Thursday, October 30, 2003

Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar

Merobek-robek citra Cak Nun

Emha Ainun Nadjib, penyair dan penggiat masyarakat di Jawa Timur, datang ke Malaysia dengan acara seni yang ketat. Selain persembahan bersama kumpulan gamelan Kiai Kanjeng, budayawan ini juga menyampaikan pidato umum di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Emha, yang juga popular sebagai Cak Nun, memang sasterawan dan penulis kolum yang berani mencabar Orde Baru sejak awal 1980-an lagi. Beliau kini bergerak sangat aktif bersama kumpulan muziknya dalam pelbagai kegiatan masyarakat – seolah-olah seorang penggerak politik di peringkat akar umbi.

Dalam bicaranya Selasa lalu, dengan jimat tetapi tepat, Cak Nun merumuskan kedudukan seni, seniman, budaya, perjuangan bangsa Indonesia dan cabaran globalisasi. Dia juga tidak segan silu menyebutkan kewajiban seniman dalam proses politik.

"Saya sekarang tidak lagi bergiat aktif dalam politik. Tetapi jika pemimpin politik bersifat diktator (seperti presiden Soeharto), seniman (Indonesia) tentu akan berperanan lagi," katanya, sepintas lalu begitu, menjelaskan hubungan dirinya dengan tekanan politik, khasnya tangkapan polis.

Emha termasuk lima tokoh di republik itu, bersama sarjana besar Nurcholish Madjid (Cak Nur), menulis surat bagi menggesa presiden Soeharto meletakkan jawatan pada saat-saat genting reformasi Mei 1998.

Mereka berdua juga adalah antara tokoh yang mencadangkan pembentukan jawatankuasa reformasi bagi menggantikan kabinet Soeharto dan pembentukan Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) yang baru – walaupun saranan ini digagalkan oleh projek politik Amien Rais (waktu itu bersama Adnan Buyong Nasution dan Goenawan Mohamad).

Kebangkitan siswa

Emha (kiri), teman rapat bekas presiden Abdurrahman Wahid (Gus Dur) dan WS Rendra, sudah banyak kali membela rakyat yang tertindas dan sering berada di belakang bantahan siswa reformasi lima tahun lalu. Dia juga dekat dengan anak-anak muda beraliran kiri Partai Rakyat Demokratik (PRD), kelompok awal yang mencabar Orde Baru sebelum kebangkitan sistematik siswa Indonesia pada awal 1998.

"Emha terus berjuang melalui kesenian bagi menyelamatkan jiwa raga rakyat yang bermasalah dari rejim Soeharto ke Habibie, ke Gus Dur dan kini Megawati," tercatat dalam buku ringkas terbitan pihak penganjur, Persatuan Penulis Nasional (Pena), sempena kunjungan seniman ini sejak 18 Oktober lalu.

Dalam wawancara ringkas dengan sekumpulan wartawan (termasuk saya), Emha mengingatkan kita agar tidak terlebih-lebih memandang tinggi seni dan seniman di mata masyarakat. Sebaliknya dia mencadangkan pendidikan politik – menggunakan seni – bagi memberdayakan rakyat, khususnya sebagai ‘pertahanan budaya’ ketika mendepani arus deras globalisasi yang ditunggangi kaum pemodal dan budaya konsumerisme.

Walau penuh warna-warni dan misali sekali Cak Nun – sama juga kedudukan Pramoedya Ananta Toer, Rendra atau Goenawan – tetapi seniman, budayawan dan intelektual kita selalunya juling atau rabun.

Oleh itu bicara Emha sebagai seniman independen dalam konteks kehidupan bernegara di republik itu, walau bernas dan relevan dengan kita di Malaysia, akan berlalu begitu sahaja.

Jika dia datang lagi dan berbicara beberapa kali di negara kita (termasuk kepada khalayak yang sama), begitulah sikap budayawan, seniman dan cendekiawan kita: menyaring dan terus menyaring Cak Nun!

Pendukung utama

Emha dan Kiai Kanjengnya akan hanya dinikmati serta diingati sebagai ketua kumpulan pemuzik gamelan, yang hadir bersama isterinya yang comel dan gemar berceloteh isu-isu semasa. Wawasan seninya, peranan kesenimanannya dan saranannya kepada kita boleh sahaja diabaikan.

