Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar
Misteri lelaki botak
Tepat jam 11.40 pagi, Amelie Poulain akhirnya menemui rahsia itu - lelaki botak yang fotonya bertaburan dekat banyak mesin mengambil gambar segera di Paris. Nino Quincampoix, kawan lelaki gadis ini, sudah lama mencari misteri lelaki berkepala botak, namun gagal.
Suatu hari dia hampir-hampir menemui jawabannya tetapi lelaki botak itu berlalu begitu pantas. Berkat keghairahannya yang luar biasa, Nino mengumpul banyak sekali cebisan-cebisan foto terbuang, termasuk milik lelaki ini, di dalam satu album tebal.
Sebelum pertemuan secara kebetulan itu, semata-mata takdir, sangka Amelie lelaki botak ini "sudah mati tetapi dia bimbang dilupakan orang; jadi dia merakamkan foto di serata tempat seakan-akan mengirim mesej faksimili dari akhirat."
Walaupun Amelie - gadis yang sangat pemalu dan tidak bergaul sejak kecil - sudah sudah mengetahui rahsia mengenai lelaki botak itu, tetapi tidak sanggup berterus terang kepada Nino kerana dia menaruh hati kepada lelaki itu, yang kebetulan merupakan temannya semasa kecil.
Lalu, disusun pertemuan – seolah-olah tidak sengaja – antara Nino dengan lelaki botak itu bagi meredakan misteri yang bermain dalam minda temannya itu. Pada waktu yang sama, tiba-tiba Amelie semakin sayang pada Nino.
Kita di Malaysia sekarang - seperti Amelie dan Nino - mencari-cari lelaki berkepala botak. Jawapannya mudah dan tidak mempunyai keajaiban agung, tetapi selok-belok fikiran kita sendiri menjadikan kewujudannya suatu misteri.
Lelaki botak itu hanya seorang pembaiki mesin foto segera. Jadi fotonya diambil untuk memastikan peralatan itu sudah berjaya diperbaiki. Oleh itu, fotonya tidak bermakna apa-apa, maka dikoyak dan dibuang walau kualitinya baik sekali.
Keputusan penting
C Wright Mills, intelektual Amerika Syarikat berdepan dengan misteri yang sama – seakan-akan menjawab misteri lelaki botak dalam filem jenaka Amelie, arahan Jean-Pierre Jeunet.
Pada 1959, ketika negara kuasa besar itu sedang menimbangkan campurtangan dalam perang di Vietnam, Mills menulis The Sociological Imagination. Tokoh ini risau keputusan penting pemimpin politik atau kerajaan tidak disanggah oleh kaum cerdik pandai negara itu.
Mills bertanya: "Kenapa pemikir bebas begitu terasing daripada turut menentukan keputusan-keputusan penting orang berkuasa?"
Soalan yang sama ditanya oleh Paul Krugman, dalam satu kolumnya di New York Times pertengahan tahun ini, apabila berjaya didedahkan yang Presiden George Bush mereka-reka alasan untuk berperang dengan Iraq.
Bagi pakar ekonomi ini, tindakan negaranya itu seperti skandal masyhur Watergate ketika Presiden Richard Nixon, tetapi malangnya kini tiada wakil rakyat, media atau cendekiawan yang sanggup mempertikaikan presiden mereka sendiri, "apa yang presiden tahu dan sejak bila dia tahu (penyelewengan) hal itu?"
Tulis Krugman: "Melancarkan perang berdasarkan landasan palsu, paling tidak, merupakan satu pengkhianatan. Jadi jika anda mengaku pada diri sendiri bahawa hal sedemikian telah terjadi, anda (rakyat Amerika umumnya) mempunyai tanggungjawab moral untuk menuntut penanggungjawaban.
Strategi politik
"Tetapi untuk berbuat demikian dengan mendepani tidak hanya sebuah negara berkuasa besar dan keras tetapi juga (rakyat) seluruh negara yang belum bersedia menerima hakikat bahawa pemimpin-pemimpin mereka telah memperalatkan peristiwa 11 September untuk kepentingan politik. Hal ini sangat menakutkan."
Kesimpulan Krugman yang paling menarik dan relevan dengan kita hari ini: "Tetapi jika kita tidak sanggup mendapatkan mereka yang rela menanggung risiko ini – untuk berdepan dengan kebenaran dan seterusnya bertindak menuntut penanggungjawaban – apa akan jadi pada demokrasi kita?"
