Surat pembaca The Star dan media di Malaysia
Akhbar The Star edisi 10 Oktober telah menyiarkan satu surat pembaca yang sangat menarik di ruangan Mail. Input yang diberikan oleh penulis yang menamakan dirinya sebagai Amar Tan dari Subang Jaya ini sesungguhnya pasti akan diberi penuh perhatian oleh kerajaan negeri PAS dan parti pembangkang, BN.
Cukup gembira dan berbesar hati dengan penyiaran surat ini yang boleh dikatakan suatu pandangan dan penilaian yang jujur dan terbuka. Syabas kepada editorial yang bertanggungjawab! Aku masih menganggap akhbar The Star adalah akhbar arus perdana yang terbaik di Malaysia walaupun tidak bebas sepenuhnya.
Secara mudahnya, aku mempunyai persepsi bahawa kesemua akhbar yang berbahasa English termasuklah juga akhbar The Edge sebagai satu sumber bacaan yang baik dan tidak memperbodohkan pembaca secara keterlaluan seperti akhbar berbahasa Melayu kecuali artikel yang ditulis oleh Wong Sulong di akhbar The Star. Betapa sedihnya!
Tetapi apa yang lebih aku gemari di akhbar English adalah artikel-artikel yang ditulis di ruangan- ruangan seperti Star Two, In Tech, Life & Times dsb. Antar penulis yang aku gemari adalah Joceline Tan, Brenda Benedict dan Marina Mahathir. Surat pembacanya juga lebih berkualiti daripada Utusan dan Berita Harian. Bahagian berita walaupun tidak begitu berani dan bebas, namun ia tetap lebih baik.
Aku juga mempunyai satu tanggapan bahawa media mana yang dibaca mempengaruhi cara kita berfikir dan bertindak. Oleh sebab itu aku tidak begitu hairan dengan kejumudan, kebekuan minda, kemelayuan terlampau dan segala macam sifat negatif yang wujud di kalangan orang Melayu yang hanya bersandarkan kepada akhbar Melayu.
Kesemua ini cukup merungsingkan aku kerana selagi mana ketebukaan minda tidak wujud, bagaimana mungkin umat Melayu ini ingin membuat anjakan paradigma di dalam segala hal seperti seni muzik dan filem, politik, pendidikan, sains dan teknologi dsb.
Aku tidak begitu kisah terhadap golongan yang membaca akhbar Melayu atau media cetak berbahasa Melayu jikalau di dalam masa yang sama turut membaca majalah Minda, Massa, Siasah, Dewan Masyarakat, I, Majalah PC, Milenia dsb. Tetapi aku cukup gundah terhadap golongan yang sumber alternatifnya adalah Mangga, URTV, Hai, Bintang Hit dan segala macam bahan bacaan picisan lain.
Aku juga amat dukacita dengan kekurangan sumber bacaan berbahasa Melayu yang berkualiti dan kadangkala aku juga mempunyai persepsi bahawa kerajaan sama ada secara sedar atau tidak sedar telah memperbodohkan orang Melayu dan tetapi di dalam masa yang sama menyebar idea akan perlunya sikap terbuka dan matang. Betapa hipokritnya mereka!
Sementara itu, sumber bacaan yang berkualiti di dalam media berbahasa English lebih senang diperolehi dan pelbagai pilihannya seperti The Edge, Malaysian Business, Aliran dsb.
Jalan alternatif yang aku rasakan wujud di saat ini untuk orang Melayu berubah ke arah yang lebih baik adalah dengan membaca media yang ada di dalam kedua-dua bahasa ini dan kepada mereka yang rajin membaca dan mengkaji ilmu dan pemikiran yang terdapat di dalam media berbahasa English, tersangat bagus jika mereka ini dapat menyebar luas pula apa yang diperolehi dan terlebih bagus jika dapat menerbitkannya di dalam majalah, samizat dsb di dalam medium BM. Namun yang lebih superb adalah mempelajari sebanyak mungkin bahasa yang wujud di dunia ini dan membaca segala apa media yang ada.
No comments:
Post a Comment