Lihat laporan-laporan Berita Minggu (ruangan ‘Sang Lamri’ dan Mingguan Malaysia (bahagian ‘Pancaindera’) semalam – bagaimana media arus perdana menyaring citra menyeluruh Cak Nun dan membawa imej biasa selebriti, seolah-olah Britney Spears, Aishwarya Rai atau Sarimah Ibrahim.

Goenawan (kiri) pernah hadir atas jemputan rasmi birokrasi seni negara ini tetapi bekas pemimpin Tempo ini hanya dikenang sebagai penulis, budayawan atau pemikir Indonesia yang tinggi nilai prosa dan cendekianya.

Mas Goen, nama pendeknya di kalangan aktivis, tidak akan diingat sebagai pendukung utama kebebasan berfikir dan bersuara seperti pembabitannya menubuhkan Institut Studi Arus Informasi (ISAI) dan juga tulang belakang Aliansi Jurnalis Independen (AJI) bagi mendobrak tekanan politik Soeharto terhadap kebebasan media sejak 1994.

Novel Pram atau puisi Rendra mendapat ikutan yang luas juga di sini tetapi cukuplah nilai sastera karya mereka dinikmati. Lupakan proses politik dan peranan yang menjadikan dua tokoh ini bermakna dalam konteks karya dan negara mereka.

Kita sukar lekang daripada filem-filem Hindi, khususnya sebelum kebangkitan era filem cinta Kuch Kuch Hota Hai beberapa tahun lepas. Tetapi kita, khasnya kaum ibu dan wanita, tidak pernah mempelajari yang jernih daripada filem-filem Bollywood itu sejak 1970-an – tentang perjuangan menentang penindasan ke atas rakyat bawah, rasuah, kebejatan sistem kehakiman, penyelewengan polis atau sikap buruk golongan kaya.

Penyaringan budaya

Bagi kita, filem Hindi hanyalah lagu-lagu dan tariannya yang mengasyikkan, heronya yang kacak dan pasangannya yang manis! Penyaringan yang sama berlaku pada muzik underground dan pop kita.

Emha, ketika berbicara di DBP pada 21 Oktober, hanya seorang penyajak yang cuba memasyarakatkan puisi. Kita enggan mengangkat wawasan seninya. Malah, jika ada di kalangan kita yang mengangkat wawasan seni Emha, kumpulan ini dianggap pelik walaupun nada serta fokusnya sama sahaja dengan Emha.

Cak Nun – pada mata kita – bukan penggiat sosial independen serta seniman yang mempunyai peranan politik nasional dan pembina sosio-budaya rakyat bawahan di celah-celah kekalutan Indonesia.

Penyaringan budaya atau menyusun semula konteksnya daripada simbol atau makna asal sering terjadi di negara kita, sesuai dengan cita-cita kerajaan untuk menyahpekakan politik daripada segenap segi kehidupan, termasuk kesenian atau budaya pop.

Soeharto memang mahu budaya atau seni pop yang gersang politik, sementara presiden Soekarno pula ingin seni dan budaya dipolitikkan mengikut citarasa nasional dan ideologi negara.

Tetapi Rendra, Goenawan, Emha, Pramoedya, Iwan Fals atau Wiji Thukul sering mengembalikan makna serta resah kepolitikan seniman dalam luahan kreatif mereka walau terpaksa berdepan dengan kekuatan jentera politik pemerintah masing-masing.

Ruang idealisme

Namun dimensi seumpama inilah yang tidak mahu diiktiraf oleh budayawan dan seniman Malaysia. Mereka tidak sanggup bergelut dengan kesenimanan seumpama ini, lalu mereka merobek-robek makna dan citra syumul seniman-sasterawan Indonesia.

Budayawan dan seniman kita dihantu bayang-bayang estetik luahan seniman dari negara jiran tetapi tidak sanggup memikul peranan kepolitikan yang turut mengangkat darjat mereka di republik itu.

"Seperti yang disebut oleh (sasterawan muda berbakat dan terkenal) Faisal Tehrani … kita tidak boleh menggunakan situasi di Indonesia untuk mewajarkan ruang idealisme di Malaysia," tulis SM Zakir, juga pengerusi forum ‘Seni dan Politik’ awal tahun ini.

"Dan bagi saya pula, sehebat mana pun Goenawan Mohamad, WS Rendra dan Pramoedya di mata Fathi (Aris Omar), mereka tidak menyumbang apa-apa kepada pembentukan ruang awam di Malaysia," tambah penulis muda ini, dalam polemik ringkas kami tentang keperluan ruang awam untuk kelangsungan seni budaya.

Pada minggu lepas, di DBP, saya tidak fikir kumpulan seniman dan budayawan yang mengikuti bicara Emha itu dapat menerima kebulatan ideanya. Cak Nun akan disaring dan dirobek-robekkan.

Penyaringan itu pula sejajar dengan kehendak "meta-wacana" yang dipopularkan oleh pihak berkuasa negara ini – penyahpolitikan seni dan budaya. Kerana terlalu biasa, mungkin seniman, sasterawan dan cendekiawan kita tidak sedar mereka sering menapis.

Hakikatnya, pertembungan budaya asing di negara-negara lain, atau antara kumpulan-kumpulan sosial, sering berlaku. Gejala penyaringan atau penyusunan semula konteks tidak ganjil.

Budaya pop Amerika

Penafsiran semula simbol atau makna dalam hubungan antara budaya, atau interculturalism, selalunya berlaku untuk mengelak kesan-kesan yang dianggap "merugikan" kumpulan penerima. Sering, para pengawal dalam kumpulan penerima – atas nama politik, agama, budaya atau ekonomi – akan memburuk-burukkan kehadiran budaya baru.

Kedatangan budaya pop Amerika Syarikat di negara Eropah Barat atau Jepun sering digambarkan buruk. Misalnya, pihak berwajib di dua wilayah ini sering menuduh budaya pop Amerika membawa "kewanitaan yang berdaya seksual dan kejantanan yang berlebihan"

Pada hakikatnya, hujah Heide Fehrenbach dan Uta Poiger ialah negara Eropah Barat dan Jepun bertujuan menolak produk budaya yang diimport dari Amerika dan mengongkong tingkahlaku pengguna, khususnya wanita, yang menjadi sasaran utama iklan dari negara itu. Budaya pop Amerika menggoncang kepentingan ekonomi-politik mereka, bukan soal imej atau takrif kejantinaan.

Saya kira, usaha merobek- imej Pramoedya, Rendra, Goenawan atau Emha di sini, datang daripada kebaculan, kejahilan serta kemalasan seniman dan budayawan kita. Seniman dan budayawan yang terlalu lama dibelai oleh subsidi dan kebergantungan kepada kerajaan.

Seniman dan budayawan kita, khususnya yang tua-tua, tidak mungkin berjaya mencerahkan minda kita, apatah lagi menganjak peradaban bangsa. Mereka enggan melihat pertembungan budaya, dalam konteks ini, hubungan Malaysia-Indonesia, sebagai langkah menyiasat kelemahan diri dan akur pada kebenaran yang lebih tinggi.

Dalam bahasa lebih ilmiah, "wacana antarabudaya", kata Bonnie Marranca. Mereka enggan mencari kebenaran yang lebih dalam dan tuntas, seperti telah disuarakan oleh wakil muda mereka, Faisal Tehrani dan SM Zakir.
--------------------------------------------------------------------------------
Rujukan
Fehrenbach, Heide dan Poiger, Uta, ed (2000) Transactions, Transgressions, Transformations: American culture in Western Europe and Japan, New York: Berghahn Books. Lihat ‘Introduction’, hal xv.

Marranca, Bonnie dan Dasgupta, Gautam, ed (1991) Interculturalism and Performance, New York: PAJ Publications. Bab ‘Thinking about interculturalism’ hal. 11

Sen, Krishna dan Hill, David (2000) Media, Culture and Politics in Indonesia, Melbourne: Oxford University Press. Bab ‘The music industry: performance and politics’ hal. 177-184 tentang peranan politik muzik-muzik underground dan pop ketika pemerintahan Soeharto. Kenapa dua gejala ini tidak berlaku di Malaysia? Lihat juga bab ‘The Internet: Virtual politics’ hal. 200 yang menunjukkan anak-anak muda suka bahan-bahan politik daripada pornografi. Oleh itu, bahan-bahan ini menjadi kebimbangan Orde Baru, bukannya pornografi!

SM Zakir (2003) ‘Ruang awam: Ideal atau utopia?’ dalam Mingguan Malaysia, 15 Jun

"Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (27 Oktober 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com"

No comments: