Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar
Aktivis Malaysia tidak cintakan buku
Tidak seperti toko-toko gergasi Kinokuniya atau MPH, Pustaka Indonesia - sebuah kedai buku sempit di depan Masjid India - menyimpan rahsia kecil republik jiran kita. Kepada mereka yang gemar memandang rendah republik itu, kedai buku ini boleh mengurangkan rasa prasangka tersebut.
Kedai di Wisma Yakin ini mungkin tidak dikunjungi ramai kerana kedudukannya yang tidak begitu selesa di kawasan kerumunan masyarakat kelas bawah negara ini. Kaki limanya dipenuhi gerai menjual ubat tradisional, kedai-kedai lain pula dipenuhi kitab agama, pakaian murah, dan sejadah. Tidak jauh dari blok ini terletak pula rumah pangsa lama, Selangor Mansion.
Imej kawasan ini terpacak kemunduran, kekotoran (antaranya, najis gagak), sedikit kekelaman (misalnya dulu, dadah atau jenayah kecil), dan barang-barang murah. Ia tidak mungkin dikunjungi oleh khalayak yang ‘canggih’, misalnya pengunjung Bukit Bintang atau Bangsar Baru.
Kawasan ini pernah juga disebut sebagai ‘Little India’ walau pengunjungnya rata-rata Melayu. Menurut maklumat sejarah, kawasan ini menjadi lokasi penempatan awal suku Mandailing, yang berhijrah dari Sumatera, meneroka dan membangunkan Kuala Lumpur lebih kurang 200 tahun dulu. Tapak rumah pengasas bandar ini, Sutan Naposo, dikatakan terletak di Syarikat Kasturi sekarang di Jalan Melayu.
Di toko buku Pustaka Indonesia pula – ruang berjalan kakinya sempit di celah-celah rak buku, dengan tajuk-tajuk agama yang sarat dengan aliran fundamentalisme Islam. Dan bahasa Indonesianya pula bercampuraduk dengan istilah Inggeris, Jawa, Arab dan Melayu yang sukar dimengertikan oleh pembaca kita, walau lulusan universiti. Oleh itu, tidak hairan toko buku ini sukar menggamit pengunjung, tidak seperti Kinokuniya atau MPH.
Perbahasan serius
Namun begitu, kita mungkin terkejut, malu dan mendadak berasa rendah diri apabila berada di Pustaka Indonesia. Di sini kita boleh melihat terjemahan Thomas S Kuhn The Structure of Scientific Revolution, Karl Popper The Open Society and Its Enemies, Bertrand Russell History of Western Philosophy, Benjamin Barber Jihad vs MacWorld, Edward Said (Orientalism atau biografinya terbitan terbaru) atau Francis Fukuyama The End of History.
Karya-karya besar dunia ini atau para pengarang yang dikenali di peringkat antarabangsa, sama ada dari Barat atau bukan, misalnya Martin Heidegger, Georg Hegel, Antonio Gramsci, Noam Chomsky, Aldous Huxley, Kahlil Gibran, Asghar Ali Engineer, Abdoul Karim Suroush (Iran) atau Nawal Saadawi (Mesir) – sekadar contoh kecil – sudah lama diterjemahkan ke bahasa Indonesia.
Nama-nama besar ini, saya yakin, tidak begitu dikenali dalam masyarakat kita, khususnya di kalangan mahasiswa, aktivis muda, kaum profesional atau golongan kelas menengah kita.
Malah di kalangan ahli politik, wartawan kanan, aktivis lama, sasterawan, seniman dan cerdik pandai kita pun, karya-karya ini belum tentu dibaca jika pernah mendengarnya. Walaupun karya-karya ini dalam bahasa Inggeris, boleh ditemui di Kinokuniya atau MPH, tetapi ianya tidak dibaca – apatah lagi diterjemah atau dibahaskan – dengan serius.
Ia dapat dibuktikan lagi dengan karya-karya serius dan bermutu karangan sarjana tempatan. Misalnya, buku profesor Syed Hussein Alatas, The Sociology of Corruption (terjemahan Indonesia, Sosiologi Korupsi) - sebuah karya yang dikenali di arena antarabangsa.
Tidak diperduli
Ianya menjadi bacaan wajib kepada aktivis Indonesia sejak dulu lagi, tetapi karya ini tidak popular di kalangan pemimpin siswa atau aktivis Gerakan Reformasi negara kita yang kononnya menentang rasuah dan KKN. Malah, ramai juga yang tidak mengenalinya!
Begitu juga nasib dua lagi karya pentingya, Intellectuals in Developing Societies dan The Myth of Lazy Natives (dua buku ini telah diterjemah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Intelektual Masyarakat Membangun (IMM) dan Mitos Peribumi Malas). Lebih lucu lagi, terjemahan IMM terbitan DBP pada 1990 diambil daripada terjemahan asal 1987 dalam bahasa Indonesia.
Karya penting pejuang kemerdekaan Filipina, Jose Rizal (gambar) Noli Me Tangere yang diterbitkan dalam bahasa Malaysia pada 1996, sebenarnya adaptasi daripada edisi Indonesia terbitan 1973.
Begitu juga nasib karya-karya sarjana tempatan yang penting seperti Syed Naguib, adik Syed Hussein, atau sekurang-kurangnya pembantu tokoh falsafah sains Islam ini di ISTAC, Wan Mohamad Nor Wan Daud. Karya-karya yang tidak dipedulikan di sini, diberikan perhatian besar di Indonesia.
Jelas sekali, berbanding negara jiran kita yang segar dan rancak dengan idea, masyarakat kita tidak celik budaya dan tumpul intelektualismenya. Maka kita tidak mungkin mengenali sarjana yang baik dan karya yang bermutu dari seluruh dunia.
Akibatnya, pandangan dunia kita menjadi sangat sempit dan terbatas. Kita boleh ‘memaafkan’ orang ramai yang terpelajar tetapi tidak mempedulikan karya-karya baik ini, dalam bahasa Inggeris atau terjemahan. Kejahilan mereka inilah yang menjadikan mereka berprasangka buruk kepada mutu bangsa jirannya sendiri.
Imej buruh kasar
Tetapi haruskah kita memaafkan gejala yang sama di kalangan pemimpin mahasiswa, aktivis gerakan reformasi dan penggerak parti pembangkang?
Apabila seseorang bercakap bahasa Indonesia, walau dia seorang penyelidik dari Thailand misalnya (contoh ini berdasarkan pengalaman sebenar), segera rakyat negara ini menganggap orang itu pekerja asing, sama ada buruh kasar di tapak pembinaan atau pembantu rumah. Nampaknya bahasa Indonesia begitu negatif penerimaannya, tidak seperti bahasa Inggeris di kalangan kita.
Ditambah pula dengan propaganda sistematik kerajaan Malaysia, kerancakan idea serta kualiti sastera-seni Indonesia, khususnya gejala baru selepas kejatuhan Soeharto pada Mei 1998 dan pendemokrasian, kita diingatkan oleh karyawan di sini bahawa "tidak layak kita mencontohi Indonesia". Penulis sendiri sering bertemu dengan sasterawan, penggiat filem atau peminat muzik yang memandang negara jiran itu dengan nafas juling. Kenapa?
Indonesia sering dipaparkan dengan imej kekacauan politik, keganasan, kemunduran dan ekonomi yang tidak stabil. Tetapi itu hanyalah cebisan-cebisan buruk Indonesia, bukan realiti menyeluruh.
Kerancakan terjemahan karya-karya besar ini, dan kemunculan tokoh-tokoh muda dalam pelbagai bidang pemikiran dan seni budaya, harus kita perhatikan sekarang untuk mengukur sejauh mana arus kemajuan sedang melanda republik itu khasnya selepas ‘kemenangan’ gerakan reformasi. Inilah satu-satunya harapan untuk kita melihat Indonesia dengan lebih jernih.
--------------------------------------------------------------------------------
Rujukan
Mohamed Azli Mohamed Azizi (2003) Pembukaan Kuala Lumpur, Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia. Kertas kerja ini, sedutan manuskrip kajian yang disediakan oleh pengarang sebagai timbalan setiausaha agung Lembaga Adat Mandailing Malaysia, pernah dibentangkan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 25 Jun 2003.
Sen, Krishna dan Hill, David (2000) Media, Culture and Politics in Indonesia, Melbourne: Oxford University Press. Buku ini sangat baik untuk mengenali budaya pop Indonesia secara menyeluruh, walau tidak terperinci, khususnya muzik, Internet, industri buku, radio dan televisyen. Ia membahaskan hubungan seni budaya pop dengan kawalan kerajaan serta penentangan daripada golongan seniman, khususnya pada zaman Orde Baru (Orba).
"Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (22 September 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com"
No comments:
Post a Comment