Monday, October 27, 2003

Komentar Johan Jaaffar di Berita Minggu

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu (M) Berhad ini sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Pandangan yang dikemukakan beliau sewajarnya menjadi bahan perbincangan dan perdebatan khalayak. Sila klik untuk membaca artikel beliau.

Disiarkan pandangan balas saudara Fathi Aris Omar berkenaan tulisan Datuk Johan Jaaffar.

Paradoks Kuala Lumpur!

Jeritan seorang budayawan, waktu-waktu tertentu, mungkin mudah diperkecilkan. Seperti kritik C. P. Snow dalam The Two Cultures (1959) dan kelompok sarjana bersama F. A. Hayek dalam Capitalism and the Historians (1954) terhadap seniman, budayawan atau cendekiawan Barat sendiri.

Seperti juga Goenawan Mohamad tidak suka dianggap “budayawan” jika, katanya, hanya pandai berbicara tentang bermacam-macam perkara yang mereka sendiri tidak tahu.

Namun Johan Jaaffar ketika mengulas kedudukan seni dan masyarakat kita berbicara dengan jujur dan penuh sedar (‘Jangan sampai kesenian bangsa dihina’, Berita Minggu, 26 Oktober). Kebernasan ini sukar lagi disanggah atau dipermain-mainkan, jika kita jujur serta halus mendalami maksudnya.

Dalam tulisan pendek itu, Johan melihat banyak penjuru kelemahan, selain ahli politik, usahawan, kelompok kelas menengah dan juga, tidak lupa, sasterawan dan seniman. Senarai kritikan ini sahaja, jika terus dihurai dan dikembangkan, boleh menjadi sebuah buku tebal.

Dan tanpa ragu-ragu, tulisan bekas wartawan kanan Kumpulan Utusan ini juga menjurus pada dasar pendidikan dan orientasi pembangunan kerajaan kita sendiri – kejujuran seumpama ini sangat sukar kita temui kini pada penulis-penulis kolum di akhbar arus perdana.

“Dalam proses kita menjadi negara maju dan rakyat berminda saintifik, kita perkecil peranan pengajian sastera. Pada akhirnya sastera dipelajari oleh pelajar yang paling lemah dan yang terbaik menjurus pada aliran sains. Sastera hanya untuk manusia yang pengkhayal dan tidak memahami nilai masa dan ringgit,” tulisnya.

“Kita mewujudkan ahli perniagaan, kumpulan profesional, birokrat dan ahli politik yang tidak faham makna sejarah, tidak mengerti seni sastera, tidak menghargai kebudayaan bangsa dan menganggap sastera dan budaya itu untuk orang lalai, keliru dan patah hati.”

Tetapi, dari satu segi, rungutan Johan ini tidaklah ganjil. Ia telah menjadi budaya atau nilai hidup yang dihayati tanpa segan dan silu lagi. Malah, boleh dibangga-banggakan. Justeru kritik Johan dalam kolumnya boleh sahaja berlalu tanpa menimbulkan goncangan kepada birokrat, usahawan, ahli politik dan seniman kita.

Pembaca, khasnya kelompok-kelompok yang dimaksudkan itu, akan tergaru-garu kepala untuk melanjutkan perbahasan ini walhal ia isu besar yang harus diangkat menjadi wacana nasional selama beberapa bulan. Malah, jika kita jujur dan serius, isu seumpama ini layak disusuli dengan kongres kebudayaan kebangsaan.

Atau setidak-tidaknya, tokoh-tokoh masyarakat kita akan turut membahaskan tanggapan Johan ini, mengupasnya dari pelbagai penjuru, tanpa henti-henti. Ibarat Immanuel Kant dan beberapa tokoh lagi menyertai pertandingan esei “Was it Aufklarung?” (Apa itu pencerahan?) dalam majalah Jerman, Berlinische Monatsschrift pada 1784.

Kant waktu itu profesor falsafah tersohor di zamannya tetapi dia tidak malu untuk menghuraikan persoalan yang dianggap terlalu asas, ketika itu Zaman Pencerahan Eropah sudah bergerak 100 tahun sejak berkembang di kepulauan Inggeris.

Benarlah ulas Johan: “ … mereka sebenarnya tidak mempunyai dasar minda yang betul untuk menghayati apa pun.”

Pada hemat saya, rungutan Johan itu hanyalah satu cebisan paradoks Kuala Lumpur – paradoks Bangsar Baru dengan najis gagak dan puntung rokok yang bersepah-sepah, paradoks imej liberal orang muda tetapi tidak banyak membaca, paradoks minum di Bintang Walk dengan asap kereta yang menderu-deru, berpakaian label sejagat tetapi minda kampungan, berkereta mewah tetapi hiasan dalaman di pejabat dan banglonya bunga-bungaan plastik, suka melepak di kafe-kafe di kaki lima KLCC tetapi pandangan dunianya langsung tidak kosmopolitan.

Sesiapa yang berlubuk di kota besar ini akan tersepit di celah-celah manusia dan ruang fizikal yang hilang budaya, akal budi dan seni. “Kita sedang menuju pada krisis kebebalan seni di kalangan rakyat,” tulisnya lagi dalam ruangan ‘Di Luar Lingkaran’.

Dan rakyat yang beliau maksudkan itu bukan di luar bandar atau kelas bawahan di kota tetapi manusia-manusia penting yang turut menentukan keputusan-keputusan asas politik, ekonomi dan seni kita.

Walau begitu, saya kira akan ada pihak atau individu yang tidak memandang positif rungutan ini. Bagi sebilangan orang, ia mungkin satu lagi leteran yang syahdu daripada seorang budayawan Melayu.

Leteran yang berleluasa sejak dekad-dekad lalu tetapi sering diabaikan oleh kumpulan-kumpulan strategik di negara ini. Malah, ia mungkin sahaja dianggap “mengganggu”.

FATHI ARIS OMAR

Bangsar, Kuala Lumpur

No comments: