesai. Semuanya telah pulih seperti sediakala. Gerakan Reformasi telah malap dan tidak bermaya lagi. Barisan Nasional boleh berjoget dan berpesta kembali.
Hakikatnya agak berlainan. Anwar Ibrahim akan terus menjadi satu agenda politik, bukan hanya di Malaysia tetapi di arena dunia antarabangsa. Ini telah/sedang/akan terus berlaku kerana ada beberapa hukum-hukum dan syarat asas politikal ekonomi yang sedang menjana perubahan lanskap dunia hari ini.
Cuba perhatikan dengan rapi dalam isu pembuatan senjata nuklear. Tolong jangan ketawa bila mendengar sembah 'ya ampun' Syed Hamid kepada Presiden Bush. Jangan pula kita tersenyum sinis apabila Syed Hamid mengakui secara rasmi melalui Wisma Putra bahawa Malaysia tidak memiliki teknologi yang canggih. Malaysia hanya berupaya untuk 'mencampakkan' Proton Saga dari udara ke Khutub Utara ( aha….ramai yang sudah terlupa lawak ini ).
Syed Hamid terkincit-kincit cuba menerangkan kepada Bush bahawa '….apa lagi yang tuanku perlukan, patik pacal yang hina ini telah membuat semuanya. Tetapi kenapa tuanku hanya menuduh negara patik, walhal ada lima negara lain yang tidak tuanku disebut namanya…'
'Negara patik hanya dapat membuat pisang terpanjang, bendera terlebar, ketupat terbesar… nak buat centrifuge tu kami tak mampu, hamba sendiri nak eja perkataaan itu pun tak tahu. Malaysia Boleh tu sebenarnaya cakap-cakap kosong Mamak Bendahara yang udah pencen ….. ampunkan lah negara patik..'
Ini bukan labun saya tapi inilah yang tersirat didalam kenyataan rasmi Wisma Putra apabila menjawab tuduhan Bush berkenaan pembuataan centrifuge secara haram di Malaysia. Kalau saya orang Umno saya akan mengambil perhatian di mana Presiden Bush membuat ucapan dasar ini. Ianya bukan dilafazkan di perasmian sebuah gereja atau di pembukaan warong McDonald tetapi di Akademi Tentera United States of America.
Rumah Putih
Saya yang rajin melayari laman-laman akhbar-akhbar dari seluruh dunia melihat bahawa isu pembuatan centrifuge di Malaysia ini 'bukan kecik anak' Berjela-jela telah/sedang dipaparkan di media. Bukan hanya di Amerika tetapi diseluruh dunia. Nama Tahir dan isterinya Nazimah Syed Majid, Abdullah Badawi, Kamaluddin, Shah Hakim Zain, Scomi, Qadeer Khan muncul beselang seli. Kalau saya ahli Umno saya ingin tahu apakah sebenarnya yang sedang berlaku.
Kemudian secara tiba-tiba majalah Newsweek pula membocorkan berita bahawa kemungkinan Amerika akan menjalankan dasar 'sanction' terhadap Malaysia. Ini sesuatu yang menggemparkan. Bukan Syed Hamid seorang sahaja yang merasa pelik, Mak Cik dari Felda Palong juga turut tersenyum '…kan den dah kato dulu kau tuduh dio ejen… padan muko… dulu kao tak nak boli barang Englan kono idung sondiri…padan muko...'
Mari kita mengingatkan kembali kepada kenyataan rasmi dari Rumah Putih apabila Anwar Ibrahim dinafikan dari mendapat ikat jamin. Rumah Putih telah mengeluarkan kenyataan yang jelas menyelar kerajaan Malaysia dan menunjukkan secara terang bagaimana sistem kehakiman di Malaysia tidak boleh di percayai.
Kalau sayalah ahli Umno, saya akan melihat semua yang telah dan sedang berlaku ini menjurus kepada Sungai Buluh. Saya boleh menipu diri saya dan berilusi bahawa semua ini hanya gempaq dari Amerika. Atau 'menuduh Son of Bush' menggunakan isu nuklear ini sebagai agenda kempen politik.
Atau berangan-angan dengan harapan ini semua akan ditenggelamkan oleh masa. Atau berharap lama kelamaan Amerika juga akan letih dan melupakan Anwar Ibrahim. Ini mungkin terjadi atau mungkin tidak berlaku.
Apa yang saheh ialah tidak lama lagi tarikh 14 April 2009 akan sampai. Orang yang dikurung merasa lama. Enam tahun di dalam penjara adalah enam tahun keseksaan. Tetapi untuk kita yang bebas di luar ini, sebenarnya enam tahun ini hanyalah satu masa yang kadangkala kita sendiri tidak menyedari berlalu.
Kalau anak-anak mereka telah enam kali membeli kasut raya. Kalau Ibrahim Ali, Ruslan Kassim atau Lokman Adam, enam tahun ini akan membolehkan mereka melompat ke enam buah parti politik. Untuk saya, enam tahun ini saya berupaya membeli enam helai seluar dalam. Enam tahun dalam satu perjuangan bukan satu jangka masa yang lama.
Pembebasan Anwar
Jika saya tidak mati dilanggar oleh bas Intrakota semasa melintasi jalan di Brickfield ke Bangsar Utama, pasti saya akan hidup dan menyaksikan kesampaian tarikh ini. Bagitu juga ramai dari kawan-kawan saya dari gerakan Reformasi. April 2009 ini pasti akan sampai. Tidak ada satu kuasa dalam dunia ini yang akan dapat menunda kesampaian tarikh ini. Kalaulah saya seorang ahli Umno, saya akan mula menghitung kesampaian tarikh ini.
Saya tahu apa yang akan berlaku satu tahun sebelum tarikh ini sampai. Pada tahun 2008 pelbagai laman web akan mula hidup kembali. Laman-laman web di zaman Reformasi yang telah lama wafat, mungkin ada satu dua akan hidup kembali untuk meneruskan perjuangan. Apa yang saya pasti ialah kemunculan web-web baru dan blogger-blogger baru dengan teknik dan perbincangan yang lebih unggul dan jaguh.
Labun-labun di warong akan bermula menanyakan apa yang akan dilakukan oleh Anwar Ibrahim apabila beliau bebas. Berita akan mula tersebar meluas. Ceramah-ceramah kecil oleh Parti Keadilan Rakyat telah memaklumkan tentang tarikh pembebasan Anwar ini. Berita Keadilan yang masih belum mendapat permit, akan membuat 'count down'.
Mak Cik-cik di Felda juga mula merasa kesayuan kerana Anwar Ibrahim diberitakan belum dapat menimang cucu kesayangan beliau. Tok-Tok Peraih di Pasar Selayang yang tidak tahu menahu hal politik telah mula mengikuti perkembangan politik semasa.
Hari raya tahun itu Dr.Wan Azizah semakin banyak menerima kad-kad ucapan selamat hari raya termasuk dari Johan Jaafar, Nazri Aziz dan dari Datuk Paduka Ibrahim Ali. Hamper-hamper sampai entah dari siapa dan entah dari pelusuk mana. Hamper-hamper ini telah mula sampai tiga bulan sebelum Ramadan bermula. Kad-kad ucapan selamat hari raya tak putus-putus sampai hingga ke petang hari menyambut Deepavali.
Di tahun itu juga, Harper and Collins, Penguin, Viking dan Silverfish dari Bangsar telah berebut-rebut untuk mendapat hak buku mengenai pengalaman Anwar Ibrahim di penjara. Sebulan sebelum tarikh 14 April 2009 ini sampai, Far Eastern Economic Review, Newsweek, Time, Guardian, The Economist, The Asia Wall Stereet Journal dan The New York Times ada mengeluarkan berita/laporan kecil tentang tarikh hari pembebasan Anwar Ibrahim bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Dua minggu sebelum tarikh pembebasan - poster-poster, kain rentang dan lukisan-lukisan di tembok berwajah Anwar Ibrahim mula kelihatan dengan slogan: Menyambut Wira/Selamat Kembali Bapak Reformasi/I Miss You Pak Sheikh.
Sungai Buluh
Di sana sini, secara sepontan, wajah Anwar Ibrahim mula kelihatan kembali. DBKL berusaha keras memadam/mengoyakkan poster-poster ini. Akhirnya Datuk Bandar mengeluarkan kenyataan mengingatkan orang ramai bahawa menampal poster tanpa kebenaran adalah satu jenayah yang boleh ditahan dibawah ISA.
Seminggu sebelum Anwar bebas banyak hotel-hotel berbintang di Kuala Lumpur telah ditempah oleh wartawan-wartawan luar negara. Wartawan dan jurukamera dari CNN, BBC World, ABC, Al-Jazira, Arab News, Times, Newsweek, Washington Post, semuanya sampai pada minggu ini. Mereka telah mula membuat selidikan latar tentang Anwar Ibrahim. Telefon Dr Wan Azizah tidak putus-putus menerima panggilan wartawan dari seluruh pelusuk dunia.
Mata-mata bermotosikal dari rumah pasong Brickfields juga semakin kerap merayau-rayu di Jalan Setiamurni. Tiba-tiba sebuah warong burger muncul betul-betul di simpang jalan berhadapan dengan rumah Anwar. Penjual burger pertengahan umur yang agak segak ini membuka warong walaupun dia sedar tidak ada pelanggan yang datang. Dia membuka warong ini sebagai 'tugas' fardu kifayah.
Laporan terakhir dari peguam menyatakan bahawa Anwar akan dibebaskan pada 14 April 2009 pada jam 11.30 pagi. Pada petang 13 April 2009 satu rombongan Pemuda Keadilan Rakyat (PKR) telah berkhemah menunggu Anwar di sekitar Sungai Buluh. Kaum kerabat BA dan suku sakatnya semakin heboh membicangkan pembebasan Anwar ini.
Tetapi esoknya, Anwar Ibrahim gagal keluar dari penjara Sungai Buluh. Rombongan PKR yang menunggu menjadi kelam-kabut. Pesanan SMS dari semua rangkaian telefon melonjak naik dalam usaha mencari di mana menghilangnya tubuh badan si Anwar Ibrahim ini.
Tiba-tiba pada pukul 2.45 petang Anwar muncul muncul di hadapan perkarangan rumahnya dengan sebuah kereta Poton Saga berwana hijau - WRS 2371. Hanya beberapa kerat sahaja orang yang menunggu dan menyambut beliau. Tidak ada wartwan, tidak ada pemimpin PKR, malah menantu Anwar sendiri masih lagi di pejabat.
Rupa-rupanya Anwar telah dilarikan lebih awal dari Sungai Buluh dan dibawa ke Bukit Aman. Alasan yang diberi 'semua ini untuk menjaga keselamtan Anwar sendiri.' Hah !
Bertanya khabar
Pada pukul 4.30 petang, Anwar sempat mengimamkan jemaah Zuhur. Hanya kaum keluarga sahaja yang hadir. Berita kesampaian beliau ke rumah masih belum meluas. Entah di sengaja atau kesilapan parabola setelit, semua sistem telefon bimbit gagal berfungsi dengan baik pada petang itu.
Pukul 5.00 petang orang semakin berduyun-duyun sampai. Kereta semakin berasak-asak. Wartawan-wartawan yang selama ini menunggu 'scoop' berita telah berpusu-pusu ke Damnsara. Semua cuba mengajukan soalan-soalan masa depan politik Anwar Ibrahim.
Maghrib pada petang itu telah melimpah ke kawasan luar rumah. Sebelum Isyaq masuk, Anwar telah memberi sedikit ucapan kerana orang ramai ingin bertanyakan khabar berita. Sayangnya kerana terlalu ramai orang, suara Anwar tenggelam tidak dapat didengari. Tiba-tiba alat pembesar suara muncul.
Selesai Isyaq, berbagai macam jenis manusia bertali arus ke Bukit Damansara. Tiba-tiba jeritan R-E-F-O-R-M-A-S-I berkumandang semula. Para reformis meminta Anwar berucap. Ezam, Azmin dan semua pucuk pimpinan PKR kini tegak berdiri di belakang Anwar Ibrahim. Anwar memulakan pidatonya.
Tiba-tiba telefon bimbit Ezam berbunyi. Rupa-rupanya panggilan dari Hishamuddin Hussein. Hanya pesanan pendek sahaja 'boss apa kabar.. kirim salam pada boss'. Panggilan ini diikuti pula oleh panggilan dari Zahid Hamidi, Aziz Sheikh Fadil, Mohideen Yassin, Megat Junid, Fadil Rahman, Ibrahim Saad - semuanya dengan pesanan yang sama - kirim salam pada boss.
Hanya panggilan telefon dari Ruslan Kassim, Lokman Adam dan Sami Velu sahaja yang tidak dilayani oleh Ezam. Sepanjang malam Ezam dan Azmin tidak putus-putus menerima panggilan talipon dari pelbagai jenis manusia.
Pada malam itu, saya seperti biasa, akan duduk di Restauran Maidin di Bangsar Utama. Minum kopi o kosong sambil melihat puluhan kereta lalulalang menuju ke Bukit Damansara. Kalau saya ahli parti Umno yang tulen esoknya saya akan membaca akhbar Utusan Malaysia untuk menyedapkan hati, kerana berita Anwar bebas hanya mendapat laporan enam inchi di muka lima. Walau pun berita pembebasan Anwar ini telah menjadi induk berita di CNN, BBC World dan CNBC.
Selagi ada Utusan Malaysia, ahli Umno boleh menipu diri sendiri. Tapi saya yang bukan ahli Umno ini merasa risau kenapa mereka ini bebal sangat tidak memahami politik yang dieja dengan huruf k. Apakah mereka akan ditenggelami oleh hujan petang. Dan akan dihanyutkan ke dalam Sungai Klang.
Kali ini si Lunchai akan terjun tanpa labu-labunya. Jangan kita biarkan. Secepat mungkin nasihatkan mereka agar jangan menipu diri sendiri. Minta mereka menghantar pesanan SMS - boss apa khabar. Pesanan singkat ini adalah tiket untuk selamat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment