Dasar Pro-Kemiskinan perlu dilaksanakan
Membaca artikel yang disiarkan di Asia Times yang sepatutnya ditayangkan di dalam program Fokus Asia di saluran Star TV ahad lepas sebenarnya tidaklah memeranjatkan. Masyarakat India di negara ini secara sedar dan tidak sedar telah dimarginilasasikan oleh kerajaan Malaysia.
Di kala kaum Melayu yang dibantu oleh Dasar Ekonomi Baru dan kaum Cina yang dibantu oleh sikap semula jadinya yang dikagumi semakin maju, kebanyakan masyarakat kaum India masih tertinggal. Peranan MIC yang berada di dalam gabungan parti pemerintah yang membentuk kerajaan di dalam memajukan masyarakat India seharusnya boleh dipersoalkan.
Satu perbincangan atau kongres yang terbuka dan sejujurnya yang melibatkan semua pihak yang prihatin dan peka tentang permasalahan sosio ekonomi masyarakat India perlu diadakan. Ini kerana permasalahan ini secara langsung juga mempunyai kesan yang signifikan di dalam pembentukan struktur sosio ekonomi negara kita. Jangan digunakan perkataan isu sensitif untuk menutupi kelemahan dan keburukan yang wujud.
Aku amat berharap agar majoriti kaum India juga dapat bersama-sama merasai kenikmatan yang ada. Apa bezanya peneroka Felda yang majoritinya Melayu serta dibantu sepenuhnya dengan pekerja ladang berketurunan India yang tidak dipedulikan? Mengapa anak orang Melayu dapat menyambung pelajaran dengan mudah dan hanya membayar sedikit sedangkan anak orang Cina terpaksa ke institut pengajian swasta dan membayar lebih, itupun setelah kedua ibu bapa mereka berpenat lelah mengumpul wang, bandingkan ibu bapa orang Melayu yang malas berusaha, menyerah kepada takdir dan yang lebih malang lagi, asyik mengkritik itu dan ini.
Orang Melayu perlukan revolusi pemikiran, dasar yang pro-kemiskinan tanpa mengira bangsa perlu wujud dan jangan lupa, andai kata ia dilaksanakan, penerima di bawah dasar ini sangat perlu untuk cuba tidak mendapatkannya lagi.
No comments:
Post a Comment