Najib! Ini bukan isu perkauman
Isu kegagalan 128 orang pelajar yang gagal untuk mengikuti kursus pilihan pertama mereka iaitu perubatan walaupun mendapat nilai CGPA 4.00 telah mendapat publisiti yang meluas di semua media tempatan.
Boleh dikatakan kebanyakan media kelihatan berat sebelah di dalam laporan mereka terhadap isu ini. Bagaimana? Sudah tentulah ia mengikut kepada jenis bahasa akhbar tersebut. Melayu dengan melayunya, Cina dengan cinanya, India dengan indianya dan English dengan bukan melayunya. Kenapa ini terjadi? Jawapannya tanyalah pada rakyat tipikal Malaysia dan pemimpin BN yang sering kali bangga dengan kestabilan kaumnya.
Saya tidak mengetahui bagaimana media-media bukan berbahasa Malaysia memainkan isu ini, namun saya sebagai orang Melayu terasa amat malu dan hina dengan ruangan kartun senyum kambing yang tersiar di muka hadapan Mingguan Malaysia 30 Mei.
Dialog di dalam kartun tersebut berbunyi, "Ada yang terus mempersoal pengambilan ke IPTA" yang kemudiannya disusuli oleh dialog "Sistem kuota ditolak, meritokrasi pun tak kena. Apa mereka mahu?".
Jawapannya adalah sistem meritokrasi tulen!
Saya sungguh sedih melihat dialog tersebut, bayangkanlah bagaimana ia akan meracuni kebanyakan pemikiran orang-orang Melayu yang membaca akhbar tersebut yang pada hipotesis saya tidak mempunyai tahap pemikiran kritikal. Sudah pastilah selepas membaca dialog tersebut, perkataan seperti "pukimak punya Cina" dan lain-lain lagi akan terpacul keluar.
Apabila ini berlaku, usahlah poyo-poyo bercakap soal perpaduan lagi. Perpaduan yang sejati atau hampir sejati yang berpaksikan kepada keadilan, kesamaan dan hormat tidak akan wujud selagi mana tiada revolusi sosial di negara ini dan juga perubahan mentaliti di kalangan rakyat. Siapa yang bertanggungjawab terhadap situsai yang ada sekarang? Sudah tentulah saya menuding jari kepada bekas penjajah kita, Barisan Nasional dan sedikit sebanyak PAS.
Apa yang lebih menyedihkan hati apabila membaca kenyataan TPM yang berbunyi, "He urged political parties to be more responsible and stop “playing racial and cheap politics” that stirred up racial emotions among the people". Kenyataan ini mengundang pelbagai persoalan tentang siapakah sebenarnya yang bermain perkauman atau adakah isu ini sebenarnya bersifat perkauman bukannya keadilan sosial?
Sikap yang ditunjukkan oleh Najib dan juga Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Hassan Said yang seperti lari dari persoalan sebenar amat mengecewakan. Kedua-dua mereka ini dilihat tidak mempunyai jiwa yang besar dan dilihat lebih suka bermain politik selamat.
Persoalan sebenar yang saya lihat di dalam isu ini seperti yang telah ditegaskan pada tulisan saya yang lepas adalah tentang soal keadilan dan kesamaan. Persoalannya mengapa masih ada sistem matrikulasi yang diwujudkan khas untuk pelajar Bumiputera sahaja walaupun kuota 10% telah diberi kepada kaum bukan bumiputera. Mengapa? Mengapa? Mengapa?
Sudah pastilah jawapannya adalah untuk menolong pelajar bumiputera yang masih dianggap lemah dan kurang serba serbi. Betul atau tidak Pak Lah, Najib, Hassan Said? Jika betul, mengapa mahu ditolong kerana menurut beberapa artikel yang tersiar di akhbar Berita Minggu 30 Mei, beberapa penulis mengatakan pelajar Melayu sudah mampu untuk bersaing. Persoalannya, jika sudah mampu bersaing, mengapa mesti ada meritokrasi, mengapa tidak bersaing di padang yang rata di dalam STPM sahaja. Mengapa? Mengapa? Mengapa?
Persolan keadilan adalah sangat penting? Mengapa tidak diadakan sahaja satu sistem peperiksaan sahaja untuk menilai? Keengganan pihak-pihak berkenaan untuk bersikap jujur terhadap persoalan ini dilihat menyumbang kepada lebih banyak masalah dan tohmahan.
Saya secara peribadi amat menentang sistem yang menolong bumiputera ini, mungkin akan ramai orang Melayu yang berasa marah dan semangat keris dan semangat jihad mereka tercabar. Namun tidakkah terfikir kita orang bumiputera terutamanya Melayu telah berlaku zalim terhadap kaum bukan bumiputera ini. Kepada pendokong Islam, apakah pandangan anda? Adakah Allah membenarkan kezaliman ini?
Apakah perasaan anda orang Bumiputera jika anda dilahirkan sebagai bukan bumiputera?
Setakat ini, jarang terkeluar kenyataan dari ulama-ulama di negara kita sama ada di pihak UMNO, PAS atau non partisan tentang isu ketidakadilan ini. Malah ulama sering kali gagal memberikan jawapan yang bernas terhadap amalan hak istimewa orang Melayu.
PAS menerusi Dato Seri Abdul Hadi Awang juga sering berdolak dalik terhadap persoalan hak istimewa orang Melayu. Mengapa? Saya secara peribadi beranggapan ia disebabkan oleh ketakutan pemimpin-pemimpin Melayu berdepan kritikan keras daripada orang Melayu seperti mana yang dihadapi oleh Tun Dr. M semasa beliau mengatakan Melayu bodoh dan Melayu malas.
Walaupun saya bukanlah pengkagum Tun Dr. M, namun saya memuji keberaniannya walaupun saya tidak menyetujuinya di waktu itu kerana saya melihat tohmahan itu dilemparkan semata-mata disebakan oleh penentangan yang keras oleh orang Melayu terhadap beliau.
Bayangkanlah, pemimpin sehebat Tun Dr. M sendiri gagal mengubah sikap dan mentaliti orang Melayu secara besar-besaran. Apakah makna di sebalik itu, adakah kebanyakan orang Melayu lebih suka berada si zon selesa? Pada saya ya, melihat daripada persekitaran saya yang tidaklah besar mana, saya dapat membuat satu persepsi bahawa kebanyakan orang Melayu berjiwa kecil, simplistik dan tiada daya tahan.
Atau ada pemimpin lain yang mampu, adakah ianya Anwar Ibrahim atau mungkin Hishamuddin Rais? Apapun, kita tidaklah perlu untuk bergantung kepada pemimpin semata, inisiatif dari dalam diri sendiri lebih penting dari segala-galanya.
Berbalik kepada isu meritokrasi itu tadi, sering kali alasan yang diberikan kepada kita mengapa sistem meritokrasi itu diadakan adalah untuk membantu pelajar bumiputera yang susah. Adakah ini seratus peratus benar? Kita hanya perlu untuk ke salah satu pusat matrikulasi yang diwujudkan kerajaan dan kita akan dapat melihat realiti sebenar.
Anak-anak orang kaya dan kelas menengah sederhana dan ke atas yang akan sering kita temui. Di hujung minggu, berbondong-bondong kereta-kereta mewah yang akan kelihatan, bukannya kereta-kereta kecil yang mendominasi wajah pusat tersebut.
Saya secara peribadi menyokong 50% jika pelaksanaan meritokrasi itu ditujukan khas untuk pelajar-pelajar bumiputera yang benar-benar layak. Selebihnya. mereka yang tidak layak harus mengikuti program STPM dan bersaing secara sihat bersama pelajar-pelajar berbilang kaum yang lain.
Dan saya secara peribadi menyokong 150% jika pelaksanaan meritokrasi itu ditujukan khas untuk pelajar-pelajar Malaysia tidak kira bangsa yang benar-benar miskin dan tidak mampu serta bersekolah di kawasan yang mempunyai kurang kemudahan pembelajaran.
Manakala yang tidak tergolong di dalam golongan ini, bersainglah secara sihat di STPM. Adakah ia terlalu idealistik? Mungkin ya mungkin tidak. Apa yang perlu adalah keazaman politik untuk melakukan reformasi pendidikan bagi membolehkan kita menghasilkan tenaga pakar yang benar-benar mahir tanpa mengira kaum.
Jangan sangat difikirkan tentang adakah pelajar Melayu akan mendapat tempat jika pelaksanaan meritokrasi sebenar dijalankan kerana pelajar Melayu seperti yang sering diberitahu sudah mampu untuk bersaing. Namun sukar pula untuk menelah jika dilihat kepada statistik yang dikeluarkan.
Sumber: The Star
Mengapa hanya seorang sahaja pelajar Bumiputera mendapat CGPA 4.00 di dalam peperiksaan STPM dan hanya 789 yang mendapat CGPA 4.00 daripada jumlah 1247. Angka 789 menunjukkan kepada kita ia mewakili hanya sebanyak 63.27% sahaja, sedangkan jumlah pelajar Bumiputera adalah sebanyak 90%. Mengapa?
Namun, saya mempunyai satu sudut pandang yang lain juga iaitu untuk menilai kebijakan seseorang dan kesesuaiannya untuk hidup di dunia ini, CGPA 4.00 bukan segalanya. Kehidupan itu tidak ditentukan dengan hanya angka 4, terdapat banyak lagi jalan dan kesempatan yang akan wujud jika pandai mencari peluang dan ada keberanian.
Namun, di satu sudut yang lain, penghasilan lebih banyak peljar CGPA 4.00 serta 3.00 ke atas juga amat penting di dalam usaha negara untuk melahirkan lebih ramai tenga pakar yang mempunyai idea serta penghasilan lebih ramai pemegang ijazah doktor falsafah yang pastinya akan membawa negara ini ke arah negara maju. Kita memang memerlukan orang-orang yang luar biasa hebat seperti ini untuk melengkapi orang-orang yang hebat.
Walaupun begitu, masih ada harapan terhadap segala kemelut ini apabila membaca komen Pak Lah ketika ditanya tentang isu ini oleh para wartawan Malaysia yang berada di China ketika ini.
Apapun, reformasi atau perubahan perlu dilakukan oleh kerajaan. Isu ini tidak harus dipandang dari segi perkauman sebaliknya perlu dilihar dari segi keadilan dan cabaran yang akan dihadapi negara pada masa depan. Jangan diikutkan sangat pandangan tipikal rakyat, kerajaan harus membuat sesuatu. Bagaimana? mulakan dengan pendemokrasian tulen di dalam segala bidang terutamanya pendidikan, ekonomi, politik dan bermacam lagi.
Apakah matlamat akhir kita? Pada saya ia harus kepada usaha untuk melahirkan lebih ramai pelajar GGPA 4.00 yang mampu berfikir dan berfikir dan dapat menyumbang peranan yang besar terhadap pembangunan ekonomi, politik dan sosial negara.
No comments:
Post a Comment