Sepanjang lima tahun krisis politik-ekonomi sejak 1998, kita mencari-cari golongan cendekiawan, khususnya yang berpengaruh dan berpengalaman, untuk memandu arah ketatanegaraan kita. Tidak kita temui. Segelintir daripada mereka – kononnya strategi politik – terus melompat dan berlubuk bersama pembangkang.
Mereka bercakap penuh jiwa raga dengan lagak tulen orang politik dan mengukuhkan lagi satu kumpulan besar yang sangat dominan, Barisan Alternatif dan rangkaian badan bukan kerajaan (NGO), media dan kumpulan siswa bersama pakatan itu. Kononnya, walau kini sukar dipertahankan lagi, sebagai menampung kekerasan mesin penindasan kerajaan dan birokrasinya.
Suara dari dua tebing ini yang terdengar laungannya.
Sementara seniman, sasterawan, sarjana, wartawan, siswa, budayawan, profesional dan aktivis masyarakat umumnya membisu. Mereka meneruskan kehidupan harian seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Persoalan-persoalan asas kenegaraan – kebebasan badan kehakiman, rasuah, kebebasan akhbar, pilihanraya bebas lagi adil (jurdil), keganasan polis, pengagihan ekonomi (nepotisme-kronisme), tekanan ke atas pengkritik kerajaan, kesewenangan pemimpin negara dan undang-undang keras – dibiarkan berlalu tanpa sebarang rasa gelisah dan bersalah yang menekan-nekan dasar hati mereka.
Sebab itu, apabila kita hadapkan persoalan-persoalan ini, mereka masih tergagap-gagap hendak menanggapinya, gagal merumuskan permasalahan serta lembab pula meletakkan peranan serta kedudukan dalam krisis politik hari ini.
Masyarakat demokrasi
Seperti kegelisahan Mills pada 1959 dan Krugman hari ini, kita mencari-cari "pemikir awam" atau public intellectuals.
Dalam ungkapan profesor Randolf David dari Universiti Filipina, selepas merujuk kepada karya Mills itu: "Tugasan yang boleh diambil oleh seseorang atau segolongan pemikir awam tidak terhad.
Tugasan ini hanya dibataskan oleh daya imaginasi, bukan lingkungan kerjaya mereka. Hubungan tanggungjawab ini dengan pemikir awam akhirnya ialah sejauhmana komitmen mereka terhadap cita-cita terhadap sebuah masyarakat demokrasi."
Mereka perlu muncul dan berperanan segera, sekurang-kurangnya dalam tulisan atau wacana awam. Setidak-tidaknya menjelang pilihanraya umum nanti – sekali lagi gelombang idea (atau kempen dan propaganda) bakal tingkah-meningkah. Kita akan diasak untuk membuat keputusan-keputusan penting, bukan soal tokoh dan parti sahaja, tetapi masa depan bersama.
Pilihanraya bukan saat pengundi memangkah untuk memilih ahli politik. Ia urusan pertandingan idea rakyat untuk didengar oleh orang politik. Parti-parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah hingar-bingar tetapi suara cendekiawan, seniman, sasterawan dan profesional kita di mana?
Kenapa mereka harus bersembunyi di balik orang politik, ketika pilihanraya umum dan masa senggang antara dua pilihanraya umum?
Orang muda sekitar 20-an dan 30-an, khususnya yang belum mewarisi dosa-dosa politik dekad-dekad sebelumnya, kini seperti Amelie dan Nino. Mencari-cari misteri yang remeh-temeh kerana cerdik pandai kita sengaja mengoyak dan mencampak foto mereka di merata-rata tempat.
Pertanyaan Krugman, persoalan Mills atau kebingungan Amelie, kini mengaum-ngaum di telinga cendekiawan kita, kalaulah mereka mahu mendengarnya.
"Jika kita tidak sanggup mendapatkan mereka yang rela menanggung risiko ini – untuk berdepan dengan kebenaran dan seterusnya bertindak menuntut penanggungjawaban – apa akan jadi pada demokrasi kita?"
--------------------------------------------------------------------------------
Sumber:
Idea asas Mills diambil daripada sedutan teks ucapan profesor Randolf David dari Universiti Filipina seperti diterbitkan dalam API Newsletter, No 5, Jun 2003. (boleh didapati di laman web IKMAS, Universiti Kebangsaan Malaysia).
Sementara rencana Krugman diambil daripada terjemahannya (disediakan oleh saya) ‘Rakyat Amerika ditipu’ dalam majalah Siasah, Ogos 2003
"Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (20 Oktober 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com"
No comments:
Post a Comment