Wednesday, May 12, 2004

Berjuanglah Malaysia! Tahniah skuad wanita!



Malam ini akan berlangsung pertarungan suku akhir Piala Thomas di antara dua musuh tradisi badminton dunia, Malaysia dan Indonesia. Di atas kertas, ramai pihak merasakan bahawa peluang adalah tipis untuk kita memenangi perlawanan ini. Sikap skeptikal rakyat Malaysia di dalam acara sukan sudah diketahui ramai dan ianya sentiasa benar.

Namun saya merasakan bahawa Malaysia mempunyai peluang yang sama rata untuk memenangi pertemuan ini. Ini berdasarkan bahawa di dalam pertandingan berpasukan seperti ini, lazimnya pasukan mana para pemainnya beraksi hebat pada hari perlawanan dan dibantu oleh semangat juang yang tinggi, pasukan tersebut pasti akan muncul sebagai pemenang.

Lihat sahaja contoh di ketika pasukan negara mengalahkan China di hadapan penyokong mereka sendiri pada edisi yang lepas dan di kala itu, Lee Tsuen Seng yang tidak dikenali umum menjadi di antara wira negara.

Satu faktor lagi yang memungkinkan kemenangan Malaysia adalah berdasarkan fakta bahawa pada edisi kali ini, peluang 5 negara yang terdiri daripada China, Malaysia, Denmark, Korea Selatan dan Indonesia untuk muncul sebagai juara adalah seimbang walaupun diakui negara China kelihatan lebih hebat daripada kesemuanya. Satu lagi fakta yang menarik adalah tuan rumah kali ini iaitu Indonesia telah diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan.

Walau apapun, jangan lupa untuk semua kita rakyat Malaysia menonton pertarungan dua musuh tradisi yang sentiasa hebat ini malam ini di kaca tv. Sebelum itu, tahniah kepada pasukan wanita negara kita yang sentiasa mencipta sejarah satu dua tahun kebelakangan ini kerana layak ke peringkat suku akhir setelah menewaskan Australia 3-0. Tahniah Wong Mew Choo, Chin Eei Hui/Wong Pei Tty, Woon Sze Mei dan semuanya. Tahniah kalian! Malaysia Boleh!

Laman web rasmi Piala Thomas 2004
Worldbadminton.net

Siaran Langsung

TV1, 8 malam
Astro Supersport(80), 8 malam

No comments: