Friday, March 05, 2004



Latte @ 8 dan 8TV

Kemunculan stesen televisyen 8TV yang sering menggunakan slogan we are different sedikit sebanyak telah menarik perhatian saya untuk kembali menonton siaran televisyen tempatan. Sudah tentu ada faktor penyebabnya yang mana tidak lain dan tidak bukan adalah rancangan live talk show yang dihoskan oleh Jason Lo.

Sehingga detik ini, rancangan ini telah sampai ke episod yang ke 16, tahniah! dan diharap ia akan dapat berterusan dan berkekalan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan rancangan ini terkandung di dalam kategori mesti tonton.

Pertamanya sudah tentu kerana hosnya yang boleh dianggap sbagai pilihan yang paling tepat. Jason Lo yang terkenal dengan lagu Evening News ternyata berjaya menarik perhatian penonton dengan gaya selamba dan tidak maintain seperti Hans Issaac. Namun begitu terdapat beberapa kelemahan yang terdapat pada Jason Lo di mana beliau kelihatan kurang mendalami tentang sesuatu isu yang ingin dipaparkan

Faktor kedua yang juga merupakan faktor terpenting adalah barisan tetamu undangan yang sangat menarik dan berkaliber pada pandangan mata. Tetamu undangan yang muncul di Latte ini kebanyakan sukar untuk dilihat dan didengari suaranya di stesen televisyen lain seperti Ivy Josiah, Kartini Slamah, Samantha Schubert serta persembahan secara langsung dari band-band alternatif dan penyanyi seperti Disagree, Dragon Red, Pete Teo dan sebagainya.

Selain itu, rancangan ini juga dilihat memaparkan isu-isu yang penting dan memerlukan kesedaran masyarakat seperti isu-isu wanita, isu semasa dan seksualiti walaupun ianya tidak dikendalikan secara serius. Rancangan ini juga dilihat dapat menarik perhatian masyarakat bandar terutamanya yang berada di Lembah Klang untuk kembali menonton rancangan di tv tempatan kerana kandungannya yang jauh berbeza dengan rancangan yang seumpamanya di stesen tv lain. Ini tidak menghairankan kerana 8TV telah berjanji untuk membawa kelainan.

Ya! Kelainan telah dapat dirasakan apabila kita menonton rancangan-rancangan di 8TV terutama sekali Latte @ 8. Namun jangan dilupakan, 8TV adalah sebuah stesen televisyen yang bernaung di bawah Media Prima yang turut sama memiliki TV3 dan NST dan di sinilah timbul keraguan adakah 8TV dapat terus kekal dengan slogannya di dalam liputan berita terutama semasa musim pilihanraya sekarang ini? Bolehkah ia bersikap adil dan bebas dan tidak menjadi ejen pembodoh rakyat seperti TV1, TV2 dan TV3?

Soalan ini hanya boleh dijawab oleh CEO mereka, Ahmad Izham dan saya sebenarnya agak skeptikal tentang kebolehan 8TV untuk bersikap adil dan bebas kerana beliau sudah tentu tidak boleh berbuat apa-apa.

Ok, tolak ke tepi soal ini, sekalung tahniah kepada Ahmad Izham dan 8TV dan juga Marion Counter di atas kerja keras dan kreativiti anda di dalam menghasilkan rancangan Latte @ 8 ini!. Sejak hadirnya Latte, aktiviti malam pada hari Khamis dan Jumaat pagi pastinya sama ada berada di Starbucks Sunway Pyramid atau di depan kaca tv, dan kesemua aktiviti lain terbatal dengan sendiri.

No comments: