Media Prima
Kewujudan Media Prima yang terhasil dari proses penstrukturan semula MRCB sesungguhnya akan merancakkkan lagi industri media sama ada bercetak dan elektronik. Pengambilalihan Metropolitan TV yang pernah mengendalikan stesen televisyen swasta yang kedua, Metrovision pastinya akan memberikan banyak pilihan kepada penonton setia televisyen terresterial.
Kehadiran Media Prima yang memiliki kepelbagaian di dalam operasinya dilihat seperti ingin menyaingi Astro walaupun masing-masing memiliki segmen perniagaan yang tersendiri. Media Prima yang di dalamnya terdapat sebuah stesen televisyen yang memiliki senarai tontonan yang tertinggi di negara ini, TV3 pastinya akan cuba mengukuhkan lagi kedudukannya dengan menghasilkan program-program yang lebih menarik.
Peningkatan di dalam langganan stesen tv satelit ASTRO yang juga telah menjadikan jumlah penembusan tv satelit di Malaysia kepada 23% adalah satu petanda yang baik. Walaupun mengikut statistik yang terkini, kaum Cina adalah jumlah pelanggan yang teramai iaitu sebanyak 52%, jumlah langganan di kalangan kaum Melayu yang ketika ini sebanyak 32% juga semakin meningkat dari masa ke semasa.
Pasaran bagi kaum Melayu amat penting kerana ia mewakili 51.6% isi rumah di seluruh Malaysia yang memiliki televisyen. Dari sejumlah ini, penembusan tv satelit hanyalah sebanyak 13.6% dan ini menunjukkan bahawa stesen tv satelit ASTRO mempunyai masa depan yang cerah jika dapat mengeksploitasi pasaran ini.
Jika ini terjadi dan aku cukup pasti akan terjadi apabila melihatkan semakin bertambah jumlah masyarakat Melayu di bandar dan juga peningkatan daya fikir dan keterbukaan masyarakat Melayu sekarang berbanding sebelumnya. Persaingan untuk mendapatkan penonton di antara stesen tv terresterial dan tv satelit pasti bertambah sengit dan menarik yang secara langsungnya pasti akan memberi banyak faedah kepada penonton.
Aku amat ternanti-nanti apakah perubahan yang akan dapat dilihat baik dari segi fizikal dan juga kandungan apabila proses penstrukturan ini selesai sepenuhnya. Bagaimanakah nanti agaknya NST, TV3, MTV dan juga stesen radionya? Apa yang kelihatan pasti, mutu kandungan dan persembahan secara umumnya pasti meningkat dan memberikan lebih kepelbagaian kepada penonton.
Namun sesuatu yang barangkali pasti berlaku adalah pendiskriminasian dan laporan berat sebelah terhadap oposisi semasa pilihanraya umum yang akan berlangsung sebelum November tahun depan. Keadaan ini pastinya tidak mengejutkan kerana pihak yang mengawal tidak lain tidak bukan adalah kerajaan yang mengamalkan demokrasi yang selektif.
Selagi tiada kemahuan politik untuk melihat rakyat yang lebih matang dan terbuka dari pihak pemerintah terhadap dasar kawalan media, selagi itulah kita rakyat Malaysia yang prihatin dan peka hanya memberi tumpuan kepada aspek seni dan hiburan, fesyen, sukan, teknologi dsb yang terdapat di dalam media kita.
No comments:
Post a Comment