6 hari terakhir bersama Dr. Mahathir
Terasa cepat benar tarikh keramat pemergian Dr. M menghampiri kita. Pemergian beliau dari jawatan maha penting itu adalah sesuatu yang sukar untuk dijangkakan sebelum ini. Sememangnya Dr. M adalah seorang tokoh yang penuh dengan kejutan dan kontroversi.
Secara peribadi aku amat mengagumi beberapa pandangan dan sikap Dr. M tentang isu global dan Melayu/Islam yang dikira agak progresif dan berani. Salah satunya yang masih segar dalam ingatan adalah tatkala beliau menyeru umat Islam menggunakan akal jika mahu perjuangan Islam berjaya semasa menyampaikan ucapan di Persidangan OIC baru-baru ini.
Aku amat selari dengan beliau kerana mengikut logik dan fikiran rasional, umat Islam dan agamanya akan dipandang sebagai agama yang tidak toleran dan ganas jika pendekatan yang diguna pakai oleh segelintir umat Islam tidak dihalang.
Kuasa akal adalah asas kepada kejayaan dan kemajuan sesuatu bangsa, agama dan tamadun. Pencarian ilmu sains dan teknologi oleh umat Islam adalah suatu jihad yang sangat penting di zaman ini bagi membolehkan umat Islam menjadi peneraju di dalam segala bidang. Tidak dapat dinafikan umat Islam di kala ini adalah sama seperti umat Kristian di dalam zaman gelap.
Namun ucapan berulang kali Dr. M yang menuduh parti PAS sebagai mengharamkan umat Islam untuk mempelajari ilmu selain ilmu agama adalah di antara tuduhan membabi buta dan bersifat dangkal.
Masih jelas di ingatan ketika aku menghadiri Kongres Pendidikan Melayu beberapa tahun lalu, Dr. M menuduh sebegini di hadapan para peserta dan beberapa peserta di sebelah dan juga aku mengeluh agak kuat sehingga didengari sebilangan peserta yang berdekatan, yang aku sangat pasti golongan ini adalah wakil UMNO bahagian atau cawangan yang terpaksa hadir untuk memenuhkan dewan.
Pendekatan sains dan teknologi yang disarankan dan diguna pakai oleh PAS amat jelas adalah berpaksikan kaedah Islam. Sama ada ia adalah pendekatan yang terbaik dan dapat memberi hasil yang terbanyak, itu perlu diperbincangkan oleh golongan yang pakar secara jujur.
Apa yang ditakuti adalah dengan mendiskriminasikan ilmu agama di dalam usaha untuk melahirkan saintis dan teknokrat di kalangan umat Islam, sebilangan umat Islam yang kecewa akan menganggap dan mentafsir ianya sebagai usaha untuk merendah-rendahkan agama Islam yang secara langsung dan tidak langsung akan mengakibatkan tindakan tidak rasional dan seterusnya memburukkan pertelingkahan dua golongan yang bermasalah ini.
Apa yang amat penting, janganlah kerana politik segala macam perkara-perkara yang sangat penting untuk survival umat Islam dan juga semua makhluk di muka bumi ini dipolitikkan ke tahap yang bobrok sekali. Tolonglah UMNO dan PAS!
No comments:
Post a Comment