Syabas Malaysia!
Tahniah kepada Tengku Hazman dan rakan-rakan! Walaupun tanpa beberapa tonggak utama, pasukan Malaysia tetap menunjukkan tahap permainan dan juga taktikal yang baik bagi mengatasi Myanmar dengan jaringan yang agak besar, 4-0.
Namun begitu, keputusan di atas kertas tidaklah memperlihatkan aksi sebenar kedua-dua pasukan kerana di antara Malaysia dan Myanmar, tiada jurang yang jelas kelihatan dan aksi Myanmar pada beberapa ketika tampak mengancam. Mungkin benar apa yang diperkatakan oleh jurulatih Myanmar bahawa Malaysia menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya.
Tetapi jika prestasi yang ditonjolkan pada perlawanan ini dipersembahkan semasa menentang Iraq Jumaat ini, aku tidak pasti apakah keputusannya nanti. Aku cuma berharap agar rakyat Malaysia dapat meluangkan masa untuk hadir ke stadium bagi menunjukkan sokongan kita terhadap pasukan Malaysia bagi melayakkan diri ke pusingan akhir yang akan berlangsung di China tahun hadapan.
Malaysia sebelum ini hanya pernah layak sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1976 dan 1980. Diharap kali ini kita akan layak untuk kali ketiga setelah sekian lamanya menyepikan diri dan peluang untuk layak yang ada kali ini dilihat lebih cerah andainya keputusan seri dapat dihasilkan ketika bertemu Iraq dan menang ketika menentang Bahrain, sebuah pasukan yang pernah kita tumpaskan semasa Pestabola Merdekan 2001 dilangsungkan. Berusahlah Malaysia! Ganbatte!
No comments:
Post a Comment