Saturday, October 04, 2003

Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar

Hollywood, dangdut dan ‘Manggakini.com’

Seronok juga membayangkan majalah Mangga ‘dihibrid’ atau ‘dikahwinkan’ dengan malaysiakini. Atau Yusof Haslam dengan U-Wei Hj Saari. Barangkali ‘perkahwinan’ ini boleh melahirkan ‘Manggakini.com’, seperti muncul La Femme Nikita dan Fifth Element, siri drama televisyen NTV7 atau ‘dangdut reggae’.

Bukan main-main, tetapi ‘perkahwinan’ ini ialah isu sangat serius hingga sasterawan negara A Samad Said, malah intelektual Perancis, sendiri gagal mengkhayalkannya. Kejatuhan industri filem Perancis di tangan asakan Hollywood berpunca daripada kegagalan berfikir tentang jenis ‘perkahwinan’ ini.

Tidak seperti kejayaan Pokemon, siri animasi Jepun di Amerika Syarikat dan serata dunia. Animasi ini berjaya menyelesaikan isu perkahwinan ini dengan serius. Mereka telah berjaya menemui rumusan atau resipi perkahwinan yang boleh meletakkan produk budaya ini dalam arus pop yang melangkau sempadan negara.

Sasterawan, ahli akademik, seniman, pengamal media dan aktivis kita sering merungut tentang kemelut ini – bagaimana produk budaya yang serius, ‘bermutu’ dan berdaya fikir boleh tewas di tangan karya yang ‘tidak serius’, sensasi dan tidak menyampaikan daya fikir.

Misalnya, novel A Samad Said atau sasterawan-sasterawan negara sukar sekali dijual kerana tidak mendapat sambutan sedangkan mereka tokoh besar. Tanpa syarat belian tertentu, kerana karya-karya ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (agensi Kementerian Pendidikan), mungkin hanya beberapa ribu naskhah sahaja mampu terjual.

Tidak laris

Berbeza dengan novel-novel pop masa kini, khususnya bertemakan cinta, yang terjual di pasaran terbuka sekurang-kurangnya 20,000 naskhah bagi cetakan pertama. Sekarang wujud trend membaca novel Melayu yang tebal-tebal ini di kalangan pembaca wanita, pengarangnya juga wanita, selalunya diterbitkan oleh Creative Enterprise (penerbit Gila-Gila) atau Alaf 21, sebuah anak syarikat penerbitan gergasi Kumpulan Karangkraf.

Filem yang diterbitkan oleh U-Wei Hj Saari - Jogho atau Kaki Bakar – sering dikaitkan dengan pemikiran, mutu, atau idea ‘tinggi’ – dianggap kalah di tangan pengarah Yusof Haslam. Walau filemnya Sembilu, Maria Mariana atau Maria Mariana 2 sering dicemuh oleh pemikir dan peminat filem ‘serius’ tetapi kutipan untuk filemnya boleh mencecah sehingga RM6 juta.

Begitu juga buku-buku umum (atau berorientasikan akademik) dan juga majalah yang serius tetapi gagal dilariskan di pasaran. Misalnya majalah-majalah Tamadun, Konsep, Ummi, Muslimah (semuanya tidak lagi beroperasi), Siasah (ditutup sementara) , Massa (bakal ditutup) atau Al-Islam (sedang diberikan nafas baru) dibandingkan dengan Mangga, URTV, Media Hiburan, Mastika, Wanita atau Gila-Gila.

Kelarisan dua kelompok majalah ini begitu menjolok mata. Lalu, ia menjadi persoalan besar. Kenapa boleh wujud dua ekstrem ini, tanpa spektrum produk antara kedua-duanya? Persoalan lain yang berbangkit antaranya, apakah ini membayangkan khalayak kita tidak suka berfikir, oleh itu mereka tidak berminat menghadam karya-karya ‘serius’, sehingga mengancam penerbitannya?

Justeru ada pihak membuat kesimpulan bahawa gejala ini mengukuhkan lagi ‘teori’ mereka betapa ‘lemahnya daya fikir’ masyarakat kita. Tetapi pada hemat saya, kesimpulan ini didasarkan pada kejahilan, pendangkalan isu dan pandangan simplistik. Nampaknya, yang gagal berfikir dengan ‘serius’ dan mampu pula memecahkan kebuntuan ini bukan peminat karya-karya pop tetapi pemikir bangsa (atau kita sendiri)!

Peminat tulen

Gejala yang seakan-akan sama sudah lama dialami oleh pembikin filem dan intelektual Perancis vis-à-vis kemasukan dan kandungan filem-filem Hollywood. Intelektual Perancis sering memandang negatif dan memperlekehkan nilai pop filem Hollywood, sementara penggiat filem Paris berbangga dengan nilai estetik – filem sebagai karya penuh seni – dan kerajaannya terus membekal subsidi atau amalan perlindungan industri itu.

Dalam mesyuarat tentang pelupusan tarif GATT di Pusingan Uruguay awal 1990-an, Perancis berdegil mempertahankan kawalan ke atas industri ini beralasankan "mempertahan Eropah daripada pengAmerikaan budaya."

Perancis masih menjadi pengeluar filem terbesar di benua itu, sementara negara-negara lain sudah tunduk kepada Hollywood. Lapan puluh peratus filem di negara-negara Eropah kini dibolot pembikin di California itu.

Hakikatnya, walau industri pandang-dengar lumayan, Perancis tidak mampu bersaing di luar negara. Di Amerika Syarikat sendiri, tempat asal peminat filem Eropah itu, filem Perancis sukar mencecah khalayak pop walau dengan usaha mengalih suara atau menyediakan sari kata.

Pendekatan ini sebaliknya melarikan peminat tulennya yang menggemari filem Perancis yang penuh seni. Tetapi usaha membikin semula (re-make) filem Perancis di tangan Hollywood berjaya. Tetapi Hollywood terus mendapat sambutan hangat di negara Eropah itu, perlahan-lahan mengubah selera penonton sejak selepas Perang Dunia Kedua lagi.

Selera pop

Sekarang (ketika kajian ini dibentangkan, 1996), hampir 70 peratus filem dikuasai Hollywood, sementara bakinya dipenuhi filem-filem Perancis yang tidak lagi ‘berseni’, sebaliknya mempunyai ciri-ciri filem Hollywood – penuh aksi, komedi, seram-jenayah dan ‘sensasi’.

Intelektual dan pembikin filem di negara Eropah itu sering berbangga dengan nilai estetik. Seorang pengarah muda misalnya berbangga walau filemnya hanya ditonton 300 orang asalkan mendapat ulasan di Le Monde, akhbar tersohor serius di negara itu.

Jalan ceritanya pula moody, melihat ke dalam diri, tanpa aksi rancak, dan drama manusia yang sukar diselami penonton. Formula ini tidak sesuai untuk selera pop atau box-office, tidak seperti filem Hollywood (atau mungkin juga Bollywood).

"Orang Amerika bukan tahu erti ‘budaya’. Tidak sampai 10 peratus rakyatnya terdidik dengan budaya seperti yang kita fahami di Eropah. Sebuah filem macam The Visitors terlalu sukar dimengertikan oleh mereka. Ia memaparkan Zaman Pertengahan yang tidak diketahui oleh rakyat biasa Amerika … Wayang bagi mereka hanya sejenis alat permainan video yang besar," kata Daniel Plantier, ketua Unifrance, agensi pemasaran filem negara itu.

Plantier juga bagaimanapun turut menyerang pembikin filem negaranya yang bermegah membuta-tuli dengan filem berseni atau percubaan yang sukar menembusi pasaran antarabangsa.

Mencari formula

‘Kebekuan’ filem Perancis vis-à-vis Hollywood bagaimanapun bukan persoalan kandungan atau teknik sahaja tetapi melibatkan banyak aspek lagi. Lebih tepat, ‘ekologi seni’ – isu-isu di luar karya dan seniman seperti struktur industri, pemasaran, pembikinan dan juga gaya sinematik.

Saya kira persoalan seumpama inilah – Perancis dengan Hollywood – yang gagal dipecahkan oleh cerdik pandai kita, sama ada aktivis, seniman, pengamal media, sasterawan dan ahli akademik.

Maka, usaha mempopularkan sesuatu produk budaya tersekat di tengah jalan, tidak mencapai khalayak pop. Lalu idea ‘tinggi’ yang diniatkan untuk disampaikan kepada orang ramai tidak berjaya turun ke bawah.

Hollywood sentiasa sedar apa erti pasaran. Pengeluar filemnya cuba mencari formula untuk memuaskan khalayak dan sentiasa berdaya inovasi. Mereka cuba sedaya upaya menyesuaikan diri dengan persekitaran sehingga melahirkan produk budaya yang bersifat ‘hibrid’.

"Pembikin filem Amerika telah belajar bagaimana mengeluarkan filem untuk penonton yang merentasi kelas (sosial), melangkaui sempadan negara, yang menjadikan filem-filem itu daya tarikan kepada khalayak di luar Amerika," kata profesor Richard Kuisel dalam Transactions, Transgressions, Transformations.

Identiti nasional

Contohnya, pengarah, pelakon, lokasi penggambaran dan jalan cerita diambil dari beberapa negara. Misalnya dari Hong Kong atau Eropah. Filem Amerika nampaknya memakai formula syarikat multinasional (MNC) negara itu yang menempatkan pecahan-pecahan aspek pengeluaran sesuatu barangan, komputer atau kasut misalnya, di banyak lokasi sehingga sukar ditentukan negara pengeluar sebenar buatan itu.

Akhirnya filem-filem Hollywood menjumpai rumusan wayang tanpa batasan sempadan selera khalayak di sesuatu negara. Ia dianggap simbol globalisasi sinema. Begitu juga semangat yang ada pada irama lagu dangdut di Indonesia – ada daya adaptasi yang tinggi untuk sentiasa mengharungi kepelbagaian muzik.

Muzik yang berasal dari orkestra Melayu tetapi terpengaruh dengan irama filem Hindi, pada awal 1960-an, sentiasa menyerap muzik-muzik popular di peringkat dunia: rock, reggae, mandarin dan disko.

Muzik kelas bawah yang diejek pada asalnya – tetapi berkat daya adaptasi – membolehkan dangdut menjadi muzik besar yang membawa identiti nasional negara itu hingga terasa tempiasnya ke Malaysia dan selatan Thailand.

Rumusan menyelesaikan kemelut antara produk ‘serius’ dan berdaya fikir dengan aspek komersialisme mungkin ada pada Hollywood dan dangdut. Persoalan ‘perkahwinan, atau hybridization, produk budaya harus direnung sungguh-sungguh.

--------------------------------------------------------------------------------
Rujukan
Fehrenbach, Heide dan Poiger, Uta, ed. (2000) Transactions, Transgressions, Transformations: American culture in Western Europe and Japan, New York: Berghahn Books. Bab ‘The French cinema and Hollywood’ hal 210-221

Sen, Krishna dan Hill, David (2000) Media, Culture and Politics in Indonesia, Melbourne: Oxford University Press. Bab ‘The music industry: performance and politics’ hal 174-176

Tjetjep Rohendi Rohidi (2000) Ekspresi Seni Orang Miskin, Bandung: Nuansa. Bab ‘Antara seni kasar dan seni populer’ hal 108-118

"Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (29 September 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com"

No comments: