Ayumi Hamasaki, J-pop dan Malaysia
Kepada mereka yang meminati segala macam budaya popular Jepun, sama ada komik Dragonball, Sinchan, fesyen, muzik, drama dan sebagainya. Tidak dapat tidak nama Ayumi Hamasaki pasti diketahui dan dikenali sama ada secara sedar atau tidak.
Ayumi Hamasaki telah menjadi fenomena dan beliau dianggap sebagai satu simbol atau ikon J-pop yang semakin tersebar ke seluruh pelusuk dunia selain daripada Utada Hikaru dan GLAY.
Pengaruh J-pop telah berkembang di Malaysia terutamanya di bandar-bandar besar dan di mana komuniti Cina adalah majoriti. Namun kebelakangan ini, penerimaan masyarakat Melayu terhadap artis-artis dari Jepun ini semakin meningkat.
Di KL, syurga untuk J-pop terletak di kedai muzik Tower Records KL Plaza di mana terdapat banyak koleksi cd dan juga kaset dari artis-artis Jepun yang terkenal atau tidak. Selain daripada itu, kedai-kedai kecil seperti yang terdapat di S&M Plaza juga sangat menarik untuk dikunjungi kerana walaupun pilihan yang ada hanya terhad kepada artis popular, namun harga di sini agak berpatutan.
Kembali kepada Ayumi, beliau setakat ini telah menghasilkan 5 buah album tidak termasuk dua album khas yang bertajuk, BEST: A BEST dan BALLADS BEST: A Ballads, 30 buah single dan 16 buah remix album.
Yang menarik lagi tentang beliau ini adalah kemampuannya menulis lirik yang baik dan berkualiti. Antara lirik lagu dan juga lagu yang saya minati setelah mendengar kesemua lima buah album beliau adalah A Song For XX, Connected, Naturally, I Am, Surreal, Evolution, A Song is Born, M, Duty, We Wish, Real Me, Hanabi dan Heartplace.
Tidak seperti kebanyakan artis wanita Malaysia yang tidak mampu menulis lirik lagu dengan baik (kalau bolehpun hanya lirik lagu cinta) apa lagi menulis lagu sendiri. Kebanyakan lirik lagu yang ditulis beliau berkisar tentang pengalamannya sendiri serta rakan-rakannya. Beliau juga menegaskan akan menulis segala pengalaman yang dilalui beliau dan rakan-rakan sejujurnya di dalam liriknya seperti yang diperkatakannya di dalam laman web rasminya.
"I like to try to view my own and my friends' experiences objectively, and put my honest feelings into words. If I write when I'm low, it will be a dark song, but I don't care. I want to be honest with myself at all times."
Jika ini dapat dipraktikkan oleh penyanyi-penyanyi wanita kita terutama yang terkenal seperti Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Siti Sarah, Misha Omar, Ziana Zain dan sebagainya, industri muzik Malaysia pasti akan berkembang baik dari segi pemikiran, variasi dan kualiti.
Ketika ini amat sukar untuk mendengar lirik dan juga lagu yang ditulis oleh artis wanita kita yang selain daripada lirik cinta. Jika dibuat perbandingan dengan artis J-pop dari segi kejujuran, pemikiran dan keaslian, ia seperti langit dan bumi. Tidak dinafikan artis wanita Malaysia memiliki suara yang baik dan berkualiti, namun artis wanita Jepun walaupun tidak kesemuanya bagus juga memiliki kualiti yang sama. Malah ada kelebihan yang lain pula.
Mungkin kita menantikan kemunculan penyanyi-penyanyi wanita generasi baru yang mempunyai prinsip dan dapat lari kejijikan nilai pemikiran artis wanita arus perdana seperti yang dapat dibaca di URTV dan Mangga terutamanya.
Klik untuk profil
Klik untuk latar belakang
Klik untuk senarai album
Klik untuk lirik
No comments:
Post a Comment